SON HEUNG-MIN tidak suka kalah
PEMAIN sayap Tottenham Hotspurs ini menjadi pemain Asia pertama dalam sejarah Liga Perdana England (EPL) menjaringkan lebih dari 50 gol.
Beliau juga dicalonkan untuk Ballon d'Or pada 2019, menduduki tempat ke-22 di antara 30 calon lain - kedudukan ranking pemain tertinggi yang pernah dicapai oleh pemain Asia.
Sewaktu pemindahannya ke Spurs pada 2015 yang bernilai £22 juta, Son juga merupakan pemain Asia termahal dalam sejarah.
Kini beliau di bawah kendalian pengurus baru
Spurs, Nuno Espirito Santo, dan Son telahpun menandatangani kontrak baru untuk kekal bersama kelab itu selama empat tahun lagi.
Meskipun menunjukkan persembahan yang cemerlang musim lalu, pemain berusia 29 tahun itu ingin terus mempertingkatkan prestasinya.
"Saya tidak fikir bahawa itu adalah musim terbaik saya. Musim baru akan bermula dan saya akan terus memberikan persembahan terbaik.
“Saya berusaha memperbaiki segalanya kerana saya masih mahu belajar dan memperbaiki diri kerana saya hanya mahu menang. Saya tidak suka dengan kekalahan. Itulah sebabnya saya berusaha memperbaiki segalanya, dan saya \rasa penting untuk meningkatkan pemikiran saya setiap hari,” ujarnya.
JACK GREALISH mahu beraksi di Liga Juara-Juara
JACK GREALISH sudahpun mengalu-alukan peluang beraksi dengan Manchester City selepas penampilan sulungnya dengan kelab itu sewaktu perlawanan Perisai Masyarakat baru-baru ini.
Grealish, 25 tahun, yang ditandatangani dengan nilai £100 juta minggu lalu sekali gus menjadi pemain termahal di England, ditampilkan sebagai pemain gantian sewaktu City tewas di tangan Leicester City.
Setiap kali bekas kapten Aston Villa itu menyentuh bola, pemain lawan pantas membendungnya.
Penampilan sulungnya itu tidak berakhir seperti yang beliau harapkan, bagaimanapun, masih banyak lagi peluang baginya untuk menjulang piala dengan pasukan juara bertahan EPL itu.
Namun sasarannya kini adalah terhadap trofi yang lebih besar nilainya.
"Saya sering berkata bahawa saya mahu beraksi dalam Liga Juara-Juara dan saya tidak mampu melakukannya dengan Villa musim ini," kata beliau.
"Saya kini berada di kelab yang mempunyai potensi besar dan merupakan kelab England yang paling berjaya dalam tempoh 10 tahun lalu.
"Mereka telah menunjukkan keyakinan terhadap saya dan saya rasa inilah masanya." - Agensi berita