Brunei DPMM beraksi dalam Liga S musim 2018, dibenar ambil tiga pemain import dan syarat pemain muda lebih longgar

Pasukan bola sepak Brunei DPMM akan beraksi dalam Liga S bagi musim ini, kata Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), pengesahan yang mengakhiri isu yang timbul dengan kelab undangan itu berkenaan kuota pemain import yang dikurangkan.

Brunei DPMM, yang menjuarai Liga S pada 2015, akan dibenar mendaftar tiga pemain import dalam skuadnya bagi musim 2018, dengan syarat usia pemain yang lebih longgar berbanding enam kelab setempat dan satu lagi kelab undangan Albirex Niigata.

Albirex, juara liga dua musim berturut-turut, serta Home United, Tampines Rovers, Geylang International, Balestier Khalsa, Warriors FC dan Hougang United, masing-masing hanya dibenarkan mengambil dua pemain import dan perlu memenuhi syarat pemain muda tertentu.

Dalam kenyataannya pada Sabtu, 13 Januari, FAS berkata persetujuan ini dicapai ekoran perbincangan dengan pegawai Brunei DPMM dan pertemuan berasingan dengan kelab Liga S yang lain.

Presiden FAS Lim Kia Tong berkata penyertaan DPMM penting melebihi nilai kompetitif yang diberikannya di padang.

“Ia memperkukuh hubungan dua hala mesra antara FAS dengan kededua DPMM dan Brunei. Dari sudut ini, adalah penting kami terus berbincang secara proaktif dengan DPMM dan kelab lain untuk mencapai kedudukan yang memberi manfaat setara.

“Kami berharap dapat membantu kelab yang berpangkalan di Brunei ini untuk terus berkembang,” ujar Lim.

Pengurus pasukan Brunei DPMM Md Ali Momin berkata pihaknya menghargai usaha FAS untuk berbincang dan mencapai persetujuan dengannya.

Sebelum ini, DPMM telah mempersoal pengumuman Liga S pada 18 Disember, untuk mengurangkan jumlah pemain import bagi setiap kelab daripada tiga kepada dua.

Laporan media setempat menunjukkan Brunei DPMM cuba menyertai liga domestik utama di Malaysia dan Indonesia, tetapi rancangan itu tidak berjaya.

Antara perubahan kepada liga  bagi musim mendatang yang paling menjolok mata adalah syarat berkenaan usia pemain.

Dalam kenyataannya semalam, FAS berkata Brunei DPMM akan dibenar mendaftar tiga pemain import tanpa sebarang had usia - lebih seorang pemain import berbanding kelab lain.

Brunei DPMM juga hanya diperlukan memuatkan seorang pemain warga Brunei berusia 23 tahun dalam kesebelasan utamanya. Pemain ini hanya boleh digantikan dengan pemain seusia jika pertukaran dibuat pada separuh masa pertama.

Sebaliknya, kelab setempat perlu memuatkan sekurang-kurangnya tiga pemain berusia 23 tahun dalam kesebelasan utama. Pemain ini juga hanya boleh digantikan dengan pemain seusia jika pertukaran dibuat pada babak pertama.

Sebelum ini, Albirex, telah menamakan dua pemain muda setempat - Adam Swandi dan Shahul Rayan -  sebagai pemain import, dan mengumumkan rancangannya untuk  mendaftar skuad muda yang dibentuk kebanyakan pemain berusia 23 tahun ke bawah.

Bagi musim 2018, semua  enam kelab setempat perlu mendaftar antara 19 dengan 25 pemain. Kelab yang mempunyai antara 19 dengan 22 pemain perlu mendaftar sekurang-kurangnya enam pemain setempat berusia 23 tahun atau lebih muda.  

Kelab yang ingin mendaftar lebih 22 pemain hanya dibenar mendaftar  pemain berusia 23 tahun ke bawah.

Waktu Solat

Subuh
5:44
Syuruk
7:06
Zuhur
1:13
Asar
4:36
Maghrib
7:17
Isyak
8:31
3 HR PSI: 72
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.