Burger istimewa, susu kocak bertih jagung sentuhan S'pura

BUTIRAN bertih jagung karamel sedap dimakan beramai-ramai khususnya ketika khusyuk menonton wayang di pawagam.

Namun, bayangkan jika bertih jagung itu dijadikan susu kocak atau milkshake untuk diminum sebagai pelega dahaga.

Jika ada yang menyangka ia terlalu manis dan memuakkan, anda silap.

Susu kocak bertih jagung karamel yang dihiasi longgokan bertih jagung di permukaan terasa lemak dan 'sedang-sedang sahaja' manisnya.

Bagi menyiapkan minuman ini, aiskrim vanila dibancuh bersama susu rendah lemak dan sos karamel.

Ia adalah antara tarikan baru restoran keluarga Citrus By The Pool di 3 Woodlands Street 13 yang bertempat dalam perkarangan Kompleks Renang Woodlands.

Dua minggu lalu, restoran halal yang diusahakan oleh Encik Chris Pang, 37 tahun, sejak 2013, melancarkan lebih 20 makanan, minuman dan pencuci mulut baru sebagai memenuhi cita rasa pelanggan yang mahukan kelainan.

Susu kocak dalam gelas raksasa dijual dengan harga antara $8.90 dengan $10.90.

Terdapat enam perisa yang tersedia - vanila klasik, double chocolate, strawberry gem, bertih jagung karamel, cookie crush dan snickerhead.

Setiap gelas susu kocak dihias indah, sama ada dengan biskut gulung atau coklat snickers pemberi tenaga.

Menu burger pula diperluas dengan saiz rotinya bertambah besar seperti Little Boss (satu kepingan daging) yang berharga $14.90 dan Big Boss (dua kepingan daging) berharga $17.90.

Kuah sate pula disiram pada daging burger, memberikan sentuhan kesingapuraan pada burger ini.

Terdapat juga burger ayam, Shiok Burger, yang dihidangkan bersama kentang goreng Cajun.

Telur mata lembu dan sos ketam cili pedas di dalam burger ini menjadi tarikan utama yang membezakan burger berharga $12.90 ini daripada burger lain.

The Big Catch pula merupakan burger ikan 'dory' yang membuka selera.

Namun, jika anda sukakan hidangan yang 'comel' untuk dimakan bersama teman-teman, pilihlah set tiga burger mini atau sliders.

Anda boleh memilih burger ayam atau campuran daging lembu dan kambing. Sos barbeku atau teriyaki juga tersedia sebagai pelengkap burger tersebut.

Set burger ayam mini berharga $10.90 manakala set burger daging pula berharga $12.90.

Mengulas tentang pengenalan menu baru itu, Encik Pang berkata:

"Saya gemar mendapatkan maklum balas pelanggan bagi memastikan apa yang kami hidangkan menepati cita rasa mereka.

"Mereka mahukan kelainan atau makanan dan minuman yang tidak boleh diperolehi di restoran lain.

"Saya juga mendapatkan pandangan kakitangan saya. Mereka boleh mengusulkan menu baru atau bereksperimen dengan apa yang mereka rasa menyelerakan bagi kebaikan restoran ini."

Sejauh ini, burger Little Boss dan Big Boss yang mengenyangkan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

Susu kocak berperisa double chocolate dan snickerhead pula disenangi si 'hantu coklat'.

"Mungkin ramai masih teragak-agak nak cuba susu kocak bertih jagung karamel kerana khuatir ia terlampau manis. Tapi saya sukakan kelainannya.

"Pilihan lebih selamat adalah susu kocak coklat atau vanila," jelas salah seorang pelanggan setia Citrus By The Pool, Cik Hamidah Ihsan, 38 tahun, seorang guru tadika.

  • Restoran Citrus By The Pool dibuka dari 11 pagi hingga 11 malam (Isnin hingga Jumaat) dan 9 pagi hingga 11 malam (Sabtu, Ahad dan cuti umum).