Kiub daging panggang unik

KETULAN daging lembu panggang, yang merupakan snek terkenal di Taiwan, mendapat sambutan hebat daripada masyarakat Melayu setempat apabila ditawarkan di Bazar Geylang Serai Ramadan lalu di bawah jenama Beef Bro.

Melihat penerimaan baik itu, Beef Bro membuka gerai tetap di tingkat bawah tanah pusat beli-belah Century Square di Tampines yang mendapat sijil halal baru-baru ini.

Gerai kedua di Clifford Centre dibuka minggu lalu.

Ditemui baru-baru ini, pengasasnya Encik Norvan Tan, 23 tahun, berkata beliau mengekalkan konsep asal Beef Bro dengan terus menawarkan ketulan daging lembu panggang, namun ada memperkenal beberapa sajian baru.

"Di bazar dulu, Beef Bro lebih menawarkan makanan jenis snek yang mudah dimakan sambil berdiri atau berjalan. Tapi kini di kedai, kami tawarkan lebih banyak pilihan supaya pelanggan dapat menikmati Beef Bro setiap hari," ujarnya.

Encik Tan berkata beliau mendapat idea menawarkan snek ketulan daging di Singapura selepas menikmatinya di Taiwan kira-kira empat tahun lalu.

Beliau bekerjasama dengan selebriti setempat Danial Ashriq bagi menghasilkan dua jenis ketulan daging - daging disiram sos 'mentaiko' dan asli tanpa sos.

Danial kini mahu memberi tumpuan pada kerjaya lakonan dan keluarga, jadi Encik Tan kini mempunyai dua rakan niaga baru.

"Apabila timbul idea menawarkan snek ketulan daging panggang ini di Singapura, saya memang mahu menawarkan versi halal supaya dapat turut dinikmati masyarakat Melayu/Islam.

"Saya sedar yang golongan ini jarang ke Taiwan dan tidak mungkin akan dapat menikmati snek ini di sana," kata Encik Tan, sambil menambah bahawa di Century Square, sekitar 80 peratus pelanggan ialah orang Melayu/Islam.

Encik Tan menerangkan bahawa hanya bahagian 'rump' atau daging punggung lembu digunakan bagi menghasilkan ketulan daging panggang Beef Bro.

Berdasarkan maklum balas diterima menerusi perniagaan sebulan di bazar, Encik Tan berkata kini daging yang digunakan telah dibuang kulit tipis yang dikenali sebagai 'silver skin' bagi menjadikannya lebih lembut.

Daging itu diperap selama setengah hari dalam ramuan minyak zaitun, lada hitam dan garam sebelum dipanggang untuk memasak bahagian dalam daging hingga tahap 'medium rare'.

Kemudian, penunu bagas (blowtorch) digunakan bagi menghasilkan bahagian luar daging yang garing.

Ketulan daging itu ditawarkan dalam dua saiz, iaitu kecil seberat 130 gram ($7.90) dan biasa seberat 200 gram ($12.90).

Ketulan daging dengan sos 'mentaiko' ditawarkan dalam satu saiz iaitu 200 gram pada harga $14.90.

Encik Tan berkata sos 'mentaiko' diilhamkan daripada resepi Jepun dan dihasilkan bersama Danial.

Sos tersebut dibuat daripada bahan seperti telur ikan dan mayones Jepun yang lebih berkrim.

Encik Tan menyarankan ketulan daging itu dinikmati dengan cecahan percuma yang ditawarkan di Beef Bro seperti sambal belacan, sos lada hitam, sambal bawang putih dan lada serta sos barbeku.

Snek itu juga boleh dinikmati dengan keju mozarela cair dengan tambahan $2.

Di kedainya, Encik Tan menawarkan menu lebih luas.

Pelanggan boleh memilih ketulan ayam panggang dan makanan laut seperti kekapis, udang dan sotong panggang.

Set 'bento' ditawarkan pada harga antara $8 dengan $16, yang merangkumi pilihan daging lembu, ayam atau makanan laut yang disajikan dengan nasi Jepun, jagung manis, salad dan tomato ceri.

Di gerai Clifford Centre, strateginya berbeza kerana Beef Bro terletak dalam pusat makanan di kawasan pejabat.

Oleh sebab itu, beliau merancang menawarkan set makanan lebih rencam yang terdiri daripada sajian seperti pasta 'aglio olio' dengan ketulan daging panggang dan kentang kecil rebus.

Tahun ini, Encik Tan merancang membuka tiga lagi cawangan, yakni di utara dan barat Singapura, selain terus menyertai bazar dan menawarkan stesen memasak secara langsung bagi acara korporat.

Bulan ini, Beef Bro akan melancarkan ketulan daging panggang yang disiram sambal sate di cawangan Century Square.