Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21

Albirex, Tampines saling mahu elak 'luka berganda'

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Sukan
30
0

Albirex, Tampines saling mahu elak 'luka berganda'

Mar 30, 2018 | 05:30 AM

SEBAGAI juara dua kali berturut-turut, Albirex Niigata akan berusaha mengekalkan penguasaan mereka dan mencatatkan kejuaraan hatrik sempena pembukaan musim baru Liga Perdana Singapura (SPL) esok.

Dan sebagai kelab gergasi bola sepak yang pernah menjulang kejuaraan liga profesional setempat sebanyak lima kali sebelum ini, Tampines Rovers pula ghairah mahu mengembalikan era kegemilangannya.

Dengan kededuanya berazam membuka kempen dengan langkah kemenangan, jangkakan 'ledakan' serta aksi menarik apabila dua kelab terbaik bola sepak Singapura itu berentap bagi merebut Perisai Masyarakat - yang secara tradisi menjadi pembukaan tirai musim baru - di Stadium Negara mulai 5.30 petang esok.

Dengan pertemuan itu juga merupakan satu perlawanan liga, pemenang berupaya merai kejayaan berganda - mahkota Perisai Masyarakat serta tiga mata kemenangan.

Sebaliknya pula akan menimpa pasukan yang kalah, seperti yang dipertikaikan jurulatih Tampines, Juergen Raab, semasa bercakap di sidang media menjelang perlawanan itu yang diadakan di Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) semalam.

"Ia ibarat satu hukuman bukan sahaja ke atas piala ini (Perisai Masyarakat), malah ke atas liga... kenapa diadakan satu perlawanan untuk dua kejohanan sekali gus... ini bermakna hukuman berganda bagi Albirex jika mereka tewas atau ke atas kami (jika Tampines tewas)," ujar pengurus asal Jerman berusia 59 tahun itu.

"Ini sesuatu yang sukar untuk saya fahami... ia juga tidak dilakukan di negara lain... apabila anda memulakan musim dan mengalami kekalahan, anda bukan sahaja kehilangan piala (Perisai Masyarakat), malah juga hilang tiga mata... adakah itu adil?

"Jadi, tentu sekali kami mahu cuba memulakan musim ini dengan kemenangan dan berharap nasib menyebelahi pasukan kami kali ini.

"Saya berharap pasukan saya beraksi seperti musim lalu... mempamerkan kualiti dan intensiti tinggi... bermain dengan baik... itu sahaja harapan saya," ujar Raab lagi sambil melahirkan kebimbangan peraturan baru SPL yang memberi penekanan ke atas usaha memupuk bakat muda akan menjejas mutu bola sepak musim ini.

"Bagi saya, pemain muda harus diturunkan berdasarkan kualiti mereka, bukan kerana mereka muda.

"(Peraturan) ini adalah sama untuk semua pasukan... sesuatu yang perlu kami tangani... harapan saya ialah melihat pemain muda ini memiliki pemikiran yang betul dan terus bekerja keras untuk bersaing mendapatkan tempat mereka," tambah Raab yang skuadnya diimbangi beberapa tenaga veteran berpengalaman termasuk Khairul Amri Kamal, Daniel Bennett, Fahrudin Mustafic, Fazrul Nawaz, Yasir Hanapi dan Afiq Yunos.

Dengan menampilkan skuad lebih muda kali ini, jurulatih Albirex, Kazuaki Yoshinaga, menggariskan harapan melihat pasukannya terus menunjukkan peningkatan sepanjang musim ini.

Albirex menggondol kesemua empat kejuaraan yang dipertandingkan sejak dua musim dan mempunyai dorongan besar untuk meneruskan kecemerlangan mereka.

"Ini musim istimewa bagi kami... tahun ke-15 Albirex bermain dalam liga di Singapura ini, jadi kami berharap dapat memulakan musim dengan baik," ujar Yoshinaga.


SEKILAS SPL

- Mula diperkenalkan pada 1996, Liga-S kini dikenali sebagai Liga Perdana Singapura (SPL)

- Nama serta logo baru ini diiringi visi baru menyemarakkan seluruh ekosistem bola sepak setempat

- Antara inisiatif baru bagi musim sulung SPL ialah penekanan ke atas pembangunan pemain muda berdasarkan kepada empat teras utama iaitu menjadikan SPL sebagai platform utama bagi melahirkan bakat muda, mempertingkatkan profesionalisme di semua peringkat termasuk pemain, pegawai dan pentadbiran, berdaya tahan serta mewujudkan budaya bola sepak yang bertenaga

- Kelab setempat perlu mendaftarkan sekurang-kurangnya enam pemain berusia di bawah 23 tahun dengan tiga daripada kumpulan pemain muda itu perlu disertakan dalam kesebelasan utama dalam setiap perlawanan

- Jumlah pemain import dikurangkan daripada tiga pemain sebelum ini kepada dua pemain musim ini

- Sebahagian besar perlawanan akan diadakan pada hujung minggu - mulai 5.30 petang - dengan pelbagai acara sampingan diadakan sebelum perlawanan bagi menarik penglibatan seisi keluarga

- Lebih usaha membawa aksi SPL lebih dekat kepada penyokong melalui 'live streaming' yang akan ditayangkan di pelbagai platform FAS

- Enam kelab utama setempat yang akan beraksi musim ini ialah Balestier Khalsa, Geylang International, Home United, Hougang United, Tampines Rovers dan Warriors FC.

- Mereka akan disertai skuad pembangunan belia Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) - Young Lions

- Dua pasukan undangan musim ini ialah kelab dari Jepun, Albirex Niigata dan Brunei DPMM

- Pertemuan pembukaan musim baru ini antara Albirex Niigata dengan Tampines Rovers akan bermula 5.30 petang di Stadium Negara

- Tiket berharga $5 (konsesi $2) boleh didapatkan antaranya di laman sportshubtix.sg dan semua cawangan SingPost


JADUAL AWAL SPL

Pusingan 1:
4 April 2018

Young Lions lwn Hougang United (Stadium Jalan Besar, 7.45 mlm)
Home United lwn Balestier Khalsa (Stadium Bishan, 7.45 mlm)
Geylang lwn Warriors FC (Stadium Bedok, 7.45 mlm)

Pusingan 2:
7 April 2018

Tampines Rovers lwn Geylang (Our Tampines Hub, 5.30 ptg)
Brunei DPMM lwn Home United (Bandar Seri Begawan, 8.15 mlm)

8 April 2018

Warriors FC lwn Young Lions (Stadium Choa Chu Kang, 5.30 ptg)
Balestier Khalsa lwn Albirex (Stadium Toa Payoh, 5.30 ptg)

11 April 2018:

Balestier Khalsa lwn Young Lions (Stadium Toa Payoh, 7.45 mlm)

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3