Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

PERANG DI UKRAINE: KESAN KE ATAS ARENA SUKAN

Abramovich mahu jual Chelsea

Pemilik Chelsea yang rapat dengan kepimpinan Russia berjanji hasil jualan kelab akan dihulur kepada mangsa perang Ukraine
Mar 04, 2022 | 05:30 AM



LONDON: Pemilik Chelsea asal Russia, Roman Abramovich, berkata beliau terpaksa mengambil keputusan yang "amat sukar" untuk menjual kelab Liga Perdana England (EPL) itu.



Namun, beliau berjanji hasil penjualan itu akan diberikan kepada mangsa perang di Ukraine.



Jutawan itu percaya ia adalah demi "kepentingan terbaik" Chelsea, yang baru sahaja memenangi trofi Piala Kelab Dunia, untuk beliau mengundurkan diri.



Perkembangan dramatik itu berlaku beberapa hari selepas Abramovich berkata beliau menyerahkan kepimpinan Chelsea kepada pemegang amanah yayasan amal kelab itu.



Ini selepas sebahagian tokoh politik di Britain menggesa kerajaan negara itu supaya memulakan siasatan terperinci ke atas harta yang dimiliki jutawan dari Russia di negara itu, sebahagian tindakan susulan yang bakal diambil selepas Russia menyerang Ukraine minggu lalu.



"Saya sentiasa mengambil keputusan berdasarkan kepentingan terbaik kelab.



"Dalam situasi sekarang, saya mengambil keputusan untuk menjual kelab kerana saya percaya ia adalah untuk kepentingan terbaik kelab, peminat, pekerja serta penaja dan rakan kongsi kelab ini," kata Abramovich dalam satu kenyataan.



Bank Amerika Syarikat, Raine Group, yang dilantik Abramovich untuk menguruskan penjualan kelab itu, difahami menanti tawaran melebihi £3 bilion ($5.45 bilion) bagi kelab London itu, dengan beberapa jutawan telah menyuarakan minat untuk membelinya.



Abramovich bagaimanapun, berkata tidak akan tergesa-gesa dalam soal penjualan berkenaan dan dalam tindakan yang mengejutkan, beliau telah melupuskan segala pinjamannya kepada Chelsea.



Difahami, beliau telah meminjamkan sekitar £1.5 bilion kepada kelab itu.



"Saya tidak akan meminta pembayaran untuk sebarang pinjaman. Ia bukan berkenaan perniagaan atau wang bagi saya, tetapi minat mendalam terhadap sukan dan kelab ini.



"Saya sudah mengarahkan pasukan saya menubuhkan yayasan amal di mana keuntungan hasil jualan akan didermakan.



"Yayasan itu akan memberi manfaat kepada semua mangsa perang di Ukraine, menyediakan dana kecemasan untuk mangsa-mangsa dan membantu kerja pemulihan jangka panjang," katanya.



Setakat ini, jutawan Switzerland Hansjorg Wyss dan orang terkaya Britain Jim Racliffe yang juga peminat Chelsea, dikatakan berminat membeli kelab Stamford Bridge itu.



Perbuatan Abramovich itu telah disifatkan sebagai detik mercu tanda dalam bola sepak di England.



Sejak mengambil alih kelab itu pada 2003, beliau bukan sahaja mengubah Chelsea untuk menjadi sebuah kelab yang digeruni di Eropah, malah menetapkan ukur tara atau pelan induk bagi membina kelab yang berjaya.



Dalam tempoh itu, Chelsea telah memenangi 19 trofi utama, termasuk dua mahkota Liga Juara-Juara dan lima kejuaraan Liga Perdana England.



Namun kejayaan itu juga telah diraih dengan pelaburan yang besar yang turut menunjukkan sifat 'tegas' Abramovich dalam mengejarnya.



Beliau telah melantik 13 pengurus berbeza dan kelab itu juga telah membelanjakan lebih £2 bilion untuk mendapatkan bintang-bintang utama dunia.



Pasukan wanita Chelsea, yang bergabung dengan Chelsea FC pada 2004, juga telah berkembang maju di bawah pemilikan Abramovich.



Mereka telah memenangi Liga Super Wanita empat kali, menjuarai Piala FA Wanita tiga kali dan mara ke final Liga Juara-Juara musim lalu.



Namun era Abramovich di Chelsea kini hampir berakhir gara-gara perkembangan di luar padang.



Beliau dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, dan dengan jangkaan namanya akan disenarai hitam oleh kerajaan Britain, Abramovich telah mengorak langkah untuk memutuskan sebarang hubungan antara beliau dengan Chelsea. - Agensi berita.




KOMEN PENGURUS CHELSEA



"Masih terlalu awal untuk memberi pendapat tentang perkara ini kerana buat masa ini saya hanya boleh fikirkan Chelsea bersama Roman Abramovich... keadaan ini amat sukar bagi saya. Tapi, tentu sekali ini adalah perubahan besar bagi kami."
- Thomas Tuchel.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >