Encik Osman Talip, yang dilahirkan pada 1920, meninggalkan Singapura pada usia tujuh tahun bersama ayah dan neneknya untuk menetap di Hong Kong.
Namun, setelah Encik Osman meninggal dunia pada 2013 pada usia 93 tahun, anak sulungnya, Cik Sariya Talip Clay, 73 tahun, menemui sijil kelahirannya – lantas tercetus keinginan dalam diri untuk mengetahui lebih lanjut tentang sejarah Melayu keluarganya.
Cik Sariya, yang dilahirkan di Hong Kong pada 1951 dan kemudian berpindah ke Canada pada 1970, kini merupakan seorang warga Amerika-Canada Melayu/Islam.
Beliau, yang merupakan seorang pesara pustakawan, sedang berada di Singapura beberapa hari untuk merisik lebih lanjut tentang keluarganya sambil beriadah bersama suaminya.
Malah, beliau telah mengunjungi Perpustakaan Negara (NLB) pada 19 Oktober untuk merisik rekod-rekod dan arkib perpustakaan mencari butiran lanjut tentang ayahnya, seorang warga Singapura, dan juga maklumat lanjut tentang nenek moyangnya.
“Saya memang suka datang ke Singapura dan sudah banyak kali saya dan suami datang ke sini. Kami tidak mempunyai saudara-mara lagi di sini.
“Tetapi setiap kali saya berada di sini, saya sentiasa memikirkan tentang ayah saya yang pernah membesar di sini sehingga usia tujuh tahun sebelum berpindah bersama keluarganya ke Hong Kong,” kata Cik Sariya.
Menurut sijil kelahiran ayahnya yang dikongsi oleh Cik Sariya bersama Berita Harian (BH), beliau dilahirkan pada 9 Januari 1920 di 41 Sago Lane di “Negeri Singapura” atau Settlement of Singapore yang dikenali ketika itu.
Ketika itu, Singapura dikenali sebagai negeri di bawah Negeri-Negeri Selat (Straits Settlement) bersama Pulau Pinang dan Melaka dari 1826 hingga 1946.
Apabila British kembali ke Malaya berikutan penyerahan Jepun pada September 1945, mereka melaksanakan rancangan membina sebuah Malaya yang disusun semula. Pada 1 April 1946, Malayan Union telah dirasmikan, menggantikan Negeri-Negeri Selat.
Di bawah pengaturan baru itu, Singapura dijadikan jajahan mahkota yang berasingan, manakala Pulau Pinang dan Melaka menjadi sebahagian daripada Malayan Union bersama sembilan negeri Melayu yang lain iaitu Selangor, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Johor.
Bercakap kepada BH, Cik Sariya berkata meskipun ayahnya masih kecil ketika itu, beliau berharap ada kemungkinan orang-orang kampung ketika itu yang mungkin kenal dengan datuk atau neneknya yang tinggal di kawasan itu.
“Datuk saya bernama Talip Tahil dan nenek saya bernama Zanub Abdul Rahman. Datuk saya pernah bekerja sebagai seorang kerani. Mereka tinggal di 41 Sago Lane. Saya tidak tahu sama ada lokasi itu masih ada atau tidak,” tambahnya.
Menurut carian BH menerusi arkib NLB, lokasi tersebut terletak di Chinatown dan menempatkan rumah sewa sebelum Perang Dunia Kedua.
Cik Sariya, yang kini menetap di California, Amerika, berharap mereka yang mengenali ayahnya atau pernah tinggal di sekitar kawasan tersebut, dapat tampil dengan maklumat dan berkongsi tentang kehidupan datuk dan neneknya sekiranya mereka kenal.
“Saya benar-benar ingin mengetahui keturunan saya dan latar belakang keluarga saya, dan berharap dapat mencari salasilah keluarga saya dan mengetahui dari mana asal saya.
“Memandangkan saya sendiri adalah seorang Melayu/Islam, serta seorang minoriti di Hong Kong, saya ingin mengetahui lebih lanjut tentang sejarah Melayu/Islam keluarga saya di Singapura,” kata Cik Sariya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg