LIVERPOOL, LONDON: Manchester City bangkit dua kali dari belakang untuk menghalang Liverpool menduduki semula puncak Liga Perdana dalam seri 2-2 mendebarkan di Anfield kelmarin.
Liverpool berjaya menahan ancaman City pada babak pertama malah menyerang hebat juara liga itu, dengan Sadio Mane membuka tirai jaringan sebelum detik sejam perlawanan.
Phil Foden kemudian menyamakan kedudukan, namun Mohamed Salah seolah-olah memastikan memenangi buat Liverpool apabila dengan cemerlang beliau mengatasi empat pemain pertahanan untuk menembusi gawang Ederson.
Jaringan itu mendapat pujian pengurus Liverpool Jurgen Klopp. "Hanya pemain terbaik dunia menjaringkan gol seperti ini," katanya. "Sangat luar biasa.
"Oleh kerana kelab ini tidak pernah melupakan apa-apa, orang akan tetap berbual tentang gol ini selepas 50 hingga 60 tahun apabila mereka ingat kembali perlawanan ini."
Namun, rembatan Kevin De Bruyne yang masuk selepas terkena Joel Matip sembilan minit sebelum tamat perlawanan menyelamatkan satu mata bagi pasukan Pep Guardiola yang memang layak mereka dapat.
Bagi Klopp, ia adalah perlawanan seimbang antara dua pasukan yang diangkat sebagai pesaing mahkota EPL musim ini.
"Perlawanan menarik dengan dua babak berbeza. Babak pertama adalah apa yang kami tidak sepatutnya lakukan apabila bertemu City, babak kedua pula bagaimana ia sepatutnya dilakukan.
"Saya tidak ingat peluang kami di babak pertama dan saya amat gembira apabila wisel rehat ditiup. Kami mula bermain bola sepak pada babak kedua. Jika berdasarkan hnya prestasi babak kedua, pasti saya mengharapkan kemenangan, tetapi secara keseluruhan, satu mata sudah cukup bagus," katanya.
Guardiola pula berkata: "Perlawanan hebat! Inilah sebabnya beberapa tahun lalu Man City dan Liverpool sentiasa berada di sana (puncak EPL) sebab kami cuba main begini."
"Inilah sebabnya Liga Perdana adalah yang terbaik. Ia sangat hebat. Malangnya, kami tidak berjaya menang, tapi kami juga tidak kalah."
Keputusan seri itu membuat persaingan bagi kejuaraan musim ini terbuka luas dengan Liverpool satu mata di belakang pendahulu Chelsea, dan City dua mata daripada puncak tangga di tempat ketiga.
Dalam perlawanan liga lain kelmarin, Tottenham Hotspur mengurangkan tekanan terhadap Nuno Espirito Santo apabila gol sendiri Matt Targett memberinya kemenangan 2-1 di padang sendiri ke atas Aston Villa.
Skuad Nuno tewas tiga perlawanan terakhir liga dan sekali lagi goyah apabila Ollie Watkins menyamakan kedudukan selepas gol pembukaan Pierre-Emile Hojbjerg.
Satu lagi keputusan mengecewakan akan menambah tekanan terhadap Nuno sebelum rehat bagi perlawanan antarabangsa, namun gol Targett mengurangkan ketegangan di Stadium Tottenham Hotspur.
Kekalahan di tangan pesaing utama London, Arsenal dan Chelsea, dalam dua perlawanan sebelum ini menimbulkan persoalan tentang nasib Nuno - hanya beberapa bulan selepas beliau mengetuai pasukan.
Leicester pula mensia-siakan kedudukan dua gol di depan apabila Crystal Palace bangkit daripada belakang untuk mengikat perlawanan 2-2 di Selhurst Park, membuat The Foxes hanya mendapat lapan mata daripada tujuh perlawanan pertama liga mereka.
Sementara itu, pemain gantian Yoane Wissa menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-94 bagi Brentford menundukkan West Ham 2-1 di Stadium London. - Agensi berita.