LIGA PERDANA SINGAPURA

Albirex mahu ambil lebih ramai bakat setempat

Jadi pasukan pertama catat rekod 24 perlawanan tanpa kalah

PASUKAN pertama dalam sejarah bola sepak tempatan yang mencatatkan rekod 24 perlawanan tanpa kalah.

Dengan kejuaraan Liga Perdana Singapura (SPL) tahun ini berada dalam genggaman sebelum tamat musim liga, kelab bola sepak Albirex Niigata ingin menumpukan perhatian seterusnya kepada pembangunan bakat pemain setempat sebagai langkah selanjutnya.

Ini setelah Adam Swandi dan Shahrul Rayyan mengikat kontrak bersama pasukan Jepun tersebut pada musim SPL ini, kali pertama pemain setempat bermain bagi kelab tersebut yang kesebelasannya rata-rata berbangsa Jepun.

Pengerusi Albirex Niigata, Daisuke Korenaga, berkata:

"Kami ingin menarik lebih ramai pemain setempat supaya secara langsung, kami dapat menyumbang juga kepada pasukan kebangsaan.

"Ketika ini kami dalam perbincangan untuk menarik sekitar empat pemain setempat dan mungkin kakitangan jurulatih setempat juga."

Beliau menambah bahawa pihaknya juga telahpun mengetengahkan rancangan tersebut kepada Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dan "mereka mengalu-alukan langkah itu".

"Kami sekarang memikirkan cara terbaik bagi melakukannya," tambah Korenaga.

Beliau ditemui kelmarin ketika kelab tersebut mengadakan sambutan akhir musim di gedung Sungei Kadut Gain City, antara penaja pasukan itu.

Mengimbas prestasi anak didiknya bagi musim ini, ketua jurulatih Albirex, Kazuaki Yoshinaga, berkata:

"Musim ini agak jarang berlaku di arena bola sepak seluruh dunia kerana kami memperoleh keputusan di luar jangkaan sepanjang tahun jadi saya amat berpuas hati."

Yoshinaga juga mengulas mengenai prestasi Adam - yang tidak dapat hadir kerana latihan bersama skuad Singa - di atas padang yang mencatatkan kemajuan yang sangat memuaskan.

"Dapat dilihat dari sudut kecergasannya, beliau mencatatkan prestasi baik kerana dapat berlari sepanjang 90 minit berbanding musim sebelumnya, di mana beliau bermain buat Home United," tambahnya.

Setakat ini, Yoshinaga belum lagi meletakkan sasaran bagi musim seterusnya dan ingin memberi masa rehat kepada pemain atas prestasi yang cemerlang.

Dalam pada itu, acara kelmarin turut menyaksikan kelab tersebut menyampaikan cek bernilai $21,273 kepada Kelab Sukan Masyarakat (CSC) Yuhua yang diserahkan oleh pengerusinya kepada pengerusi Yuhua CSC, Encik Lim Chock Sing.

  • Muhaimin Suzaini seorang penulis sambilan.

"Kami ingin menarik lebih ramai pemain setempat supaya secara langsung, kami dapat menyumbang juga kepada pasukan kebangsaan. Ketika ini kami dalam perbincangan untuk menarik sekitar empat pemain setempat dan mungkin kakitangan jurulatih setempat juga."
- Pengerusi Albirex Niigata, Daisuke Korenaga.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 36
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.