KELAB Championship Blackburn Rovers meraih perlawanan timbal balas di tempat sendiri selepas mengikat Liverpool 0-0 dalam suku akhir Piala FA di Anfield pagi Isnin.
Blackburn, yang beraksi di divisyen kedua bola sepak Inggeris bukan sahaja menyekat Liverpool tanpa jaringan, malah menguasai sebahagian besar perlawanan.
Permainan dihentikan selama lapan minit di awal babak pertama apabila Martin Skrtel diusung keluar kerana kecederaan kepala selepas bertembung dengan Rudy Gestede.
Namun Blackburn mengambil kesempatan benteng Liverpool yang terjejas dengan mengatur serangan awal, yang pertama menerusi Craig Conway yang merembat bola melepasi palang.
Tandukan Alex Baptiste kemudian diselamatkan dengan cemerlang oleh Simon Mignolet.
Liverpool berusaha menguasai perlawanan dan merancakkan permainan dalam 20 minit terakhir.
Bagaimanapun, percubaan Jordan Henderson berjaya diselamatkan dan gol jaringan Kolo Toure tidak dikira kerana beliau berada dalam posisi ofsaid bagi menentukan perlawanan berkesudahan 0-0, mengheret Liverpool ke perlawanan timbal balas di Ewood Park minggu depan.