Topik diikuti
Pergi ke BHkuZaqy: Persediaan korban 2027 mula lebih awal, peruntuk lebih masa bagi kawal selia, operasi
MUIS perkukuh pengawasan terhadap pengendali korban tempatan baru, tingkat piawaian
Jawatankuasa yang ditugaskan menyelia operasi korban di Singapura pada 2027 akan dibentuk lebih awal daripada biasa, pada September, demi memperuntuk lebih banyak masa mendapatkan kelulusan kawal selia luar negara dan perancangan operasi.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad mengumumkan perubahan itu semasa berucap di Parlimen pada 5 Ogos, di mana beliau berkata Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan melaksanakan langkah konkrit demi memperkukuh model operasi semasa dan menyokong pengendali korban tempatan dengan lebih baik.
Memberi respons kepada pertanyaan Berita Harian (BH), MUIS berkata dua jawatankuasa khusus – di bawah naungan Korban SalamSG 2027 – akan ditubuhkan bagi menyelia operasi musim korban akan datang, dengan satu daripadanya memfokuskan penyeliaan operasi luar negara manakala satu lagi memberi tumpuan kepada operasi tempatan.
Kedua-dua jawatankuasa tersebut akan mula bertugas dari September, untuk membolehkan perancangan, penyelarasan dan pengawasan operasi yang lebih tertumpu, kata MUIS.
Menambah, MUIS berkata sebelum ini, hanya satu jawatankuasa sahaja yang menyelia pengaturan korban luar negara dan tempatan, dengan keutamaan diberikan kepada operasi luar negara.
Berhujah di Parlimen, Encik Zaqy berkata perubahan tersebut bertujuan memperkukuh pengawasan terhadap pengendali korban tempatan, terutamanya pengendali baru, dan memperkenalkan keperluan kontrak dan operasi yang lebih kukuh, termasuk piawaian perkhidmatan, rancangan kontingensi dan obligasi yang lebih jelas.
“Ini penting kerana kita bukan sahaja melanjutkan lagi persiapan kami, kita juga boleh melihat bagaimana kita dapat memperbaiki kontrak dan memperbaiki proses korban.”
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan yang difailkan oleh Cik Hazlina Abdul Halim (GRC East Coast) mengenai sama ada MUIS sedang mempertimbangkan menyemak semula model operasi perkhidmatan korban semasa di Singapura.
Semasa di Parlimen, Cik Hazlina juga bertanya sama ada MUIS akan memperkenalkan rangka kerja pelesenan atau akreditasi untuk pengendali korban dan mewujudkan piawaian perkhidmatan yang perlu dipatuhi oleh pengendali tempatan.
Operasi korban mendapat perhatian selepas sekurang-kurangnya 400 haiwan korban yang ditempah pelaku korban setempat gagal dibawa masuk oleh pengendali korban berlesen tempatan The Meat Borthers untuk Hari Raya Haji pada Mei lalu.
Ini setelah permit eksport di bawah Sistem Jaminan Rangkaian Bekalan Pengeksport (Escas) untuk membawa haiwan korban ke Singapura dari Australia diluluskan lewat.
Ia menyebabkan ibadah korban di tiga masjid, iaitu Masjid Al-Firdaus, Masjid Petempatan Melayu Sembawang dan Masjid Pusara Aman, tidak dapat diteruskan sepenuhnya, manakala sebahagian bekalan haiwan korban Masjid Jamae Chulia terjejas.
Susulan kejadian tersebut, Encik Zaqy, memberi jaminan bahawa MUIS telah menjalankan kajian menyeluruh terhadap insiden tersebut.
Beliau, yang baru sahaja mengambil alih sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam kira-kira dua minggu lalu pada 20 Julai, juga telah membincangkan dapatan dan pelan tindakan berkenaan kejadian itu dengan MUIS.
“MUIS akan terus memantau keberkesanan langkah-langkah di atas dan membuat penyesuaian selanjutnya jika perlu,” kata Encik Zaqy.
“Pemerintah akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan, bagi memastikan anggota masyarakat Islam tempatan dapat melaksanakan ibadah korban mereka dengan yakin, sama ada di dalam atau di luar negara.”
Menjawab soalan tambahan oleh Cik Hazlina mengenai status pemulangan kembali bayaran kepada sohibul korban yang terjejas, Encik Zaqy berkata TMB telah memberi jaminan bahawa mereka akan cuba menyelesaikan semua pembayaran balik pada awal Ogos.
Semasa di Parlimen, Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP) Encik Fadli Fawzi (GRC Aljunied) juga telah bertanya sama ada Muis akan mempertimbangkan menambah pampasan kepada sohibul korban (individu yang melakukan ibadah korban) yang terjejas akibat gangguan sebagai kriteria pelesenan masa hadapan.
Beliau juga bertanya sama ada Muis akan mempertimbangkan untuk mengutamakan pengendali korban yang mendapatkan ternakan dari negara selain Australia.
Dalam jawapannya, Encik Zaqy berkata:
“Kita boleh mempertimbangkan tapi kita akan melihat bagaimana kita dapat merangkumnya dalam proses kita ataupun sama ada ia sesuai untuk keadaan kita hari ini.”
