Topic followed successfully
Go to BHkuCalonkan atlit: SNOC izin Persekutuan Sukan Nasional longgar kriteria
Calonkan atlit: SNOC izin Persekutuan Sukan Nasional longgar kriteria
Calonkan atlit: SNOC izin Persekutuan Sukan Nasional longgar kriteria

DENGAN pandemik Covid-19 kini menjejas peluang atlit negara bertanding di luar negara, "keadaan luar biasa" ini telah mendorong Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) untuk membenarkan Persekutuan Sukan Nasional (NSA) melonggarkan kriteria dalam pencalonan atlit mereka untuk Sukan SEA yang dijadualkan berlangsung dari 21 November hingga 2 Disember di Vietnam.
SNOC mengumumkan kemas kini terhadap kriteria pemilihan atlit di laman webnya pada Khamis lalu.
Dalam surat kepada pemimpin NSA, Setiausaha Agung SNOC, Chris Chan, berkata pihaknya akur dengan cabaran yang dihadapi, "terutamanya (dengan) kurangnya pertandingan pada (tahun) terakhir untuk memperolehi tanda aras bagi memenuhi Kriteria Pemilihan SNOC."
Sebelum ini, atlit perlu memastikan mereka dapat menyamai prestasi yang dikecap pada acara sukan yang lalu, dalam jangka masa 15 bulan menjelang acara akan datang.
Ini merupakan kriteria utama bagi atlit untuk dicalonkan oleh NSA masing-masing dan dipertimbangkan SNOC bagi saingan sukan utama.
Bagi saingan dwitahunan Sukan SEA, penanda aras bagi setiap atlit adalah masa, jarak atau markah pingat gangsa yang diperoleh dari edisi 2019 acara sukan itu.
Untuk sukan berpasukan, mereka kini harus berada di kedudukan ketiga di antara negara-negara Sukan SEA.
Mereka yang gagal mencapai tanda aras ini "dengan hanya margin yang kecil tetapi menunjukkan potensi untuk menyamai atau melakukan lebih baik" juga akan dipertimbang.
Bagi sukan yang penanda arasnya tidak diukur dengan masa, jarak, atau markah, - seperti bola sepak - atlit atau pasukan perlu menunjukkan bahawa mereka mampu menandingi lawan yang berjaya muncul tiga tempat teratas dalam edisi terakhir sukan SEA, sebelum mereka diterima untuk bersaing.
Bagaimanapun, dalam suratnya, Chan berkata setelah perbincangan dengan Institut Sukan Singapura - yang memberikan sokongan kepada atlit negara - SNOC telah menyemak semula kriteria pemilihannya.
Tempoh pemilihan kini dilanjutkan kepada lapan bulan lagi yang juga akan menyertakan keputusan dari Sukan SEA 2019 di Filipina.
Ini bermakna mereka yang mendapat pingat secara automatik telah memenuhi penanda aras yang ditetapkan.
SNOC menambah, ia juga akan meninjau semula hingga tiga edisi terakhir Sukan SEA "dan melihat berdasarkan trend keputusan serta jumlah atlit yang dipilih bagi setiap sukan".
Jawatankuasa pemilihan juga akan melihat setiap penilaian dan unjuran NSA untuk Sukan SEA Vietnam yang akan datang.
Perubahan itu disambut oleh atlit yang dihubungi akhbar The Straits Times, kerana ada yang khuatir kurangnya peluang untuk bersaing dengan yang terbaik di rantau ini akan mempengaruhi peluang mereka untuk dipilih.
Antara mereka adalah petinju negara, Hanurdeen Hamid, yang telah memenangi pingat gangsa bagi acara flyweight di Filipina pada 2019.
Beliau berkata: "Perubahan ini membantu dalam meringankan beban (dari segi kelayakan) tetapi saya telah menjangkakan perkara ini akan berlaku kerana tidak ada pertandingan luar negara selama lebih setahun.
"Ini adalah satu-satunya perkara logikal yang dapat dilakukan."
Meskipun begitu, atlit berusia 27 tahun itu, yang juga berjaya memenangi pingat perak di Sukan SEA 2015 dan gangsa pada temasya 2017, masih khuatir dengan kurangnya pendedahan persaingan tahap tinggi.
Buat masa ini, beliau sedang membuat persiapan bagi acara Kejohanan Tinju Nasional yang akan berlangsung bulan depan.
"Saya masih berlatih enam hari seminggu tetapi latihan merupakan satu perkara, dan bersaing adalah perkara yang lain," kata Hanurdeen, yang membelanjakan hampir $5,000 bagi kem latihan di Jepun untuk mempersiapkan dirinya untuk Sukan SEA 2019.
"Sebaik-baiknya, saya ingin berlatih dan bersaing di luar negara untuk melihat di mana saya berada setelah tidak aktif sejak sekian lama."
"Saya masih berlatih enam hari seminggu tetapi latihan merupakan satu perkara, dan bersaing adalah perkara yang lain... Sebaik-baiknya, saya ingin berlatih dan bersaing di luar negara untuk melihat di mana saya berada setelah tidak aktif sejak sekian lama." - Hanurdeen Hamid.

