SURI rumah sepenuh masa, Cik Diljan Shaik Arif Ali, 39 tahun, mungkin tidak dapat bekerja dek keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Namun, beliau giat meluangkan masa mendekati golongan memerlukan dalam estet perumahannya di Ang Mo Kio, khususnya penghuni rumah sewa.

Setiap minggu, bersama seramai 12 penduduk lain, beliau mengagihkan makanan yang disediakan Beyond Social Services, SG Food Rescue dan Free Food for All.

"Ada warga emas yang tinggal seorang diri. Ada keluarga yang mempunyai banyak anak. Ada keluarga yang mana ibu bapa tidak bekerja. Ramai yang sebenarnya memerlukan bantuan," ujar ibu dua anak itu.

Beliau menyelongkar hal tersebut ketika mengetuk satu persatu pintu rumah bloknya untuk menghantar makanan. Daripada situ, beliau mengenali jirannya dengan lebih rapat.

Hubungan akrab antara jiran seperti itulah yang ingin dipupuk Beyond Social Services menerusi Program Belia Bersatu (Yup).

Yup bertujuan mempererat hubungan dalam kalangan penduduk flat sewa menerusi kegiatan dan minat yang sama.

Usaha sedemikian boleh menyatukan penduduk dan kawasan kejiranan dalam menangani isu yang dihadapi.

Baru-baru ini, tinjauan anjuran Beyond Social Services dan kendalian Blackbox Research ke atas keberkesanan Yup telah dilaksanakan.

Seramai 371 peserta program terlibat merangkumi anak muda serta keluarga mereka.

Kajian itu juga meninjau 212 orang yang tidak terlibat dalam Yup. Perkembangan peserta diikuti selama setahun.

Hasil tinjauan yang dikeluarkan pada 21 November lalu menunjukkan bahawa mereka yang terlibat dalam Yup mendapati kawasan kejiranan rasa lebih selamat.

Orang dewasa dalam program tersebut pun lebih selesa mengongsi kebimbangan dengan jiran sementara belia rasa jiran lebih peramah.

Hari ini, Cik Diljan mempunyai kumpulan WhatsApp yang dianggotai penduduk kawasan perumahannya. Jika ada apa-apa kejadian, mereka boleh saling membantu.

"Jika ada bahan masakan berlebihan, saya akan masak dan memberikannya kepada warga emas," ujarnya.

Usahanya bukan sahaja dihargai orang dewasa dan warga emas, malah belia dan kanak-kanak.

Diberi gelaran 'Mummy Jan', beliau juga dikenali kerana memulakan program tuisyen percuma buat pelajar sekolah rendah kurang berkemampuan.

"Membuat orang lain tersenyum menggembirakan saya," kata Cik Diljan.

Mengulas perihal Yup, belia yang menetap di Lengkok Bahru, di estet Redhill, Muhammad Danny Azrin Abdullah, 18 tahun, berkata beliau pada mulanya takut mahu bercampur dengan orang di kejiranan.

Katanya, sewaktu baru berpindah ke situ, beliau sering mendengar cerita kegiatan samseng dan terlarang di kawasan perumahannya.

Lama-kelamaan, belia yang duduk di rumah sewa dua bilik itu melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan Beyond Social Services dan Yup.

Sejak penglibatannya dalam teater masyarakat, kelab fotografi dan bola sepak, Muhammad Danny berjaya menjalin persahabatan baru.

"Beyond Social Services memberi banyak peluang kepada saya keluar daripada zon keselesaan. Dulu saya pendiam, tetapi kini lebih yakin," ujar pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) itu.

Kata pengarah eksekutif Beyond Social Services, Encik Gerard Ee:

"Penyelidikan ini membuktikan bahawa pendekatan pembinaan masyarakat sangat berharga dalam mengubah kehidupan kanak-kanak dan belia dari kawasan kejiranan berpendapatan rendah."