PENAMPILAN sulung Loh Kean Yew di Terbuka All-England berakhir di pusingan pertama pada Rabu (16 Mac) selepas warga Singapura itu tewas di tangan Anders Antonsen dari Denmark dalam perseorangan lelaki.
Walaupun Loh, 24 tahun, menghasilkan persembahan yang bersemangat di Birmingham, pemain nombor 9 dunia itu terkandas 15-21, 21-18, 13-21 dalam masa 74 minit.
Kemenangan itu adalah yang pertama buat pemain ketiga dunia Antonsen menentang Loh.
Antonsen, juga 24 tahun, kalah kepada warga Singapura itu Disember tahun lalu di Kejohanan Dunia, yang mana Loh kemudian muncul sebagai juara.
Terbuka All-England adalah kejohanan kedua Loh Mac ini.
Di Terbuka Jerman awal bulan ini, Loh dikecewakan pemain nombor 33 dunia dari Canada, Brian Yang 21-12, 16-21, 18-21.
Loh akan beraksi di acara Super 300, Terbuka Swiss Yonex minggu depan, di mana beliau akan bertemu pemain nombor 25 dunia Mark Caljouw dari Belanda dalam pusingan pertama.