Subuh
5:58
Syuruk
7:16
Zuhur
1:20
Asar
4:35
Maghrib
7:21
Isyak
8:31
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

MENJELANG SUKAN SEA: ATLET DALAM TUMPUAN

Atlet duathlon SG yakin peluang pingat di Hanoi

Arif tidak sabar turun gelanggang Sukan SEA lepas dua tahun dihambat Covid-19
Apr 17, 2022 | 06:12 AM



SETELAH lebih dua tahun berehat daripada medan antarabangsa akibat pandemik Covid-19, atlet duathlon Singapura, Ahmad Arif Ibrahim, ghairah untuk kembali bertanding dan menebus waktu yang hilang.



Arif, 28 tahun, bakal bersaing dalam acara duathlon lelaki di Sukan SEA Hanoi pada 12 hingga 23 Mei.



Perlumbaan itu akan menjadi pertandingan luar negara pertamanya sejak Covid-19.



Arif kali terakhir berlumba di Sukan SEA Manila pada Disember 2019, apabila beliau membuat penampilan sulungnya di temasya sukan Asia Tenggara itu dan merangkul pingat perak dalam acara duathlon berganti-ganti campuran lelaki.



"Saya tidak sabar untuk berlumba di Sukan SEA. Pertama, sebab saya dapat kembali bertanding di luar negara, dan yang kedua, saya akhirnya dapat keluar dari Singapura selepas dua tahun," ujar guru pendidikan jasmani di sebuah sekolah rendah itu.



"Saya rindu bertanding di luar negara kerana saya selalunya dapat bertemu pesaing negara lain ketika bertanding di luar negara ataupun Singapura.



"Tapi, disebabkan Covid-19, kami hanya dapat bertanya khabar melalui media sosial. Tiada apa yang dapat menandingi pertemuan secara fizikal selepas perlumbaan."



Malah, persiapan Arif menjelang Sukan SEA kali ini turut menyaksikan perubahan.



Langkah pengurusan selamat Covid-19 di Singapura bermakna tiada perlumbaan tempatan dapat dianjurkan, dengan atlet disekat peluang pertandingan serta latihan di luar negara dek sekatan perjalanan.



Justeru, Arif dan rakan sepasukannya berlumba secara hibrid di sini, iaitu mereka berenang dalam kolam renang, kemudian mengayuh basikal yang disambungkan ke komputer dan berlari di trek.



Triathlon merangkumi tiga jenis sukan - renang, berbasikal dan larian - manakala peserta duathlon berlumba basikal dan berlari.



Acara triathlon dan duathlon lazimnya diadakan di luar bangunan dan peserta berenang di perairan terbuka.



"Perlumbaan hibrid berbeza sedikit berbanding perlumbaan sebenar kerana ada beberapa perkara anda tidak dapat lakukan ketika anda mengayuh secara fizikal," kata Arif.



Ini termasuk 'drafting' atau bersembunyi di belakang pesaing ketika berlumba bagi menjimatkan tenaga yang diperlukan untuk mengayuh basikal, jelasnya.



Arif menambah bahawa beliau juga harus membuat penyesuaian pada latihannya semasa Ramadan, sebulan sebelum ke Hanoi.



Beliau kini berlatih seawal 4 pagi untuk sesi pertamanya, sebelum menjalani satu lagi sesi selepas buka puasa, tiga kali seminggu.



Pengalaman latihan sebegini, bagaimanapun, bukan unik bagi beliau, yang sebelum ini perlu menjalani latihan dan berlumba sambil berpuasa bagi kelayakan ke Sukan SEA 2019 dan edisi tahun ini.



"Kesukarannya hanyalah saya perlu mengorbankan sedikit waktu tidur saya," ujarnya.



Tahun ini juga merupakan tahun sibuk buat Arif, yang, selain bertanding di Sukan SEA bulan depan dan memburu kelayakan di Sukan Asia pada Ogos, akan mendirikan rumah tangga Julai ini.



"Semuanya - pertandingan, kerja dan persiapan majlis perkahwinan - berlangsung pada masa yang sama.



"Saya akan mengambilnya selangkah demi selangkah… Tapi, ini juga membuat saya lagi berdisiplin pada latihan," katanya.



Meskipun perjalanan beliau ke Sukan SEA 2022 tidak selancar yang diharap, Arif kekal fokus untuk membawa pulang sebutir pingat.



"Dalam setiap pertandingan yang anda sertai, anda sentiasa berharap untuk menjadi yang terbaik.



"Pada hari pertandingan apa saja boleh berlaku. Jadi, bagi saya, selagi saya mengikut pelan perlumbaan saya, saya tahu saya sekurang-kurangnya ada peluang untuk meraih pingat," ujar Arif.



Singapura akan diwakili lapan atlet dalam empat acara triathlon dan duathlon di Sukan SEA Hanoi.



Pada edisi lalu pada 2019, Singapura menang dua pingat perak, setiap satu dalam acara trialthlon dan duathlon.




"Dalam setiap pertandingan yang anda sertai, anda sentiasa berharap menjadi yang terbaik. Pada hari pertandingan apa saja boleh berlaku. Jadi, bagi saya selagi saya mengikut pelan perlumbaan saya, saya tahu saya sekurang-kurangnya ada peluang meraih pingat."
- Ahmad Arif Ibrahim, atlet duathlon Singapura.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >