Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

SUKAN SETEMPAT

Badminton: 10 perkara tentang bintang S'pura Loh Kean Yew

Dec 27, 2021 | 05:30 AM



Sebelum beliau melangkah ke gelanggang di Huelva, Sepanyol, awal bulan ini, nama Loh Kean Yew kurang dikenali dan beliau sekadar dianggap sebagai pemain badminton muda yang berbakat. Namun selepas memenangi Kejohanan Dunia Persekutuan Badminton Sedunia (BWF), beliau kian dikenali. Siapakah Loh yang sebenar? Ikuti laporan BERITA HARIAN.




PEMAIN badminton Singapura Loh Kean Yew meraih kemenangan terbesar dalam kerjayanya di Kejuaraan Dunia Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) pada 19 Disember lalu, ketika beliau berjaya menewaskan pemain nombor 14 dunia dari India Srikanth Kidambi 21-15, 22-20 dalam final di Sepanyol untuk menjadi juara dunia badminton pertama Singapura.



Loh, 24 tahun, menikmati peningkatan prestasi yang luar biasa sejak beberapa bulan lalu.



Pada November, beliau merangkul takhta terbesar dalam kerjayanya selepas lawan beliau, pemain nombor lapan dunia dari Malaysia Lee Zii Jia, terpaksa bersara dari perlawanan akhir akibat kecederaan dalam Terbuka Hylo di Jerman, yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai AS$320,000 ($432,000). Kejohanan itu adalah acara Lawatan Dunia Super 500 BWF.



Beliau kemudian mara ke final Terbuka Indonesia Super 1000 lewat bulan itu namun mencatat kekalahan ketiganya kepada Viktor Axelson dari Denmark.



Menyusuli persembahannya itu, ranking Loh naik pada kedudukan ke-20 buat pertama kali. Beliau kini pemain nombor 22 dunia dan dijangka menaiki tangga ranking selepas kejayaan di Sepanyol.



1. TIGA KEJUARAAN SEJAK JULAI



Dalam empat kejohanan Eropah yang beliau sertai sejak Sukan Olimpik Julai lalu, beliau merangkul dua kejuaraan, termasuk kemenangan di Terbuka Hylo, yang pertama buatnya di peringkat Lawatan Dunia Super 500 BWF.



Kejuaraan pertama beliau adalah di Terbuka Belanda, kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$15,000, pada 13-17 Oktober.



Dalam final, beliau mengecewakan pemain nombor 21 dunia dari India Lakshya Sen, pemain nombor satu pilihan kejohanan dan juara bertahan, 21-12, 21-16.



Namun, kejayaan pada 19 Disember di Kejuaraan Dunia adalah yang terbesar dalam kerjayanya, kerana beliau juga mengecewakan pemain nombor satu dunia dan juara Sukan Olimpik Axelsen dalam perjalanan untuk merebut gelaran itu.



2. DETIK PALING DIINGATI MUNCUL PADA 2019



Sebelum Kejuaraan Dunia, pencapaian paling tidak dapat dilupakan Loh muncul pada 2019 ketika beliau, sebagai pemain kelayakan yang tidak dijangka, secara sensasi mengalahkan bintang dari China Lin Dan untuk mengangkat kejuaraan Masters Thailand Puteri Sirivannavari, yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$150,000, di Bangkok.



Pemain China itu, yang bersara pada 2020 di usia 37 tahun, dikenali sebagai salah seorang pemain terhebat dalam sukan badminton. Beliau merupakan juara dua kali Sukan Olimpik dan juara dunia lima kali.



3. LAHIR DI MALAYSIA



Loh lahir pada 26 Jun 1997 di Penang, Malaysia, dan adalah anak bongsu kepada empat beradik lelaki. Ibu bapanya masih tinggal di Penang.



4. ABANG JUGA PEMAIN BADMINTON



Abang beliau Kean Hean, juga mewakili Singapura dalam sukan badminton dan seorang pemain beregu. Beliau tiba di Singapura pada 2009 dan menuntut di Sekolah Menengah Montfort.



5. KEAN YEW TIBA DI S'PURA PADA 2010



Kean Yew tiba di sini setahun kemudian pada usia 13 tahun selepas menerima biasiswa dari Sekolah Sukan Singapura. Beliau pada awalnya tidak begitu ghairah tentang peralihan itu.



"Apabila sudah masanya untuk saya berpindah ke sini, saya marah sebab kawan-kawan saya semua berada di Malaysia. Tapi ibu saya sudah beli tiket untuk hantar saya di sini, jadi apa yang boleh saya buat?" katanya kepada The Straits Times.



"Jadi perlahan-lahan, saya mula membuat kawan dan menyesuaikan diri di sini."



6. BADMINTON SEBAGAI KERJAYA



Beliau berhenti belajar di Politeknik Republic untuk memburu kerjaya profesional dalam badminton.



7. TERHARU MEWAKILI S'PURA



Beliau dan Kean Hean kemudian menjadi warga Singapura, dengan Kean Yew berkata: "Saya tidak rasa menyesal. Selepas menghabiskan bertahun-tahun berlatih dan memperbaiki diri di Singapura, saya telah membuat ramai kawan baru dan bersedia menjadi warga Singapura, menjalani perkhidmatan negara (NS) dan mewakili negara ini."



Namun, tempoh NS beliau tidak lari daripada cabaran dan beliau menyatakan bahawa "kadang kala 'perasaannya' (terhadap badminton) akan hilang". Kean Hean kemudian mendedahkan bahawa Kean Yew akan bergegas untuk menghadiri sesi latihan tambahan pada waktu malam selepas keluar daripada kem tentera untuk berlatih jika beliau boleh.



8. LIMA PINGAT SUKAN SEA



Beliau memiliki lima pingat Sukan SEA. Satu pingat perak individu daripada edisi 2019, yang mana beliau kalah dalam final kepada pemain Malaysia Lee, dan empat pingat gangsa: individu (2015), pasukan (2015, 2017, 2019).



9. TIADA RUNDINGAN BAGI KERJA KERAS



Untuk Loh, kerja keras tidak boleh dirunding. Beliau berlatih enam hari atau 30 jam seminggu, dengan sesi berganda selama empat hari yang termasuk latihan di gelanggang, sesi gimnasium dan larian. Semasa pertandingan, beliau juga menumpukan masa meneliti lawan, cuba mencari kelemahan yang dapat dieksploitasi.



Beliau menjelaskan: "Ada pemain dalam kelompok 10 pemain teratas tidak begitu berbakat tapi mereka ada disiplin, kesungguhan dan konsistensi; ada pemain lain yang lebih berbakat tapi tidak berada dalam kelompok itu atas sebab-sebab tertentu. Ada banyak pemain baik di luar sana, tidak kira ranking mereka, dan saya tidak boleh mudah berpuas hati."



10. PENGIKUT MEDIA SOSIAL



Pengikut Instagram beliau hampir berganda kepada lebih 110,000 selepas kemenangannya di Jerman dan beliau memiliki lebih 5,600 pengikut di Facebook. Jumlah itu meningkat sejak Kejuaraan Dunia kepada 168,000 pengikut di Instagram dan 13,000 di Facebook.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >