Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

BOLA SEPAK ENGLAND

Chelsea teruskan prestasi cemerlang awal musim

'The Blues' atasi Southampton melalui babak sepakan penalti untuk mara ke suku akhir Piala Liga
Oct 28, 2021 | 05:30 AM



LONDON: Chelsea mara ke suku akhir Piala Liga selepas menewaskan lawannya dalam Liga Perdana Southampton menerusi jaringan penentuan penalti (penalty shoot-out) setelah terikat 1-1 di Stamford Bridge kelmarin.



Jaringan penalti Reece James menentukan kemenangan pendahulu liga itu selepas Theo Walcott dan Will Smallbone gagal menemui sasaran dengan percubaan mereka untuk Saints.



Kedua-dua pasukan melakukan perubahan pada barisan pemain mereka untuk perlawanan ini, dengan Chelsea melakukan sehingga enam pertukaran menyusuli kemenangan besar 7-0 menentang Norwich dalam EPL hujung minggu lalu sementara pasukan pelawat membuat sehingga sembilan perubahan.



Pasukan tuan rumah memiliki rentak yang lebih baik dalam perlawanan dan membuka tirai jaringan seminit sebelum waktu rehat melalui Kai Havertz yang menanduk gol ketiganya musim ini dari hantaran sudut.



Namun, Southampton bertindak balas dua minit selepas waktu rehat apabila Che Adams meledakkan gol dari jarak dekat setelah penjaga gawang Chelsea, Kepa Arrizabalaga, gagal menyelamatkan rembatan Kyle Walker-Peters.



Kedua-dua gol itu menyemarakkan pertarungan dengan kededua pasukan saling serang-menyerang.



Fraser Forster menafikan Chelsea kembali di hadapan apabila menyelamatkan rembatan James menyusuli tendangan percuma jarak dekat, manakala pemain gantian Shane Long menanduk bola ke tepi gawang untuk pasukan pelawat.



Smallbone hampir menandakan kepulangannya ke dalam pasukan utama setelah sembilan bulan terlepas beraksi akibat kecederaan lutut dengan gol kemenangan, tetapi tandukannya di saat-saat akhir perlawanan dapat diselamatkan Kepa, yang kemudian beraksi hebat menghalang dua lagi percubaan dari Lyanco dan Mohammed Salisu dalam waktu kecederaan.



"Ia adalah perlawanan bola sepak yang mendebarkan," kata bos Chelsea Thomas Tuchel, yang mendedahkan beliau kehilangan Cesar Azpilicueta, Andreas Christensen dan Ruben Loftus-Cheek akibat kecederaan menjelang perlawanan kelmarin yang menjejas persiapan pasukannya.



"Ia adalah pertempuran yang terbuka, perlawanan yang berintensiti tinggi. Kami beraksi baik dalam babak penentuan penalti, kami menunjukkan kualiti hebat. Kepa menyelamatkan satu percubaan selepas pemain kami juga gagal menemui sasaran.



"Kami gembira dapat mara ke pusingan seterusnya selepas menampilkan ramai pemain baru... kami telah melakukan banyak perubahan."



Pengurus Southampton Ralph Hasenhuttl pula berkata: "Ia perlawanan yang menarik... seperti yang selalu kami lihat dalam pertarungan merebut piala seperti ini. Kami mahu beri mereka saingan malam ini dan saya fikir kami berjaya. Memang mengecewakan gagal menang tapi saya bangga dengan pasukan saya. Semua pemain beraksi dengan baik."



The Blues menikmati permulaan baik dalam kempen domestik mereka dan di Eropah, dengan anak didik Tuchel menduduki puncak tangga EPL dan memenangi dua daripada tiga perlawanan mereka sejauh ini dalam Liga Juara-Juara.



Namun, dengan perlawanan seterusnya berlangsung dalam tempoh yang singkat, Tuchel memilih untuk merehatkan beberapa tunggak utama pasukan dan memberi mereka yang kurang beraksi peluang untuk menarik perhatiannya. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >