TERSADAI di tengah-tengah lautan Pasifik seorang diri dengan kapal layarnya tidak boleh berlabuh di mana-mana, dan dengan hanya berbekalkan telefon satelit untuk menghubungi keluarga, hajat seorang warga Singapura melakukan ekspedisi pelayaran selama tiga tahun 'sangkut' tiga bulan selepas memulakan pelayarannya pada Februari lalu.
Tetapi bagi seorang ahli perniagaan berusia 59 tahun, yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Wong, memberitahu akhbar The Straits Times, beliau tidak berpeluang untuk berasa cemas.
"Apabila anda berada di laut, macam mana nak takut? Tak ada perlunya," ujarnya dalam satu wawancara jarak jauh yang dilakukan akhbar itu, hari ini.
Kelasi itu kemudiannya dibawa ke darat - ke negara Fiji - oleh kapal tentera laut Fiji pada 29 April lalu, setelah kira-kira sebulan di laut.
Keadaan yang dihadapi Encik Wong dikongsi Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, menerusi catatan di Facebook, di mana beliau merakamkan penghargaan kepada pemerintah Fiji atas bantuan yang diberikan dan "melakukan sesuatu di luar cara mereka untuk membantu" kelasi Singapura itu, yang telah ditolak oleh beberapa negara yang menutup sempadan mereka disebabkan pandemik koronavirus.
Encik Wong, yang telah diletakkan di bawah penjagaan di sebuah hospital di Fiji selama dua hari dan telah dibenarkan pulang, memberitahu ST beliau sihat dan sejahtera.
Beliau dapat kembali ke katamaran atau kapal layarnya, dinamakan 'Ximula', tetapi dilarang dari meninggalkan Fiji untuk sekurang-kurangnya sebulan lagi kerana langkah perintah berkurung yang dikuatkuasakan di negara berkenaan.
Encik Wong, memiliki sebuah syarikat pengeluaran perlengkapan di Singapura dan telah belayar bersama dua rakannya pada 2 Februari lalu.
Terdorong dengan kejayaan seorang lagi rakannya yang belayar dari Amerika Syarikat ke Polynesia, beliau bercadang untuk ke Polynesia dalam masa empat bulan dan meluang masa "dua atau tiga tahun belayar" di sekeliling rantau yang indah itu.
Namun, keadaan pandemik yang bertambah buruk dan negara-negara menutup sempadan, beliau berdepan dengan masalah.
Selepas meninggalkan bandar pesisir Jayapura, di Indonesia, pada 19 Mac seorang diri - dua rakannya telah meninggalkan seperti dijadualkan kerana urusan kerja - beliau mendapat tahu destinasinya, ke negara jiran Papua New Guinea, tak dapat dilakukan kerana sempadan telah ditutup.
Beliau cuba berlabuh di Kepulauan Solomon, kira-kira 2,000km jauhnya, tetapi juga ditolak. Beliau cuba pergi di Tuvalu, juga jaraknya 2,000km jauh, tetapi diberitahu beliau tidak boleh berlabuh, walaupun dia belum sampai pelabuhan itu pada 21 Apri.
"Pada ketika itu, saya telah berada di lautan selama hampir sebulan dan diesel dan bekalan makanan dah nak habis," kata Encik Wong, yang berupaya menyakinkan pihak berkuasa Tuvalu agar membenarkannya membeli bekalan. Beliau meluangkan AS$1,400 (S$1,980) untuk membeli 1,000 litre minyak diesel dan makanan, dan terus belayar, tanpa mengetahui ke mana beliau harus pergi.
Memburukkan keadaan, keupayaannya untuk belayar dengan selamat menghadapi masalah kerana kemudi kapal rosak setelah terlanggar batu karang. Kemudaha 'auto-pilot' kapal layarnya pula rosak.
"Di perairan sebegini, sukar untuk belayar seorang diri tanpa kemudahan autopilot, terutama bila saya perlu ke tandas, memasak atau tidur," terangnya.
Dengan beberapa pilihan sahaja yang tinggal, beliau menghubungi anak perempuannya dengan menggunakan telefon satelit untuk mendapat bantuan Kementerian Ehwal Luar (MFA).
Anak perempuan beliau yang berusia 31 tahun itu, dan minta namanya tidak dinyatakan, memberitahu ST: "Keluarga kami memang bimbang bila beliau mula ditolak oleh beberapa negara, dan kami cemas tetapi ayah tenang, sebagaimana biasa.
"Melihat dia menghubungi MFA bermakna keadaan agak genting."
Beliau juga menghubungi Anggota Parlimen kawasan undinya, dan menerima jaminan pantas dari MFA bahawa perkara itu akan ditangani dengan segera.
Meskipun keadaan agak malang, Encik Wong masih mahu meneruskan ekspedisi yang dirancang. Sebagai seorang yang gemar mengembara, beliau sering belayar ke pulau-pulau yang didiami hanya "10 atau 20 keluarga", di mana dia berasa segan dilayani dengan baik oleh penghuni pulau.
"Mereka sangat ramah, mereka beri saya ikan, udang kara dan kelapa percuma dan adakala mengundang saya ke rumah mereka untuk makan," ujarnya.
Sebagai membalas budi baik mereka, beliau mengambil gambar dan mencetaknya menggunakan pencetak mini untuk keluarga itu menyimpan sebagai kenangan.
Isteri, anak perempuan dan anak lelakinya mulanya bercadang menyertainya di Tahiti pada Jun ini tetapi mereka kini akan mengarah ke Fiji.
"Sekarang saya akan kekal di sini, meluang waktu membetulkan kapal layar, dan meneroka tanah besar Fiji," kata Encik Wong, yang menyatakan ini adalah kali pertama beliau ke negara itu.
"Saya sangat berterima kasih kepada semua yang membantu saya, dari MFA di Singapura ke pemerintah Fiji," ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg