KINGSTON (Jamaica): Jaguh perlumbaan pecut, Usain Bolt, berpeluang mengukuhkan lagi legasinya apabila beliau disertakan dalam senarai 59 atlit Jamaica yang dipilih ke Sukan Olimpik Rio pada bulan depan.
Nama Bolt, yang menarik diri daripada perlumbaan 100 meter dan mendapatkan 'pengecualian kesihatan' daripada acara 200 meter di sesi pemilihan Jamaica dua minggu lalu, tertera dalam senarai sementara yang dihantar ke Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk bersaing dalam tiga acara di Rio nanti - 100 meter, 200 meter dan larian berganti-ganti 4x100 meter.