LONDON: Bos Arsenal, Mikel Arteta, telah memohon maaf kepada penyokong kelab itu selepas pasukannya tewas di luar jangkaan kepada Crystal Palace dalam perlawanan Liga Perdana England (EPL) kelmarin.
Arteta berkata keputusan itu dan cara pasukannya tewas adalah sukar diterima.
Ini terutama kerana Arsenal melangkah ke padang lawan dengan penuh harapan untuk memperkukuh saingan bagi merampas tempat kelayakan bagi Liga Juara-Juara Eropah musim depan.
Namun pemain-pemainnya gagal menandingi tekad dan kesungguhan pemain pasukan tuan rumah di Selhurst Park, yang bermakna pengurus Palace, Patrick Viera, yang dianggap legenda di Arsenal, berjaya menewaskan bekas kelabnya itu.
"Masanya kini adalah untuk menerima cemuhan, memohon maaf dan mengaku cara kami beraksi tidak memadai," kata Arteta.
"Tapi selepas itu, kami perlu bertindak dan menunjukkan kami mampu bangkit."
Menurut Arteta, pasukannya tidak memulakan perlawanan dengan baik.
"Dari mula, kami tidak bermain dengan baik. Tapi kami seharusnya tahu kami perlu bertarung bermati-matian dalam perlawanan sebegini, bersikap agresif dan bermain tanpa gentar. Kesemua ini tidak dapat dilihat," ujar beliau lagi.
The Gunners berpeluang meloncat atas Totteham Hotspur untuk menduduki tangga keempat jika ia menang atau seri.
Namun ia ketinggalan awal dalam permainan selepas Jean-Philippe Mateta menanduk masuk bola dari satu tendangan bebas.
Permulaan yang mengecewakan itu menjadi lebih buruk bagi pasukan pelawat apabila Jordan Ayew berjaya melepasi kacipan dua pemain pertahanan Arsenal dan melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan oleh Aaron Ramsdale.
Arsenal berjaya bangkit selepas rehat dan berpeluang merapat jurang, tapi percubaan Martin Odegaard tersasar walaupun beliau tidak dikawal dalam petak penalti dan percubaan Eddie Nketiah mengena palang.
Namun harapan Arsenal untuk bangkit musnah selepas itu apabila Wilfried Zaha dijatuhkan dalam petak penalti dan beliau sendiri menyempurnakan tendangan penalti itu, memberikan kemenangan meyakinkan 3-0 kepada Palace.
Kemenangan itu, yang pertama bagi Palace di tempat sendiri pada 2022, menaikkannya ke tangga ke sembilan, sementara Arsenal kekal di tangga kelima di belakang Spurs, dengan mata yang sama, tetapi kiraan gol yang kurang.
Namun, Arsenal masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan dan kini Arteta harus menyemarak semula semangat pasukannya, yang dijangka terpaksa menghabiskan musim tanpa dua tunggak - Kieran Tierney yang mengalami kecederaan lutut dan Thomas Partey yang tidak dapat meneruskan perlawanan selepas mengalami kecederaan pada separuh masa kedua. - Agensi berita.