PREVIU LIGA PERDANA ENGLAND

Chelsea boleh hancurkan impian Liverpool

NAMPAKNYA kebangkitan pasukan Maurizio Sarri berterusan dengan kemenangan terbaru mereka menentang Slavia Prague pada Liga Epopah baru-baru ini.

Kemenangan tersebut pastinya memberikan dorongan mendalam kepada pasukan Chelsea kerana mereka bermain tanpa tujuh pemain utama yang terlibat dalam kemenangan 2-0 ke atas West Ham di Stamford Bridge. Ia merupakan kemenangan liga ketiga berturut-turut dan meletakkan mereka kini berada di tangga ketiga dengan kelebihan dua mata di atas Spurs, dan tiga mata di atas Arsenal selepas bermain lebih satu perlawanan berbanding kedua pasukan tersebut.

Perlawanan menentang Liverpool juga tepat pada masanya. Chelsea kini berada pada kemuncak prestasi. Sarri juga seolah-olah telah menemui kesebelasan terbaiknya dengan liga kini berbaki lima perlawanan sahaja lagi.

Walaupun agak terlewat, masih belum terlambat bagi mereka berjuang dengan menempatkan diri sekurang-kurangnya di tangga keempat liga, kalau tidak pun tangga ketiga.

Sarri juga sedar keputusan positif di Anfield bakal meletakkan pasukannya dalam kedudukan yang baik melayakkan Chelsea ke Liga JuaraJuara pada musim hadapan.

Peminat juga semakin mesra dengan Sarri kerana mula menurunkan bintang mudanya iaitu Ruben Loftus-Cheek dan Callum Hudson-Odoi yang nyata tidak menghampakan dalam mempamerkan permainan penuh bertenaga lagi menarik. Namun, sukar melihat bagaimana perkembangan terbaru ini tidak mampu melembutkan hati pemilik Chelsea, Roman Abramovich, untuk mengekalkan Sarri pada musim hadapan dan seterusnya bersaing secara serius bagi merebut kejuaraan liga.

STRATEGI, FORMASI & KESEBELASAN UTAMA

Dalam perlawanan Chelsea ketika menentang Slavia Prague bagi Liga Eropah Jumaat pagi lalu, Sarri merehatkan tujuh pemain utamanya yang terlibat dalam dua perlawanan liga sebelum ini. Tindakan ini mungkin disengajakan bagi memberi kesegaran kepada pasukannya ketika menentang Liverpool Ahad ini.

Minggu ini, Sarri besar kemungkinan menurunkan kembali David Luiz di samping Antonio Rudiger. Beliau juga mungkin mengekalkan semula Marcos Alonso yang menyumbat gol kemenangan di Prague di samping Cesar Azpilicueta.

Di barisan tengah pula, Jorginho pasti akan kembali digandingan bersama Loftus-Cheek dan N'Golo Kante yang direhatkan ketika menentang Slavia Prague, manakala Eden Hazard, Gonzalo Higuain dan Hudson-Odoi yang kesemuanya tidak bermain di Prague akan disertakan semula bagi mengemudi jentera serangan Chelsea di Anfield nanti.

Kemungkinan pasukan Sarri bermain tanpa penyerang yang dikenali juga tidak dapat ditolak. Jika ini berlaku, Sarri akan memanggil semula Willian bagi menggantikan tempat Olivier Giroud atau Higuaidan dan meletakkan Hazard sebagai 'false 9' di samping Hudson-Odoi dalam formasi 4-3-3.

Pemain tengahnya pula lebih berdisiplin membantu barisan pertahanan, dan tidak mampu membiarkan pemain Liverpool mempunyai ruang yang sama seperti yang diperolehi oleh West Ham.

Apapun barisan pemain yang diturunkan, Sarri sangat berharap akan kecemerlangan individu pemainnya seperti Hazard dan Hudson-Odoi agar terus bertindak cemerlang bagi serangan balas pantas untuk mengejutkan Liverpool.

Jika Chelsea dapat menyekat Pool daripada menjaringkan lebih daripada satu gol, dan pemain ofensif mereka pula tangkas menyambar peluang, maka kemungkinan Chelsea sekurang-kurangnya merebut satu mata berharga untuk dibawa pulang ke kota London, tidak boleh ditolak.

PEMAIN TUNGGAK - EDEN HAZARD

Eden Hazard kembali menjadi sebutan dengan persembahan yang sungguh cemerlang pada perlawanan menentang West Ham di Stamford Bridge Selasa pagi lalu. Manakan tidak, bagi sesiapa yang menyaksikan gol pertamanya yang merupakan gerakan solo dari tengah padang, pastinya mengakui jaringan tersebut antara yang terbaik pada musim ini.

Ketika mula menerima bola tersebut, ia nampak seolah-olah tiada ruang, namun Hazard tetap Hazard, beliau mempunyai idea lain. Di hadapannya terdapat 3-4 pemain. Satu persatu dilepasinya seolah-olah pemain West Ham ini tidak wujud di hadapannya bagi jaringan pembukaan Chelsea.

Hazard, seperti yang kita ketahui, jika berada dalam 'mood'nya, beliau pasti dapat diharapkan bagi sentuhan cemerlang. Mungkin tidak dapat disangkal, suntikan 'mood' ini berikutan penyertaan Loftus-Cheek dan kelibat Hudson-Odoi di sampingnya yang sekali lagi diturunkan selepas kali pertama bermula dalam kesebelasan utama ketika menentang Brighton Hove & Albion.

Dengan dua gol beliau ketika menentang West Ham ini, membawa jumlah jaringan Hazard dalam Liga Perdana kepada 15 gol. Soalannya, mampukah Hazard meneruskan prestasi cemerlang ini ke Anfield?

Berdepan dengan Virgil Van Dijk serta Joel Matip nanti, tugasan Hazard tidak semudah di Stanford Bridge, tempat beliau diberikan ruang bergerak dengan sangat bebas. Ruang tersebut pasti ditutup serapatnya oleh barisan pertahanan Pool. Bukan itu sahaja, ruang yang sama, merupakan laluan serangan sayap kiri Pool iaitu Andrew Robertson dan Sadio Mane, yang pasti cuba mengisi ruang yang ditinggalkan Hazard ketika menyerang.

Apapun jika Hazard berada dalam formnya tersendiri, pasti Van Dijk dan Matip mempunyai tugas sukar membendung Hazard. Segalanya bergantung pada Hazard dan sokongan yang bakal diperolehi daripada rakan sepasukannya. Namun, apa yang pasti, jika Hazard terus cemerlang, Chelsea boleh berasa yakin sekurang-kurangnya memungut satu mata di Anfield.