Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

130 atlet pelajar bakal beraksi di Temasya Sukan Sekolah Asean 2025

Kontinjen daripada 39 sekolah akan wakili negara dalam tujuh sukan dari 20 hingga 29 Nov
Nov 14, 2025 | 5:20 PM
Temasya Sukan Sekolah-Sekolah Asean (ASG), David Neo, pemimpin kontinjen, Pasukan Sukan Sekolah Singapura (SSST), Rasidah Rahim
Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo (depan, tiga dari kanan); bersama pemimpin kontinjen Pasukan Sukan Sekolah Singapura (SSST), Cik Rasidah Rahim (depan, dua dari kiri); dan timbalan pemimpin kontinjen, Encik Koh Yiak Kheng Leonard (depan, kiri); serta atlet pelajar yang bakal beraksi di Temasya Sukan Sekolah Asean (ASG) yang ke-14, menyanyikan lagu kebangsaan ketika majlis penghantaran di Institusi St Joseph pada 14 November. - Foto TM

Seramai 130 atlet pelajar daripada 39 sekolah akan mewakili Singapura dalam Temasya Sukan Sekolah Asean (ASG) yang ke-14 di Brunei Darussalam dari 20 hingga 29 November.

Kontinjen Pasukan Sukan Sekolah Singapura (SSST) itu akan beraksi dalam tujuh sukan iaitu olahraga, bola keranjang, badminton, bola jaring, sepak takraw, renang dan wushu.

Dalam satu kenyataan media pada 14 November, Kementerian Pendidikan (MOE) menyatakan bahawa ASG 2025 – dengan tema “Bercita-cita, berusaha, mencapai” – akan disertai lebih 1,000 atlet pelajar dan pegawai daripada 10 negara Asean.

Satu majlis penghantaran diadakan bagi atlet pelajar Singapura pada 14 November di Institusi St Joseph, yang dihadiri Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo.

Dalam ucapannya, Encik Neo menekankan bahawa temasya itu penting sebagai platform untuk perkongsian budaya, pembinaan hubungan antara rakyat, dan perayaan kepelbagaian rantau ini.

“Tunjukkan sikap terbuka dan ingin tahu, serta libatkan diri anda dalam perbualan bermakna untuk mempelajari budaya dan tradisi lain. Anda bukan sahaja wakil sukan kita, tetapi juga duta Singapura,” kata Encik Neo.

Beliau menambah bahawa ASG juga peluang bagi atlet pelajar daripada sekolah berlainan untuk membina hubungan erat.

Pemimpin kontinjen SSST bagi temasya itu ialah pengetua Sekolah Menengah Clementi Town, Cik Rasidah Rahim.

Dalam kenyataannya, beliau berkata temasya itu adalah platform untuk pelajar berkembang, bukan sahaja sebagai atlet, bahkan dalam aspek keperibadian.

“Mereka akan berdepan dengan rintangan dan akan mengalami detik kemenangan serta kekecewaan. Namun, nilai yang mereka pegang teguh akan menjadi panduan, dan keperibadian mereka akan menyerlah.

“Mereka akan menyokong satu sama lain, meraikan kemenangan rakan sepasukan dan mendukung satu sama lain apabila rancangan tidak berjalan dengan lancar,” katanya.

Cik Rasidah akan disokong oleh timbalan ketua kontinjen, yang juga pengetua Sekolah Menengah Marsiling, Encik Koh Yiak Kheng Leonard, serta 38 lagi pegawai daripada MOE dan pelbagai sekolah.

Atlet pelajar yang berusia 18 tahun dan ke bawah serta berasal daripada beberapa sekolah menengah dan maktab rendah, telah dipilih berdasarkan prestasi mereka dalam Sukan Sekolah Kebangsaan (NSG) dan kejohanan sukan tempatan dan serantau.

Teruja beraksi di ASG 2025 ialah pemain bola keranjang wanita daripada Sekolah Menengah Swiss Cottage, Marsya Alia Sazali, 17 tahun.

“Saya sangat bersyukur dapat peluang untuk mengharumkan negara bagi sukan bola keranjang dan membuktikan kemahiran kami di pertandingan sebesar ini,” kata naib kapten pasukan bola keranjang wanita itu yang mempunyai pengalaman sekitar lapan tahun dalam sukan itu.

Marsya pernah bermain di Taiwan pada 2023 di bawah kem latihan peringkat serantau (RTC).

Marsya turut mengongsi cabaran dan pengalaman menentang pasukan nasional bola keranjang Sukan SEA 2025 sebagai sesi latihan, yang telah membuat pasukannya lebih matang dan sedia menentang pesaing di ASG 2025 yang bukan calang-calang.

Atlet Nur Aiman Rizian, 15 tahun, pula ghairah mempamerkan kemahiran sebagai pemain penyerang di gelanggang sepak takraw di ASG 2025 nanti.

“Saya bangga dapat mewakili Singapura dan juga sekolah saya. Bukan selalu kami dapat peluang seperti ini, saya ingin membanggakan keluarga dan negara saya,” kata pelajar daripada Sekolah Menengah Bartley itu.

Aiman akan memimpin pasukannya selaku naib kapten dalam penampilan kali pertamanya di peringkat antarabangsa.

Kedua-dua Aiman dan Marsya juga ingin memanfaatkan pengalaman menentang pesaing di rantau ini, selain mendalami budaya yang berlainan.

Aiman, yang mula bermain sepak takraw hampir enam tahun lalu, berkata: “Selain memberikan persembahan cemerlang, saya ingin meningkatkan taraf permainan saya dengan belajar daripada atlet sepak takraw dari negara lain.”

Marsya pula berkongsi: “Saya harap dapat berkenalan dengan rakan baru sambil bergaul dengan pemain yang lebih handal daripada saya.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg