Topic followed successfully
Go to BHkuWarga perlu buat tempahan untuk dapat vaksin Covid-19
Warga perlu buat tempahan untuk dapat vaksin Covid-19
Warga perlu buat tempahan untuk dapat vaksin Covid-19
WARGA perlu membuat tempahan awal sebelum ke pusat vaksinasi untuk mendapatkan vaksin Covid-19.
Ini kerana pengurusan rantaian sejuk di tapak vaksinasi memerlukan sekitaran yang suhunya dikawal pada setiap tahap perjalanannya, selain vaksin tersebut juga perlu diberikan lebih dari satu dos.
Menyatakan demikian semasa menyampaikan kenyataan menteri di Parlimen semalam, Menteri Kesihatan Gan Kim Yong berkata langkah tersebut diambil untuk memastikan keberkesanan operasi dan mengurangkan masa menunggu individu.
Tambahnya, maklumat lanjut berkaitan proses tempahan tersebut akan diumumkan tidak lama lagi.
Menurut Encik Gan, pemerintah kini dalam proses mempersiapkan klinik dan pusat vaksinasi untuk memberikan vaksin Covid-19 kepada orang ramai secara lebih meluas apabila tiba giliran mereka.
Vaksin Pfizer-BioNTech merupakan vaksin Covid-19 pertama yang diluluskan penggunaannya di Singapura.
Menurut Encik Gan, Singapura mempunyai vaksin yang mencukupi untuk semua warga dan penduduk jangka panjang dan ia akan diberikan secara meluas pada suku ketiga 2021 jika semua berjalan lancar.
Ia juga kini menantikan penghantaran vaksin seterusnya dalam bulan-bulan akan datang, termasuk vaksin Moderna dan Sinovac.
Encik Gan menambah vaksin tersebut akan tiba di Singapura secara berperingkat disebabkan permintaan global yang tinggi, terutama dari negara dengan kadar jangkitan tinggi.
Walaupun tidak dapat mendedahkan jumlah vaksin yang dipesan disebabkan isu sensitiviti komersial, Encik Gan berkata:
"Saya ingin meyakinkan anda bahawa kita telah mendapatkan vaksin yang cukup untuk semua warga Singapura dan penduduk jangka panjang di sini.
"Jika semuanya mengikut jadual, kami akan mempunyai vaksin yang mencukupi untuk semua pada suku ketiga 2021," katanya.
Menurutnya, usaha memberi vaksin secara meluas di Singapura merupakan antara tumpuan utama kementerian tersebut tahun ini.
Encik Gan juga berkata vaksin Covid-19 ini turut dijangka dapat melindungi jenis jangkitan virus baru dari United Kingdom.
"Walaupun jenis virus B.1.1.7 dari UK kelihatan lebih mudah berjangkit, tidak ada bukti yang menunjukkan vaksin Covid-19 sedia ada kurang berkesan melawan jenis virus itu.
"Menurut pakar, mutasi yang berlaku tidak mungkin menjejas keberkesanan vaksin sedia ada," katanya.
Beliau menambah penghasil vaksin seperti Pfizer-BioNTech dan Moderna juga meyakinkan orang ramai bahawa vaksin itu boleh memberi perlindungan dari varian B.1.1.7, dan kini menjalankan kajian untuk mengesahkan perkara tersebut.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Encik Melvin Yong (Radin Mas) yang bertanyakan tentang data yang menunjukkan vaksin sedia ada berkesan melawan jenis virus baru itu.
"Mutasi pada virus biasanya akan berlaku dan jenis berbeza akan timbul dari masa ke masa, terutama dalam pandemik yang berlanjutan.
"Menurut pakar, ini biasanya tidak mungkin menjejas keberkesanan vaksin sedia ada," katanya.
Meskipun demikian, sementara menantikan lebih banyak kajian berkaitan vaksin Covid-19, langkah berjaga-jaga yang lain masih akan diteruskan.
Menurut Menteri Pendidikan Lawrence Wong, yang juga pengerusi pasukan bertindak berbilang kementerian bersama Encik Gan, Singapura tidak akan melonggarkan syarat jangan keluar rumah bagi pengembara yang divaksin sehingga terdapat data yang membuktikan vaksin tersebut boleh mengekang penyebaran wabak.
Dalam kenyataan menterinya, Encik Wong berkata pemerintah kini memantau beberapa kajian yang sedang berlangsung berkaitan keberkesanan vaksin dalam mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.
"Jika terdapat bukti jelas bahawa risiko jangkitan boleh dikurangkan secara meluas, barulah kita akan mempertimbangkan keputusan untuk melonggarkan rejim Notis Jangan Keluar Rumah bagi pengembara yang divaksin," katanya.
Namun, untuk masa kini Singapura akan terus mengekalkan pendekatan sedia ada dan pengembara yang divaksin tetap perlu menuruti langkah-langkah yang ditetapkan sama seperti pengembara yang tidak divaksin, ujarnya.
SEKILAS
- Lebih banyak vaksin Covid-19 dijangka tiba di Singapura termasuk dari Moderna dan Sinovac
- Tempahan awal diperlukan untuk mendapatkan vaksin
- Program bantuan kewangan bagi kecederaan dari vaksin akan diperkenal
- Antara golongan yang bakal diutamakan bagi vaksin termasuk pekerja pembinaan, marin dan proses
- Mereka yang telah menerima vaksin akan diberi kad vaksinasi
- Individu tidak boleh memilih jenis vaksin yang ingin didapatkan
- Vaksin yang diberikan dijangka dapat melindungi jenis mutasi virus yang lebih mudah berjangkit
Laporan lanjut:

