Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

SUKAN OLIMPIK RIO: LORONG KEEMPAT, SARINGAN KEEMPAT...

Aisyah siap cipta sejarah

Ratu menembak, Jasmine, turut buru pingat bersejarah
Aug 06, 2016 | 05:30 AM



SEJARAH akan tercipta sebaik srikandi mendayung negara, Saiyidah Aisyah Mohamed Rafa'ee, berada di garis mula perlumbaan saringan acara perseorangan 'sculls' di temasya Sukan Olimpik Rio ini yang berlangsung di Lagun Rodrigo de Freitas sekitar 9 malam ini waktu tempatan (8 pagi esok waktu Singapura).



Beraksi dalam saringan keempat - dan berlumba di lorong keempat - Aisyah dijangka antara lima peserta dalam saringan itu yang termasuk Svetlana Germanovich (Kazakhstan), Jeanine Gmelin (Switzerland), Huang Yi-Ting (Taiwan) dan Duan Jingli (China).



Cabarannya memang besar sekali tetapi kehadiran Aisyah di temasya Sukan Olimpik sulungnya ini sudah pun satu pencapaian penuh bersejarah sejak beliau mula berjinak-jinak dalam sukan ini 12 tahun lalu.



Aisyah adalah pendayung nasional pertama yang bakal bertanding di Sukan Olimpik tahun ini (Rio 2016). Beliau juga atlit perempuan Melayu pertama yang beraksi di Olimpik sejak pemain badminton Zarinah Abdullah bertanding di Sukan Atlanta pada 1996.



Sekalipun memenangi pingat merupakan impian setiap atlit yang bertanding di Olimpik ini, pendayung berusia 28 tahun itu mengambil pendekatan realistik mengenai peluangnya di Rio.



"Matlamat saya ialah menunjukkan prestasi terbaik saya nanti," ujarnya kepada media setempat baru-baru ini.



"Saya telah berbincang dengan jurulatih saya dan kami telah melakarkan matlamat yang realistik.



"Siapalah yang tidak mahu menang pingat Sukan Olimpik... tetapi saya juga harus realistik... yang penting ialah berusaha menunjukkan prestasi terbaik saya," tambah Aisyah, yang berharap meletakkan dirinya di kalangan kelompok 20 pendayung terbaik bagi acaranya itu.



Beliau bagaimanapun bukan atlit pertama Team Singapore yang turun berjuang di hari pembukaan temasya Rio ini - yang dibuka dengan satu upacara pembukaan yang penuh gilang-gemilang lewat malam tadi waktu tempatan (7 pagi tadi waktu Singapura).



Ratu menembak, Jasmine Ser, merupakan atlit pertama Singapura turun gelangang bagi acara 10 meter rifel angin sekitar 7.30 malam ini waktu tempatan (6.30 pagi esok waktu Singapura) - acara pingat pertama di temasya Rio ini.



Kejayaan Jasmine merangkul pingat gangsa di salah satu pusingan Piala Dunia Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa (ISSF) di Bangkok pada Mac lalu tentunya menjadi pendorong bahawa beliau mampu bersaing untuk merangkul pingat pertama kontinjen negara di Rio ini.



"Saya anggap tekanan sebagai sesuatu yang positif, ia merangsang saya untuk memberikan lebih baik lagi," ujar Jasmine, pemenang tiga pingat emas Sukan Komanwel, menjelang acaranya itu.



Aisyah dan Jasmine adalah antara 25 atlit - yang akan bersaing dalam tujuh cabang sukan - yang membentuk kontinjen Singapura di temasya Olimpik Rio ini.




SEKILAS



  • Sukan Olimpik Rio berlangsung 5 hingga 21 Ogos. Ini kali pertama temasya sukan terbesar dunia ini dihoskan bandar Amerika Selatan.

  • Lebih 10,500 atlit dari 206 negara, termasuk Kosovo dan Sudan Selatan yang bakal tampil buat kali pertama, dijangka memeriahkan temasya. 'Kontinjen Pelarian' turut bertanding di bawah bendera Olimpik yang menampilkan 10 atlit, lima dari Sudan Selatan, dua dari Syria, dua dari Congo dan seorang dari Habsyah.

  • Amerika Syarikat menampilkan kontinjen terbesar dengan 554 atlit manakala pelari acara lumba 100 meter, Etimoni Timuani, adalah satu-satunya wakil Tuvalu, negara yang terletak di Pasifik Selatan.

  • Kontinjen Team Singapore dianggotai 25 atlit yang akan bersaing dalam tujuh cabang sukan iaitu renang, tenis meja, atletik, badminton, mendayung, kapal layar dan menembak.

  • Upacara pembukaan gilang-gemilang di Stadium Maracana yang bersejarah dijadualkan malam tadi waktu tempatan (7 pagi ini waktu Singapura) dan dijangka ditonton sekitar 3 bilion penonton di serata dunia.

  • Upacara pembukaan dirancang sejak lima tahun lalu dan membabitkan penyertaan 300 penari, 5,000 sukarelawan dan 12,000 kostum.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >