LOH KEAN YEW
Singapura (Perseorangan lelaki)
HARAPAN tuan rumah, Loh, 25 tahun, jadi juara cerah membawa keceriaan kepada penyokong tempatan.
Juara dunia itu kini mempunyai peluang cerah untuk merangkul kejuaraan sulungnya di gelanggang sendiri selepas beberapa nama besar seperti pemain nombor satu dunia dari Denmark Viktor Axelsen menarik diri untuk berehat dan warga Jepun Kento Momota (pemain nombor dua dunia) serta Lee Zii Jia dari Malaysia (pemain nombor lima dunia) memutuskan untuk fokus pada kejohanan lain.
Wee Choon Seng adalah juara terakhir perseorangan lelaki negara di Badminton Terbuka Singapura pada 1962.
Namun, Loh, yang menduduki tangga kesembilan dunia, menunjukkan prestasi yang kurang konsisten kebelakangan ini setelah meraih tempat ketiga dalam Indonesia Masters pada awal bulan lalu, sebelum terkandas dalam suku akhir Terbuka Indonesia seminggu kemudian dan pusingan pertama Terbuka Malaysia dua minggu lalu.
ANTHONY GINTING
Indonesia (Perseorangan lelaki)
PEMAIN nombor enam dunia ini tewas kepada Momota dalam final edisi lalu BadmintonTerbuka Singapura pada 2019 dan akan kembali membalas dendam. Anthony, 25 tahun, secara konsisten telah mara sekurang-kurangnya ke pusingan suku akhir dalam kejohanan sebelumnya – Indonesia Masters, Terbuka Indonesia dan Terbuka Malaysia – dan dijangka melakukan yang sama di Singapura.
APRIYANI RAHAYU & SITI FADIA SILVA RAMADHANTI
Indonesia (Beregu wanita)
PASANGAN beregu nombor 29 dunia ini hanya baru digandingkan beberapa bulan lalu tetapi telah menemui keserasian dalam gelanggang.
Bahkan, Apriyani, 24 tahun, dan Fadia, 21 tahun, sudah memenangi kejuaraan kedua mereka di Terbuka Malaysia, selepas meraih emas dalam Sukan SEA Hanoi Mei lalu.
DECHAPOL PUAVARANUKROH & SAPSIREE TAERATTANACHAI
Thailand (Beregu campuran)
PASANGAN ini dinobat juara di Singapura pada 2019 dan menjadi beregu nombor satu untuk memenangi edisi tahun ini.
Dechapol, 25 tahun, dan Sapsiree, 30 tahun, yang menduduki ranking nombor dua dunia, sudah menunjukkan aksi cemerlang musim ini dengan menjuarai Terbuka Jerman dan dua penampilan final dalam Terbuka Thailand dan Terbuka Malaysia, dan bertekad melanjutkan prestasi mantap mereka.
CHOU TIEN-CHEN
China Taipei (Perseorangan lelaki)
CHOU, 32 tahun, menjadi pemain pilihan bagi menjuarai Terbuka Badminton Singapura selepas dua pemain Denmark, Anders Antonsen (pemain nombor tiga dunia), yang cedera, dan Axelsen memutuskan untuk tidak beraksi.
Pemain nombor empat dunia itu belum memenangi gelaran Jelajah Dunia BWF sejak Terbuka Taipei pada September 2019 dan akan mencuba mengulangi kemenangannya di sini, yang diraih pada 2018.
TAI TZU YING
China Taipei (Perseorangan wanita)
TAI, 28 tahun, tidak asing kepada gelanggang Badminton Terbuka Singapura selepas dua kali menjuarai kejohanan itu pada 2017 dan 2019.
Srikandi nombor dua dunia ini akan menjadi pilihan utama untuk merebut kejuaraan di Singapura, dan berada dalam pretasi baik untuk melakukannya setelah menjuarai Terbuka Thailand pada Mei lalu dan Terbuka Indonesia sebulan kemudian, sebelum terkandas dalam separuh akhir Terbuka Malaysia.
RATCHANOK INTANON
Thailand (Perseorangan wanita)
PEMAIN nombor lapan dunia ini mengakhiri kemarau 30 bulan tanpa kejuaraan di Terbuka Malaysia, selepas tempoh sukar yang dihimpit kecederaan dan kematian ibunya.
Ratchanok, 27 tahun, kelihatan sudah mendapat rentak kemenangannya semula dan bertekad memburu satu lagi trofi di Singapura, yang mana beliau pernah muncul juara pada edisi kejohanan 2016.