Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

LIGA PERDANA ENGLAND

5 sama handal rebut EPL

Jan 24, 2021 | 05:30 AM



LONDON: Saingan merebut takhta Liga Perdana England (EPL) kian menjadi lebih sengit dan tiada siapa yang dapat menjangkakan pemenangnya pada separuh kedua musim ini. Tidak dapat dinafikan, musim EPL 2020-21 ini menjadi antara perlumbaan merebut piala yang paling menarik dalam sejarahnya.



Jika dahulu hanya terdapat tiga pasukan yang sering disebut-sebut sebagai juara, namun kali ini empat hingga lima pasukan yang telah menunjukkan keinginan untuk merampas trofi dari juara bertahan, Liverpool. Sehingga kini, sembilan pasukan sudahpun merasakan berada di tangga teratas liga musim ini - Manchester United, Manchester City, Leicester, Liverpool, Everton, Tottenham, Chelsea, Southampton dan Arsenal. Ia seperti menjadi satu kesegaran kepada peminat EPL melihat Liverpool hadapi cabaran mempertahankan mahkotanya.



"Anda boleh mempertikaikan pendapat ini bahawa terdapat empat atau lima pasukan yang mampu memenangi liga ini dan saingan kini sangat terbuka luas. "Saya tidak menjangka persaingan liga menjadi begitu sengit, dengan jurang mata yang memisahkan pasukan teratas pada peringkat ini, amat kecil," menurut bekas pemain Newcastle, yang kini menjadi pengamat bola sepak, Alan Shearer kepada laman BBC.




PELUANG SEJAUH INI



Man U sudah boleh mendabik dada



PASUKAN bimbingan Ole Gunnar Solskjaer akhirnya membuktikan potensi mereka dengan menjadi antara pesaing utama, yang kerap bertukar tempat dengan pasukan lain di tangga teratas liga.



Sekitar beberapa bulan lalu, ramai yang tidak menjangkakan United akan berada di posisi ini.



Pada awal pelantikannya, Solskjaer telah merasakan tekanan dan hampir kehilangan jawatannya sebagai pengurus United.



Namun kini, nampak gaya beliau akan terus memikul tanggungjawab itu di masa depan dengan persembahan membanggakan daripada para pemainnya.



Bruno Fernandes merupakan pemain terbaik pasukan itu setelah mengukuhkan tempatnya sebagai salah satu bintang pemain dalam EPL.



Pemain berusia 26 tahun itu telah mempamerkan kemampuannya mengatur rentak permainan dan membantu melakarkan peluang jaringan kepada rakan sepasukan.



Seorang lagi pemain 'midfield' yang telah mendapat semula sentuhannya adalah Paul Pogba, yang telah membantu United mencapai kemenangan menerusi dua jaringannya pada tiga perlawanan liga terakhir kelab itu.



Selain Pogba dan Fernandes, Marcus Rashford dan Anthony Martial juga telah mempamerkan aksi cekap apabila diberi kepercayaan oleh Solskjaer.



Benteng pertahanan United juga telah menunjukkan peningkatan menerusi tiga pemain di bahagian bek tengah yang menampilkan kapten Harry Maguire, Eric Bailly, dan Victor Lindelof.



Serangan Liverpool sudah tumpul



REKOD 68 perlawanan tanpa kalah Liverpool di Anfield berakhir apabila mereka kalah mengejut 0-1 kepada Burnley dalam saingan EPL kelmarin.



Kekalahan tersebut menjadi tamparan buat pasukan kendalian Jurgen Klopp dalam usaha mereka merapatkan jurang dengan pendahulu, United.



Meskipun persembahan mereka tidak begitu menyerlah seperti musim lalu, The Reds masih menjadi antara pasukan pilihan dalam saingan ini.



Tanpa pemain utama di benteng pertahanan, Virgil Van Dijk, akibat kecederaan, Fabinho telah mengambil posisinya dan telah beraksi dengan baik.



Di dalam gawang pula, Liverpool mempunyai seorang penjaga gawang yang hebat dan sepanjang musim ini, Alisson terpaksa memikul beban yang berat bagi mengukuhkan lagi benteng pertahanan tanpa kehadiran Van Dijk.



Tidak seperti musim-musim yang sudah, barisan serangan mereka tampak "tumpul" musim ini.



Gandingan Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane yang sering menggerunkan, gagal mempamerkan aksi cemerlang di hadapan gawang.



Pastinya Klopp akan berasa prihatin terhadap persembahan pasukannya dan bagaimana mereka dapat menemukan kembali sengat di barisan serangan.



Selepas kekalahan di tangan Burnley, beliau berkata pasukannya hanya boleh menyalahkan diri sendiri dan perlu mencari huraian terhadap masalah mereka.



"Ia bukan tentang menyalahkan sesiapa... kami perlu menyelesaikan masalah ini bersama. Buat masa ini sukar untuk membayangkan tentang saingan liga," kata Klopp.



Jika Liverpool berjaya menemui kembali rentak persembahannya, mereka sekali lagi akan menjadi ancaman yang perlu diberi perhatian.



Man City kemaruk rentak mengasak



SEPANJANG musim ini, City jarang menonjol, tetapi sejak kebelakangan ini mereka kembali menunjukkan kekuatan mereka.



Pasukan kendalian Pep Guardiola kekal sebagai barisan paling berbakat dalam liga. Perubahan yang paling mengejutkan musim ini ialah gandingan John Stones dengan Ruben Dias yang terbukti menjadi tembok pertahanan yang kukuh buat City.



Di bahagian serangan, Kevin De Bryune masih menjadi pemain terbaik mereka, namun begitu kecederaan kepada beberapa penyerang utama lain, terbukti menjadi rintangan bagi City.



Isu kecederaan turut membataskan kejayaan pasukan itu musim ini, terutama dengan gol yang sering dijaringkan oleh Sergio Aguero dan Gabriel Jesus yang dapat membantu mereka mengecap kemenangan.



Bagaimanapun, penyesuaian yang dibuat oleh Guardiola kini terbukti berkesan, justeru usah terkejut jika mereka menjadi juara pada akhir musim ini.



Usah perlekeh Leceister, Spurs



SELAIN tiga pasukan yang disebut tadi, Leicester dan Tottenham juga dilihat sebagai pesaing utama merebut piala EPL musim ini.



Pasukan Brendan Rodgers gagal menduduki empat tangga teratas musim lalu, namun kini mereka telah menetapkan sasaran untuk tidak mengulangi kekecewaan tersebut.



James Maddison dan Harvey Barnes telah beraksi cemerlang sejauh ini, ditambah pula dengan ancaman Jamie Vardy di depan gol, meskipun mereka mengalami masalah kecederaan kepada beberapa pemain.



Sementara itu, Tottenham di bawah bimbingan Jose Mourinho juga telah mempamerkan kualiti mereka.



Gandingan Harry Kane dan Son Heung-min di barisan depan terbukti berkesan musim ini, dengan pemain seperti Tanguy Ndombele turut menjadi tunggak dalam kesebelasan utama pasukan tersebut.




SIAPA BAKAL JUARA?



PADA peringkat ini, terbukti ia masih lagi sukar untuk memilih pasukan yang bakal dinobat juara.



Walau apapun, peminat EPL hanya perlu mengikuti perkembangan persaingan ini sehingga akhir musim dan berharap pandemik Covid-19 tidak menjejas aksi bola sepak sekali lagi. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >