FLOORBALL: PIALA KONFEDERASI ASIA-OCEANIA 2019

Cabaran pertama jurulatih baru skuad negara

SETELAH mencatatkan kemenangan 11-3 dalam satu perlawanan persahabatan menentang pasukan Pilihan Singapura, yang terdiri daripada gabungan bekas pemain kebangsaan dan kelab tempatan, di Our Tampines Hub baru-baru ini, skuad lelaki floorball kebangsaan kini sudah bersedia menghadapi ujian seterusnya - Piala Konfederasi Asia-Oceania (AOFC) 2019.

Bakal berlangsung pada 7 hingga 12 Julai ini, edisi kedua kejohanan itu akan menampilkan negara termasuk India, Jepun, Korea, Malaysia, Pakistan, Thailand dan tuan rumah, Filipina.

Ia turut merupakan kejohanan antarabangsa pertama buat jurulatih baru skuad negara itu.

Ketua jurulatih pasukan lelaki floorball kebangsaan, Lim Jin Quan, yang menggantikan mantan jurulatih Matt Joutsikoski, mengongsi keghairahannya menjelang kejohanan yang akan diadakan di Arena Sukan Alonte, Binan, nanti.

"Saya rasa begitu teruja! Meskipun jadual latihan agak terhad tapi saya percaya kami telah lakukan sebaik mungkin untuk mempersiapkan diri sebagaimana yang kita mahukan," kata jurulatih tempatan yang berusia 27 tahun.

Beliau yang pernah mewakili negara, telah dilantik pada 1 April yang lalu di samping penolong jurulatih pasukan lelaki floorball kebangsaan, Jatin Nair, yang berusia 33 tahun.

Kededua jurulatih muda itu akan disokong oleh perunding jurulatih pasukan itu, Timo Suonpaa.

Suonpaa, 45 tahun, yang berasal dari Finland, adalah jurulatih bertauliah yang dilantik Persekutuan Floorball Antarabangsa (IFF).

Kapten pasukan negara, Syazni Ramlee, mengulas mengenai menjalani latihan di bawah bimbingan jurulatih baru.

Pemain pertahanan berusia 28 tahun itu berkata:

"Setakat ini semuanya berjalan dengan lancar dan agak positif untuk kami sepasukan. Kami sedang berlatih dengan tekun dan cuba sesuaikan diri dengan apa yang para jurulatih mahu kami lakukan."

Sembilan daripada 23 pemain dalam skuad negara bagi kempen tahun ini akan membuat penampilan pertama dalam kejohanan antarabangsa.

"Saya harap mereka dapat perolehi pengalaman sepenuhnya bertanding dalam kejohanan antarabangsa yang menguji daya fizikal, mental dan emosi seorang pemain. Perlawanan (dalam kejohanan) akan dijadualkan dalam tempoh masa yang singkat," kata Lim yang menggesa anak didiknya untuk fokus kepada pelan permainan yang telah diatur dan prosesnya.

Penyerang negara, Akmal Shaharudin, pula meletakkan hasrat untuk mencapai keputusan yang mengagumkan.

Ini agar ia dapat membantu persiapan pasukan itu untuk mengekalkan tahta juara mereka dalam Sukan SEA pada November ini.

Dalam edisi pertama AOFC di Bangkok, Thailand pada 2017 , Singapura telah dinobat naib juara.

Pasukan lelaki floorball Singapura telah berangkat ke Manila kelmarin.


Apa kata jurulatih

"Saya rasa begitu teruja! Meskipun jadual latihan agak terhad tapi saya percaya kami telah lakukan sebaik mungkin untuk mempersiapkan diri sebagaimana yang kita mahukan."
- Lim Jin Quan, ketua jurulatih pasukan lelaki floorball kebangsaan

Apa kata kapten pasukan

"Setakat ini semuanya berjalan dengan lancar dan agak positif untuk kami sepasukan. Kami sedang berlatih dengan tekun dan cuba sesuaikan diri dengan apa yang para jurulatih mahu kami lakukan."
- Syazni Ramlee, kapten pasukan negara