Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

SoSyiok Halal

Sedap dan berbaloi

4 tempat makan sediakan makanan jalanan yang memang ada umph!
Jan 25, 2014 | 12:49 PM



WALAUPUN menjamu selera di restoran lebih selesa, sekali-sekala mahu juga mencari makanan jalanan yang lazimnya terdapat di pusat-pusat makanan. Ia jauh lebih murah dari segi harga.


Saya telah berkunjung ke beberapa pusat makanan dan mengenal pasti empat jenis makanan yang bukan sahaja diminati ramai malah sedap dan berbaloi.


PONDOK WAK NAH


'PONDOK WAK NAH, Sejak 1946 - Lorong Engku Aman' tertera pada papan tanda di gerai nasi Melayu di Blok 16, Bedok South Road.


Ia mengingatkan saya waktu di kampung dahulu bagaimana mudah sekali saya mendapatkan sarapan setiap hari.


Mungkin ada pembaca yang masih ingat jualan Wak Nah di alamat 36B Lorong Engku Aman bersebelahan kedai dobi.


Warung nasi Wak Nah sekarang ini dikendalikan oleh anak-anaknya, Encik Said Chik dan Cik Asmah Mohd Taib, sejak 1975. Resipi yang digunakan ialah resipi asli ibu mereka tanpa tokok tambah.


Sajian istimewa warung nasi ini ialah lontong, nasi sambal goreng, nasi rawon dan nasi jenganan. Sepinggan nasi sambal goreng yang termasuk nasi putih, bergedil, sambal goreng, paru goreng, serondeng, sambal tumis dan sambal sotong kering berharga $3.50. Memang berbaloi.


Yang membuat hidangan ini sedap ialah sambal sotong yang menggunakan sotong kering yang direndam dengan abu cang untuk melembutkannya. Ia kemudian dimasak sehingga sambalnya garing, pekat dan berwarna gelap.


Gabungan rasa pedas sambal sotong dan rasa manis serondeng menjadikan sajian nasi sambal goreng ini sedap dan menyelerakan.


Bagi nasi rawon pula, kuah rawonnya mempunyai aroma buah keluak dan daun limau purut. Kuahnya sederhana pekat dan terdapat cebisan tetelan yang menambahkan perisa kepada masakan ini.


Pondok Wah Nah dibuka setiap hari (ditutup pada Isnin, melainkan cuti umum) dari 6 pagi hingga 2.30 petang.


ROJAK AL MAHBOOB


Seperti nasi beriani, rojak India juga merupakan makanan yang digemari rakyat Singapura, khususnya orang Melayu. Cuma rojak India lazimnya dianggap makanan jalanan yang boleh didapati hanya di pusat-pusat makanan.


Namun, makanan kesukaan ramai ini dinaik taraf oleh Restoran Rojak Al Mahboob yang menyediakan rojak India sebagai makanan utama di restoran yang berhawa dingin.


Hampir 30 jenis bahan rojak disediakan setiap hari tetapi kebanyakan atau mungkin kesemuanya ialah bahan bergoreng yang sarat dengan karbohidrat.


Antara bahan rojak yang dijual, yang mungkin tidak terdapat di tempat lain, ialah bebola tepung jagung manis, gorengan ikan bilis, bebola tepung lobak merah, bebola tepung sayur kubis, gorengan bijirin oat dengan kacang tanah dan bebola tepung sayur kucai. Harganya tentulah mahal sedikit memandangkan restoran ini berhawa dingin.


Cara menempah rojak di restoran Al Mahboob ini menggunakan nombor giliran. Setelah pelanggan memilih bahan rojak yang diingini, nombor giliran akan diberi. Jadi, pelanggan tidak payah berebut-rebut bagi mendapatkan perhatian 'mamak' agar mempercepatkan rojak dibungkus. Waktu menunggu lebih kurang 20 minit.


Kuah rojak penting dalam hidangan rojak India. Kuah rojak di restoran ini berwarna merah menyala, pasti hasil campuran pewarna. Tekstur kuah agak pekat - ini yang penting - dengan campuran bijan dan rasanya pedas-pedas manis. Sedap juga.


Restoran ini terletak di Blok 506 Tampines Central 1, #01-361 S11 Court.


POWER ROJAK BANDUNG/POWER BUBUR NASI


Setengah jam saya duduk menjamu selera di gerai Power Rojak Bandung/Power Bubur Nasi di Pusat Makanan Ayer Rajah, setiap beberapa minit ada sahaja pelanggan yang datang membeli sama ada bubur ataupun rojak. Cuma dua jenis makanan sahaja yang dijual di gerai ini.


Dengan sebanyak 13 jenis bubur dan 13 jenis rojak ditawarkan, memang susah membuat pilihan.


Jenis-jenis bubur yang dijual termasuk bubur kampung, bubur ayam, bubur char kue dan bubur telur asin dengan harga antara $2.50 dengan $4 serta pilihan rojak, seperti rojak buah, rojak bandung, rojak petis, rojak bakar dan rojak char kue dengan harga antara $3 dengan $7.


Saya menempah Bubur Set yang termasuk bubur nasi dengan bahan sampingan seperti kangkung goreng, telur asin, kacang tanah goreng, ikan bilis goreng, chai poh dan sambal kicap cili padi. Ada umph!


Bubur nasi yang ditabur dengan bawang goreng dan hirisan daun bawang dan daun sup ini penuh semangkuk.


"Boleh ke habis ni?" dalam hati berkata, tetapi setelah mula makan, emm... laju pulak sehingga selesai satu mangkuk bubur dengan hidangan sampingannya sekali.


Walaupun mengenyangkan, pada masa yang sama, cepat pula terasa lapar kerana bubur mengandungi sebahagian besar air bukan nasi semata-mata.


Bagi jenis rojak pula, saya mencuba rojak bandung yang mengandungi sotong kembang, bihun, tauhu bakar, hirisan sengkuang, nanas, timun dan kangkung serta tauge rebus. Kacang tanah tumbuk yang ditabur atas rojak cukup lumayan dan memekatkan kuah rojak.


Menurut Encik Abdul Latiff Yadali, pemilik gerai ini, kuah rojak bandung ini beliau ubah suai daripada kuah rojak biasa dengan ditambah petis bagi "memelayukan"nya. Jika kuah rojak bandung stail Cina, kicap digunakan.


Power Rojak Bandung/Power Bubur Nasi terletak di Gerai nombor 63 Pusat Makanan Ayer Rajah, West Coast Drive.


FATAH'S DELIGHTS


Pemilik gerai, Encik Fattah Sassi, warga Maghribi dan bekas cef, telah bermastautin di Singapura selama tujuh tahun. Dengan pengalamannya, beliau membuka gerai Fatah's Delights dengan menjual lapan jenis hidangan ala-Maghribi seperti nasi daging lembu Maghribi, kebab nasi ayam, kebab ayam, sandwic falafel dan shawarma dengan harga antara $4 dengan $5.


Salah satu hidangan yang diciptanya sendiri ialah nasi ayam Maghribi memandangkan orang Singapura memang gemar makan nasi ayam.


Apa yang berlainan daripada nasi ayam biasa ialah, ayam direbus dengan sedikit rempah-ratus, seperti lemon, bawang putih, halia, lada hitam dan garam, sehingga empuk. Bagi mendapatkan kulit ayam yang cantik dan garing, ia digoreng terendam beberapa minit sahaja. Nasinya pula menggunakan herba koma-koma yang menghasilkan nasi berwarna kuning pucat dengan aroma rempah-ratus seperti buah pelaga dan bunga cengkih. Nasinya tidak berminyak dan rasanya lemak.


Jika hidangan nasi ayam biasa disertakan dengan sup jernih, sup nasi ayam Maghribi ini berempah hasil daripada air rebusan ayam. Disertakan juga dalam hidangan ini salad campuran yang mengandungi sayur salad, hirisan bawang dan hirisan tomato. Cuma saya dapati sos untuk ayam bukanlah sos cili bahkan lebih kepada sos tomato.


Hidangan lain yang saya cuba ialah nasi daging lembu Maghribi yang termasuk nasi ayam koma-koma dan ketulan daging lembu dimasak cara stu sehingga daging betul-betul empuk. Walaupun tiada rempah serbuk digunakan, rasa daging stu ini seakan-akan daging kari tetapi tanpa kuah.


Daging ayam shawarma pula menggunakan rempah kari sebagai bahan pemerap. Daging ayam ini dipanggang kemudian dihiris dan dimakan sama ada dengan nasi ataupun ubi kentang goreng dan salad campuran. Dengan harga $4.50, memang berbaloi.


Alamat Fatah's Delights ialah #B1-26 Pusat Makanan Golden Mile (dahulu Pusat Makanan Beach Road). Ia dibuka setiap hari kecuali hari Ahad dari 11.30 pagi hingga 10 malam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >