Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

WAWANCARA DENGAN PENOLONG ‘CEF-DE-MISSION’ S’PURA KE SUKAN SEA

Asmah Hanim mahu lihat atlet S'pura berikan terbaik

May 02, 2022 | 05:30 AM



BUAT yang terbaik dan yakin kerja keras selama ini akan berbaloi, pesan penolong 'cef-de-mission' kontinjen Singapura di Sukan SEA 2022, Asmah Hanim, kepada para atlet negara yang bakal bertanding di Hanoi, Vietnam, pada 12 hingga 23 Mei ini.



Singapura akan diwakili 427 atlet dalam 33 cabang sukan di edisi ke-31 temasya sukan itu, yang ditunda selama lima bulan dari tarikh asal, Disember 2021, akibat pandemik Covid-19.



Sebanyak 526 acara daripada 40 sukan akan dipertandingkan di Vietnam, iaitu kali kedua negara tersebut menjadi tuan rumah sejak penampilan pertamanya pada 2003.



Rombongan Singapura di Sukan SEA ini akan dipimpin bekas atlet taekwondo, S. Sinnathurai, yang dilantik sebagai 'cef-de-mission' (CDM). Selain Asmah, bekas pelari pecut negara, Sinnathurai akan turut dibantu oleh bekas penembak negara, Damien Ler.



Ketika ditanya Berita Harian (BH) apa nasihat beliau kepada para atlet Singapura yang akan ke Sukan SEA, Asmah, 38 tahun, ketika ditemui di pejabat Sport Singapore (SportSG) baru-baru ini, berkata:



"Hakikatnya, mereka sudah berusaha dan berlatih dengan gigih. Jadi, hanya yang tinggal adalah untuk tampil beraksi dalam gelanggang dan berikan yang terbaik mereka."



Daripada kontinjen Singapura tahun ini, 243 atlet bakal diperkenalkan kepada pentas temasya sukan Asia Tenggara itu buat julung-julung kalinya. Asmah memandang bilangan ini sebagai suatu yang menggalakkan dalam kemajuan sukan negara.



"Saya berharap pengalaman ini akan melancarkan proses mereka (ke puncak kejayaan) bahkan untuk mereka mempunyai impian ke temasya sukan utama lain," ulas guru pendidikan jasmani di sebuah sekolah menengah itu.



Pelantikan sebagai penolong CDM di Sukan SEA Hanoi merupakan yang pertama buat Asmah.



"Apabila saya diberikan peranan ini, saya rasa ia adalah satu penghormatan. Sebagai bekas atlet dan pentadbir sukan, saya fikir saya dapat membawa pengalaman saya ke temasya sukan ini," kata ketua pembangunan dan persembahan sukan di Persatuan Atletik Singapura (SA) dari 2014 hingga 2015 itu.



Sebelumnya, beliau juga pakar kajian sains sukan di Institusi Raffles selama empat tahun sejak 2012.



Beliau pernah menggalas tugas pengurus pasukan atletik di Sukan Asia dan Sukan Olimpik Belia pada 2014, selain menjadi Penolong Setiausaha Kehormat SA pada 2010 hingga 2012.



Di Hanoi nanti, Asmah akan bekerja rapat dengan sekretariat Sukan SEA Singapura, yang terdiri daripada SportSG dan Majlis Kebangsaan Olimpik Singapura (SNOC), serta pegurus pasukan untuk memastikan kebajikan atlet Singapura dijaga dan mereka berada dalam keadaan yang baik sepanjang kejohanan.



Asmah, bagaimanapun, mengakui edisi Sukan SEA kali ini agak mencabar, dengan ia dianjurkan di tengah-tengah pandemik dan tanpa wisma atlet di satu lokasi berpusat. Acara sukan akan diadakan di 12 wilayah, termasuk Hanoi dan kawasan sekelilingnya.



"Tapi, dengan sokongan pelbagai agensi, kami rasa terjamin dan bersiap sedia untuk mengurus serta membantu atlet kita ketika di sana," kongsinya.



Asmah akan berlepas ke Hanoi lusa (4 Mei), sehari selepas Hari Raya Aidilfitri. Walaupun terkilan hanya dapat menyambut Lebaran sehari bersama keluarga, lebih-lebih lagi dengan sekatan Covid-19 kini dilonggarkan di sini, namun beliau percaya pengorbanannya berbaloi demi kecemerlangan sukan negara.



"Sudah pasti saya akan terlepas beberapa kunjungan Hari Raya. Tapi, tidak mengapa, saya rela berkorban," tambahnya.




“Saya berharap pengalaman ini akan melancarkan proses mereka (ke puncak kejayaan) bahkan untuk mereka mempunyai impian ke temasya sukan utama lain.
... Apabila saya diberikan peranan ini, saya rasa ia adalah satu penghormatan. Sebagai bekas atlet dan pentadbir sukan, saya fikir saya dapat membawa pengalaman saya ke temasya sukan ini.’’
– Asmah Hanim, penolong ‘cef-de-mission’ kontinjen Singapura di Sukan SEA 2022.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >