LONDON: Chelsea naik semula ke kedudukan empat teratas Liga Perdana England (EPL) selepas terikat 0-0 berdepan Brighton di sini, semalam tadi, tetapi keputusan itu dibayangi peranan kelab berkenaan dalam kontroversi membabitkan Liga Super Eropah (ESL).
Sebelum sepak mula di Stamford Bridge, dilaporkan pemilik Chelsea, Roman Abramovich mengambil keputusan untuk menarik diri daripada perancangan kontroversi berkenaan.
Ketika pengesahan rasmi belum dikeluarkan kelab, skuad The Blues difahamkan sedang menyiapkan dokumen untuk menarik diri daripada kejohanan berkenaan.
Manchester City menjadi pasukan pertama secara rasmi menarik diri dengan Barcelona dan Atletico Madrid juga dilaporkan berbuat demikian.
Ketika berdepan situasi dramatik itu, Chelsea menampilkan persembahan hambar walaupun keputusan seri menyaksikan skuad pimpinan Thomas Tuchel naik ke tangga keempat di atas West Ham menerusi perbezaan gol.
"Kami hanya bercakap mengenai Liga Super sebelum perlawanan. Saya terkesan, jadi saya rasa pemain begitu juga," kata Tuchel.
"Situasi masih belum jelas. Saya diberitahu sama seperti anda. Anda perlu menerima gangguan ini. Kami cuba mencipta suasana untuk menang perlawanan tetapi tidak boleh. Mental kami keletihan."
Chelsea akan berkunjung ke West Ham Sabtu ini dalam pertembungan penting dalam usaha layak ke Liga Juara-Juara musim depan. - AFP.