Subuh
5:37
Syuruk
6:54
Zuhur
12:58
Asar
4:01
Maghrib
7:01
Isyak
8:09
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Sukan
30
0

BOLA SEPAK TEMPATAN

Razali bertekad perbetul asas demi majukan bola sepak

Dilantik buat kali kedua berturut-turut Naib Presiden Majlis FAS
Apr 28, 2021 | 05:30 AM

MANTAN pemain pertahanan Singapura Razali Sa'ad bertekad untuk memperbetulkan asas dalam usaha memajukan bola sepak negara apabila dilantik buat kali kedua berturut-turut sebagai Naib Presiden Majlis Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) di pemilihan persatuan itu malam ini.

Ini lebih-lebih lagi dengan majlis baru FAS yang dipilih akan ditugas mengemudikan projek pemerintah 'Unleash the Roar!' untuk menaikkan taraf bola sepak Singapura dengan matlamat membawa pasukan nasional ke Piala Dunia 2034.

Dalam pemilihan kali ini, Razali, 57 tahun, adalah sebahagian pasukan presiden FAS, Lim Kia Tong, yang dinamakan Team LKT.

Pasukan Lim terdiri daripada Timbalan Presiden Bernard Tan; Naib Presiden, S. Thavaneson; Teo Hock Seng, Razali, dan Ben Teng, serta Anggota Majlis Dr Dinesh Nair; Lionel Lewis dan Goh Tat Chuan.

Dengan tiada pasukan pesaing kali ini, mereka akan dilantik semula sebagai pucuk kepimpinan persatuan itu dalam pemilihan kedua FAS malam ini.

Mengongsi misi beliau untuk tempoh empat tahun mendatang, Razali, jurulatih di akademi bola sepak Sport Singapore (SportSG), berkata:

"Asasnya harus tepat. Sekiranya kami bermula dengan tepat, dalam masa dua, tiga atau empat tahun ini, ia akan bantu kami mencapai sasaran itu (Goal 2034)... Kita perlu memulakannya dengan tepat dengan mendapat sokongan semua masyarakat."

Menurut Razali, ini termasuk mendekati sekolah-sekolah untuk menarik minat lebih ramai belia bermain bola sepak dan mengasah bakat mereka ke tahap yang lebih tinggi.

Justeru, tidak mengejutkan, tiga muka baru dalam Team LKT membawa kepakaran masing-masing dalam pasukan itu.

Mereka adalah usahawan dan penasihat pengerusi Geylang International, Teng, dan mantan pemain pasukan Singa, Lewis dan Goh.

Lewis juga merupakan pengurus pembangunan sukan di Politeknik Nanyang manakala Goh adalah pengarah pasaran Asia Pasifik di sebuah syarikat penyimpanan tenaga hidrogen yang boleh diperbaharui.

Razali menambah:

"Ini bukan hanya tugas FAS untuk mengendalikan bola sepak di Singapura. Semua orang bertanggungjawab, daripada pelajar yang bermain bola sepak kepada ahli perniagaan dan peminat yang datang ke stadium. Semua orang memainkan peranan untuk menjayakan rancangan ini."

Baki enam anggota daripada majlis FAS seramai 15 anggota itu akan dipilih daripada lapan calon.

Sebagai satu-satunya calon wanita, Julie Teo akan dilantik ke dalam majlis itu kerana perlembagaan FAS menyatakan mesti ada sekurang-kurang seorang anggota majlis wanita.

Ini bermakna Ashley Arriola, Harman Ali, Lim Tong Hai, Darwin Jalil, Rizal Rasudin, Zaki Ma'arof dan Romzi Damiri akan bersaing untuk lima baki jawatan anggota majlis secara individu.

Pengerusi kelab Liga Bola Sepak Nasional, Kaki Bukit Sports Club, Zaki, 57 tahun, akan bertanding untuk kali kedua dalam pemilihan FAS.

Dalam pemilihan FAS 2017, Zaki membarisi pasukan Game Changers yang diketuai pengerusi Hougang United, Bill Ng, namun tewas kepada Team LKT.

"Saya betul-betul minat bola dari kecil sampai sekarang...Dengan pengalaman yang saya ada, saya ingin bantu dalam bidang belia," kata Zaki, penyedia peralatan perubatan Yama Medical Supplies.

Namun, Zaki menegaskan bahawa tiada perubahan yang perlu dibawa dalam majlis itu, sekiranya beliau dilantik.

Malah, beliau akan fokus kepada menjalankan program-program belia yang sedia ada dengan lebih sempurna dan berstruktur.

Ditanya mengenai peluang kemenangan di pemilihan FAS malam ini, Zaki menambah:

"Saya tidak berani katakan saya akan menang. Tapi, insya-Allah saya akan bekerja keras, walaupun saya tidak menang, saya akan tetap jadi pengerusi (Kaki Bukit Sports Club). Jiwa saya dengan bola sepak sampai bila-bila."


SASARAN PIALA DUNIA 2034 

"Asasnya harus tepat. Sekiranya kami bermula dengan tepat, dalam masa dua, tiga atau empat tahun ini, ia akan bantu kami mencapai sasaran itu (Goal 2034)... Kita perlu memulakannya dengan tepat dengan mendapat sokongan semua masyarakat."
- Razali Sa'ad, jurulatih di akademi bola sepak Sport Singapore (SportSG)


PEMILIHAN PERSATUAN BOLA SEPAK SINGAPURA (FAS) 2021

Calon pasukan bagi Majlis FAS

  • Team LKT:

Lim Kia Tong (Presiden)

Bernard Tan (Timbalan Presiden)

S. Thavaneson (Naib Presiden)

Teo Hock Seng (Naib Presiden)

Razali Sa'ad (Naib Presiden)

Ben Teng (Naib Presiden)

Dr Dinesh Nair (Anggota Majlis)

Lionel Lewis (Anggota Majlis)

Goh Tat Chuan (Anggota Majlis)

Calon individu bagi Majlis FAS

  • Ashley Arriola
  • Harman Ali
  • Lim Tong Hai
  • Darwin Jalil
  • Rizal Rasudin
  • Zaki Ma'arof
  • Romzi Damiri
  • Julie Teo

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3