Subuh
5:30
Syuruk
6:52
Zuhur
12:55
Asar
4:18
Maghrib
6:56
Isyak
8:10
Halal Food Map
Turn on your location  and discover halal restaurants near you.
Rencana0

BHalal - Ruang Info Halal

‘Yu sheng’ halal pererat masyarakat

Jan 27, 2020 | 12:00 AM

RESTORAN dan kedai makan halal di sini menyatukan masyarakat berbilang bangsa dan agama sempena Tahun Baru Cina (CNY) ini dengan menyediakan hidangan Yu Sheng yang popular semasa perayaan itu.

Malah, sesetengah restoran juga memperkenal bahan unik kepada hidangan tradisional itu, mencerminkan masyarakat berbilang budaya Singapura.

Yu Sheng merupakan salad ikan mentah yang popular di Singapura semasa CNY.

Hidangan ini biasanya mengandungi pelbagai bahan termasuk hirisan lobak merah dan putih, halia, limau, limau bali, keropok, ikan mentah dan sos pelam.

Namun, sesetengah restoran di sini seperti restoran Carousel di Hotel Royal Plaza on Scotts dan Bali Thai memberi hidangan itu suntikan segar untuk memeriahkan lagi suasana sambutan CNY dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura.

Selain set Yu Sheng biasa dengan hirisan ikan salmon, tuna atau abalone, Carousel misalnya menawarkan set Yu Sheng Wonderland Prosperity yang direka khas oleh cefnya.

Selain bahan yang biasanya didapati dalam hidangan Yu Sheng tradisional, set itu turut mengandungi bahan unik seperti kacang pistasio, strawberi, pear namsui, daun salad yang ditanam menggunakan kaedah hidroponik, biskut kacang dan pelbagai bijirin florentine, cendawan enoki rangup, tempura, jeruk papaya hijau pedas dan kiwi.

Hidangan ini juga menampilkan hirisan abalone dengan telur ikan salmon serta sos nanas.

Sementara itu, set Yu Sheng yang ditawarkan Bali Thai pula mengandungi bahan unik seperti mangga hijau, ubur-ubur dan sos Thai istimewa restoran itu.

Beberapa restoran halal lain juga tidak melepaskan peluang menyediakan hidangan itu sempena perayaan CNY tahun ini.

Antara mereka termasuk restoran The Landmark yang menawarkan set Yu Sheng dengan ikan salmon.

Pengasas dan juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) restoran itu, Encik Ali Abbas, berkata mereka telah menyediakan hidangan itu sejak tujuh tahun lalu.

Malah tahun ini, pelanggan sudah mula menempah hidangan itu dari restorannya sejak November, ujarnya.

Sejak tiga minggu lalu, restoran itu menyajikan 25 hingga 30 dulang Yu Sheng setiap hari, dengan hidangan itu bukan sahaja dinikmati pelanggan korporat tetapi juga mereka yang datang menjamu selera bersama keluarga mereka.

"Restoran kami menyediakan sajian Melayu, Cina, India dan Barat, dan oleh itu menarik pelanggan berbilang bangsa dan budaya setiap hari.

"Oleh itu dengan menawarkan hidangan Yu Sheng sempena CNY ini, saya gembira dapat melihat pelanggan saya melambungnya dan menjamu selera bersama sambil mengeratkan hubungan antara mereka," kata Encik Ali.

Restoran juadah Jepun, The Ramen Stall, turut menawarkan hidangan tersebut bagi pelanggannya yang berbilang kaum dan agama sejak lima tahun lalu.

Menurut pengerusi W Food Empire yang antara lain memiliki restoran halal The Ramen Stall dan The Dim Sum Place, Encik Winston Sim, permintaan bagi hidangan itu meningkat saban tahun, dengan pelanggannya menikmatinya di restoran bersama keluarga, teman dan rakan kerja atau menempahnya untuk dinikmati di rumah.

"Sebagai sebuah restoran Jepun di negara yang berbilang bangsa ini, saya percaya kami harus memenuhi keperluan masyarakat berbilang kaum di sini supaya mereka dapat menjamu selera bersama.

"Kami hidangkan Yu Sheng semasa CNY kerana ingin semua orang menikmatinya sempena perayaan ini. Semasa Ramadan pula, kami menyediakan kurma bagi pelanggan untuk berbuka puasa.

"Kalau boleh, kami ingin menjadi sebahagian sambutan setiap perayaan dan memainkan peranan mengeratkan hubungan antara masyarakat pelbagai budaya dan agama di Singapura," kata Encik Sim.

Tambahnya, beliau juga melihat lebih ramai keluarga yang kahwin campur makan bersama di restorannya kini.

Antara kedai makan lain yang menawarkan Yu Sheng halal yang boleh dinikmati bersama seisi keluarga atau dengan sahabat handai tahun ini termasuk Swensen's, Home of Seafood, Hei Sushi, Nuodle, Delibowl, Royz Et Vous dan Wakuwaku Yakiniku.


"Restoran kami menyediakan sajian Melayu, Cina, India dan Barat, dan oleh itu menarik pelanggan berbilang bangsa dan budaya setiap hari. Oleh itu dengan menawarkan hidangan Yu Sheng sempena CNY ini, saya gembira dapat melihat pelanggan saya melambungnya dan menjamu selera bersama sambil mengeratkan hubungan antara mereka.
- CEO The Landmark, Encik Ali Abbas.

Kami hidangkan Yu Sheng semasa CNY kerana ingin semua orang menikmatinya sempena perayaan ini. Semasa Ramadan pula, kami menyediakan kurma bagi pelanggan untuk berbuka puasa. Kalau boleh, kami ingin menjadi sebahagian sambutan setiap perayaan dan memainkan peranan mengeratkan hubungan antara masyarakat pelbagai budaya dan agama di Singapura.
- Pengerusi W Food Empire yang memiliki restoran halal The Ramen Stall dan The Dim Sum Place, Encik Winston Sim.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian