Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

SOROTAN MINGGUAN LIGA PERDANA SINGAPURA

Balestier kembali mengaum, Albirex kekal rekod menang 100%

May 01, 2018 | 05:30 AM



MEREKA terkial-kial musim lalu - menamatkan musim di tangga ketiga dari bawah dengan hanya 19 mata daripada 24 perlawanan.



Sempena musim bola sepak Liga Perdana Singapura (SPL) yang baru ini, Balestier Khalsa menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila mencatatkan kemenangan ketiga dalam enam perlawanannya lalu selepas menewaskan Warriors FC 2-1 di Stadium Toa Payoh kelmarin.



Kemenangan itu membantu kelab bergelar 'Tigers' itu melompat ke tangga kedua SPL - dengan 10 mata dan kini hanya berada di belakang pasukan pendahulu, Albirex Niigata, yang mempunyai 15 mata selepas mencatatkan rekod sempurna lima kemenangan daripada lima perlawanannya yang lalu.



Lebih membanggakan, Balestier berjaya merubah haluan buruk permulaan musim SPL ini - mereka kalah dalam dua perlawanan pembukaan kepada Albirex dan kemudian kepada Home - sebelum seri sekali dan menang tiga kali dalam empat pertarungan terakhir.



Jadi tidak hairanlah jika jurulatih pasukan, Marko Kraljevic, tersenyum lebih di akhir pertarungan dengan Warriors itu.



"Memang sedap sekali rasanya... hebat sekali (dapat meneruskan langkah kemenangan)," ujar jurulatih kelahiran Croatia itu.



"Ia bukan sekadar (kedudukan kami) dalam senarai pasukan itu kerana musim ini baru juga bermula... saingannya masih jauh.



"Tetapi saya fikir kami telah beraksi dengan baik hari ini (kelmarin)... saya gembira dengan prestasi pemain... mereka semua telah bekerja keras," tambah Kraljevic.



Balestier membuka tirai jaringan melalui penyerang New Zealand yang kini menunjukkan prestasi cemerlang, Keegan Linderboom, pada minit ke-26, sebelum 'Tigers' menggandakan kelebihan melalui rembatan kencang Noor Akid Nordin lima minit selepas rehat.



Warriors yang menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Ismadi Mukhtar dibuang padang pada minit ke-67, mendapatkan gol sagu hati melalui tandukan penyerang importnya dari Perancis, Jonathan Behe.



Selepas lima perlawanan, Warriors, bekas juara liga profesional Singapura sebanyak sembilan kali sebelum ini, masih mencari-cari kemenangan sulung mereka musim ini.



Kini dipimpin Mirko Grabovac, Warriors terkial-kial di tangga ketujuh dengan hanya tiga mata selepas lima perlawanan.



Juara liga sejak dua tahun lalu, Albirex, meneruskan langkah penuh yakin mereka musim baru ini dengan satu lagi kemenangan besar.



Beraksi di padangnya di Stadium Jurong East pada Sabtu lalu, kelab juara bergelar 'The White Swans' itu dengan mudah mencatatkan kemenangan selesa 5-0 ke atas pasukan muda Geylang International.



Gol-gol jaringan Wataru Murofushi, Kenya Takahashi, Taku Morinaga, Shuhei Hoshino dan Ryujiro Yamanaka mengekalkan rekod 100 peratus Albirex, sekali gus mengesahkan kedudukan mereka sebagai pasukan pilihan awal bagi menjulang mahkota liga buat tahun ketiga - dan kejuaraan SPL yang julung-julung kalinya diperkenalkan - musim ini.



Bagi Geylang, kekalahan itu menyaksikan kelab bergelar 'The Eagles' itu tergelincir di tangga corot SPL - mereka hanya mempunyai satu mata selepas mengalami lima kekalahan daripada enam perlawanan awalnya.



Mengulas, jurulatih Geylang, Hirotaka Usui, berkata:



"Memang ini satu perlawanan yang sukar tetapi saya fikir pemain kami telah menunjukkan prestasi terbaik.



"Mereka tidak menyerah sehingga wisel penamat dan saya rasa ia adalah persembahan terbaik pasukan kami sejauh musim ini tetapi Albirex terbukti terlalu handal sekali."




PERLAWANAN MINGGU INI



RABU, 3 MEI:



Tampines Rovers lwn Balestier Khalsa (Our Tampines Hub, 7.45 malam)



Hougang lwn Home United (Stadium Hougang, 7.45 malam)



Warriors FC lwn Brunei DPMM (Stadium Choa Chu Kang, 7.45 malam)



SABTU, 5 MEI:



Home United lwn Warriors (Stadium Bishan, 5.30 petang)



AHAD, 6 MEI:



Albirex Niigata lwn Hougang (Stadium Jurong East, 5.30 petang)




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >