MADRID: Jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez, tidak menolak pasukannya terus bangkit dan mengejar bagi gelaran La Liga yang kian capai kemuncaknya musim ini selepas menyaksikan anak didiknya membelasah pendahulu Real Madrid 4-0 di Bernabeu kelmarin.
Real, yang memenangi lima perlawanan Clasico sebelum ini, menduduki tangga teratas dengan kelebihan sembilan mata ke atas pesaing terdekat, Sevilla, berbaki sembilan perlawanan, dengan Barcelona menduduki tangga ketiga - 12 mata di belakang Real tetapi mempunyai satu perlawanan dalam tangan.
Pierre-Emerick Aubameyang meledak dua gol dalam penampilan pertamanya dalam Clasico, di samping merintis peluang jaringan rakannya, Ferran Torres.
Aubameyang dan Ronald Araujo menanduk masuk hantaran lintang Ousmane Dembele sebelum waktu rehat dengan kuis cantik Aubameyang kemudian membuka peluang bagi Torres melebarkan jurang bagi Barca.
Bekas penyerang Arsenal, Aubameyang, menjaringkan gol keempat daripada hantaran Torres.
Barca kini belum tewas dalam 12 perlawanan dan Xavi berkata:
"Saya tidak tahu sama ada kami boleh memenangi kejuaraan, tetapi kami tidak boleh menolak apa-apa. Mungkin kami agak lewat, tetapi ini adalah kemenangan yang sangat besar untuk kami.
"Kami beraksi jauh lebih baik daripada Real Madrid. Kami bermain hampir seperti pasukan tuan rumah... ia kemenangan penuh bermakna bukan sahaja bagi pasukan, malah juga bagi peminat. - AFP.