Subuh
5:46
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:31
Maghrib
7:15
Isyak
8:27

Adaham majukan footvolley SG walau kurang sokongan

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Sukan
30
0

AKTIVIS SUKAN DALAM TUMPUAN

Adaham majukan footvolley SG walau kurang sokongan

Presiden pengasas Footvolley S'pura pimpin negara jadi wakil tunggal Asia di kejohanan dunia di Austria
Jul 10, 2022 | 05:30 AM

CINTA Adaham Abdullah pada sukan footvolley adalah cinta pandangan pertama. Beliau mula jatuh hati pada 2006 semasa menyaksikan satu pertandingan footvolley di Pattaya, Thailand, dan langsung menyertainya.

Adaham pulang ke Singapura membawa cintanya itu dan, berbekal ilmu yang dipelajari, menubuhkan Footvolley Singapura tahun itu juga. Kini, setelah lebih 15 tahun, cinta pengasas dan presiden Footvolley Singapura itu terus mekar.

Bahkan, Adaham, 59 tahun, terus memperjuangkan misinya mengembangkan footvolley di sini sambil menempah nama Singapura dalam sukan itu di persada antarabangsa.

Hujung minggu lalu, beliau membawa pasukan footvolley Singapura - diwakili Mohammed Taufiq Mohammed Khairi dan Muhammad Amirul Iskandar Khairul Anuar - menggembara ke Graz, Austria, menyertai kejohanan Cabaran Graz Dunia 2022. Itu kali pertama skuad nasional Singapura bersaing di Eropah.

Mengimbas kembali bersama Berita Minggu titik mula beliau membangunkan footvolley di sini, Adaham, yang juga ketua jurulatih pasukan footvolley Singapura, berkata: "Pertama kali saya menonton perlawanan footvolley dalam satu kejohanan di Pattaya, saya terus jatuh cinta padanya.

"Yang unik tentang sukan ini ialah cara pemain membuat hantaran bola yang tinggi menggunakan dada mereka."

Tertarik, Adaham, bekas pemain sepak takraw nasional Singapura, belajar kemahiran itu daripada pemain luar negara yang ditemuinya di sana.

"Saya kemudian berlatih sendiri sampai saya dapat (melakukan kemahiran itu) dan mengajarnya kepada pemain lain di sini," ujarnya.

Footvolley berasal dari Brazil dan mirip bola tampar pantai, tetapi pemainnya tidak menggunakan tangan. Sebaliknya, mereka menggunakan anggota badan lain, seperti kepala, dada dan kaki.

Singapura satu-satunya negara Asia yang bertanding di Graz, menentang negara seperti Brazil, Amerika Syarikat dan lapan negara Eropah.

Meskipun Singapura tewas dalam semua tiga perlawanan mereka menentang Norway, Jerman dan Austria, Adaham berkata pengalaman yang diraih anak didiknya berdepan pasukan handal, yang turut merangkumi pemain profesional, amat berharga bagi pertandingan mendatang.

"Ia juga peluang baik untuk kami berhubung dengan pasukan di Eropah... Mereka kini sudah mengenali kami dan mungkin kami dapat mengadakan lebih banyak lawatan untuk bermain di Eropah," ujarnya.

Sejak penubuhannya, Footvolley Singapura belum diiktiraf sebagai sebuah badan sukan nasional. Justeru, Adaham mengakui bahawa sokongan kewangan dan kemudahan berlatih adalah satu cabaran besar yang dihadapinya. Pasukan Footvolley Singapura biasanya berlatih di Pantai East Coast secara percuma.

"Tapi masalah berlatih di Pantai East Coast ialah tiada lampu pada waktu malam. Jadi, kami tidak dapat mengadakan banyak sesi latihan," jelas Adaham.

Bagi persiapan ke Graz, beliau mendapatkan pertolongan Hub Sukan Singapura untuk membenarkan pasukannya berlatih di gelanggang bola tampar pantai mereka, yang berlampu, dua malam seminggu.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Namun, Adaham kekal cekal memajukan tahap footvolley Singapura. Negara ini antara pasukan terbaik di Asia dan mendapat tempat ketiga dalam Kejohanan Footvolley Asia 2018 serta divisyen dua Kejohanan Footvolley Dunia Thailand 2019.

"Jika pemain dapat berlatih secara konsisten, mereka boleh memperbaiki diri dan melangkah jauh," kata Adaham.

Taufiq, 31 tahun, yang bermain footvolley sejak 2009, berkata: "Saya berharap Footvolley Singapura akan mendapat sokongan penguasa sukan Singapura dari segi kemudahan, peralatan, kewangan dan pemasaran, untuk mengembangkan komuniti ini dan menarik lebih ramai pemain muda.

"Saya melihat potensi besar untuk sukan ini menjadi popular di serata dunia dan dipertandingkan dalam Sukan Olimpik pada masa akan datang."

Adaham juga berkongsi bahawa ada perancangan untuk footvolley disertakan dalam Sukan Pantai Asia 2024 di India dan Sukan SEA 2025 di Bangkok, Thailand.


Tapi masalah berlatih di Pantai East Coast ialah tiada lampu pada waktu malam. Jadi, kami tidak dapat mengadakan banyak sesi latihan. Jika pemain dapat berlatih secara konsisten, mereka boleh memperbaiki diri dan melangkah jauh.
- Adaham Abdullah, mengenai kekurangan sokongan kewangan dan kemudahan berlatih yang merupakan cabaran besar yang dihadapinya.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3