City mampu ranapkan rekod tanpa kalah Liverpool, Berita Sukan - BeritaHarian.sg
Subuh
5:31
Syuruk
6:54
Zuhur
12:57
Asar
4:21
Maghrib
6:57
Isyak
8:12
Suatu Ketika di Singapura
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Sukan0

LIGA PERDANA ENGLAND

City mampu ranapkan rekod tanpa kalah Liverpool

Oct 03, 2021 | 05:30 AM

LONDON: Musim masih muda tetapi Liverpool dan Manchester City masing-masing enggan tercicir mata dalam persaingan yang dijangka sengit musim ini bagi memenangi trofi Liga Perdana England (EPL) apabila kededua pasukan itu berentap di Anfield malam ini.

Menjelang perlawanan ini, Jurgen Klopp dan anak didiknya mempunyai sedikit kelebihan.

Ia satu-satunya pasukan yang belum ditewaskan selepas enam perlawanan EPL, dan ia kini mendahului pesaing terdekat di puncak liga dengan kelebihan satu mata.

Keyakinan diri pasukan juga lebih tinggi, selepas ia membelasah Porto 5-1 di tempat lawan dalam Liga Juara-Juara Eropah di awal minggu. Sebaliknya, City tewas 0-2 kepada Paris Saint-Germain di Paris.

Namun, kelebihan itu juga boleh lenyap dan momentum dihapuskan oleh Pep Guardiola dan pasukannya malam ini.

Halal Home Based Business
Ms Lid's Packed Bento

Set bento untuk sumbangan atau delivery ke rumah

Lauk Malam Raya by ZaraRasya

Yang pasti puas hati! FREE DELIVERY & 1.5l bottled...

SpicyLoverKitchen

Lemang Set dengan Rendang & Serunding!

Do you own a Halal Home-based Business in Singapore? List your products on Berita Harian

Sejak tewas dua perlawanan berturut-turut pada Ogos lalu - kekalahan 0-1 kepada Leicester dalam Perisai Masyarakat dan keputusan yang sama kepada Tottenham Hotspur dalam perlawanan pembuka tirai musim, City telah bangkit untuk menunjukkan taringnya.

Ini termasuk membelasah Arsenal 5-0 di Stadium Etihad dan pada hujung minggu lalu, mencuri semua tiga mata daripada perlawanan dengan juara bertahan Liga Juara-Juara Chelsea di Stamford Bridge.

Malah, dalam perlawanan dengan PSG di Paris juga, ia merintis peluang demi peluang gol, tetapi tidak bernasib baik kerana ada percubaan terkena palang.

Ini berbanding 'form' Liverpool pada masa ini, dengan cara ia bertahan menjadi tanda tanya dalam perlawanan dengan Brentford pada hujung minggu lalu, apabila ia membenarkan pasukan yang baru sahaja naik ke EPL dari divisyen Championship itu bangkit untuk menyamakan jaringan dua kali selepas ketinggalan.

Gandingan bek tengah Virgil Van Dijk dan Joel Matip mungkin disifatkan sebagai yang paling kukuh, tetapi Guardiola pastinya akan meneliti video analisis perlawanan itu secara mendalam menjelang perlawanan ini.

Dalam kalangan pemain bertaraf bintang yang dimilikinya, Guardiola juga boleh bergantung pada pemain Brazil Gabriel Jesus yang telah menyerlah musim ini, selepas dipindahkan dari sayap kiri ke sayap kanan.

"Saya bermain di mana-mana yang dikehendaki pengurus," kata Jesus, yang menjaringkan gol kemenangan semasa menentang Chelsea.

"Namun, pada masa ini, posisi saya kelihatan sepadan dengan keupayaan saya sebagai pemain dan saya senang hati," ujar Jesus.

Guardiola juga boleh bergantung pada Jack Grealish, pemain berharga £100 juta ($185 juta) dari Aston Villa.

Grealish kini mula menunjukkan kreativiti dan kelasakan dalam permainannya yang mendorong pengurus England Gareth Southgate memilihnya sebagai pemain di Kejohanan Eropah (Euro) pada musim panas lalu.

Ditanya mengenai pendapat beliau tentang Liverpool menjelang perlawanan ini, Guardiola berkata tugas pasukannya lebih sukar berbanding musim lalu kerana mereka terpaksa beraksi di dalam stadium yang dipenuhi penyokong Liverpool.

Musim lalu, City menewaskan Liverpool 4-1 dalam perlawanan liga di stadium yang kosong akibat langkah pencegahan Covid-19.

"Mungkin, kali ini, kami dapat mengulangi persembahan itu, meskipun di depan penyokong yang ramai. Beraksi di Anfield yang penuh dengan beraksi di Anfield yang kosong adalah dua perlawanan yang berbeza," ujar Guardiola.

Bagi Klopp pula, kelebihan bermain di depan penonton sendiri diharap dapat memberi perangsang tambahan kepada pasukannya yang akan beraksi tanpa pemain azimat di 'midfield' Thiago Alcantara yang mengalami cedera di paha.

Tanpa Alcantara pada hujung minggu lalu, Liverpool gagal menguasai 'midfield' dan terkial-kial menangani kelasakan Brentford apabila pasukan itu mengatur serangan dari tengah padang.

Tanggungjawab mengekang 'midfield' City di Anfield malam ini kini jatuh kepada Fabinho, yang menjaringkan gol hebat semasa Liverpool bertemu City di tempat sama beberapa musim lalu.

Fabinho, yang namanya jarang disebut-sebut sebagai antara wira Liverpool, tetap anggota penting dalam pasukan Liverpool.

Selain melindungi barisan pertahanan, pemain yang berani menerkam bola di sebarang bahagian padang itu juga mempunyai naluri menyerang, dan boleh memulakan serangan dari tengah padang.

Di barisan depan pula, Liverpool dan Klopp kini mempunyai lebih banyak pilihan pemain selepas Roberto Firminho kembali cergas.

Firminho menjaringkan dua gol dalam perlawanan dengan Porto, menunjukkan beliau kini kian cergas dan meraih semula 'form' hangat pada dua musim lalu.

Bersama Mohamed Salah, Sadio Mane dan Diogo Jota, Firmino dijangka boleh memporak-perandakan pertahanan City di Anfield nanti.

Perlawanan dengan Brentford tentunya menimbulkan pelbagai tanda tanya mengenai kaliber pertahanan Liverpool dan seluruh pasukan dalam musim yang panjang.

Namun, keupayaan anak didik Klopp untuk mengelak kekalahan di padang lawan, dengan lawan yang bermain mati-matian, juga menunjukkan pemain Liverpool mempunyai kekuatan mental yang utuh.

Kekuatan mental dan sokongan padu Anfield biasanya mencukupi untuk membantu Liverpool berjaya mengatasi lawan di padang sendiri.

Namun dengan City juga berada dalam 'form' hebat, perlawanan di Anfield ini pastinya menyajikan pertunjukan yang hebat, dengan kededua kelab enggan mengaku kalah sehingga wisel terakhir. - Agensi berita.


PEMAIN YANG DIJANGKA BERI KESAN

Gol ajaib berulang?

FABINHO, 27 tahun
Liverpool, 'midfield'

BELIAU dianggap sebagai antara pemain 'midfield' terbaik generasinya dan di Liga Perdana England (EPL).

Ini kerana beliau bukan sahaja berupaya melindungi pertahanan, malah boleh memulakan serangan dari bahagian tengah padang sendiri.

Namun Fabinho beraksi di bawah jangkaan semasa Liverpool bertandang ke Brentford pada hujung minggu lalu.

Dan pemain dari Brazil ini dijangka merebut peluang untuk bangkit dan menunjukkan keupayaan sebenar dalam perlawanan profil tinggi bersama Manchester City malam ini.

Penyokong Liverpool juga akan mengimbas semula kenangan cara Fabinho menjaringkan gol menakjubkan dari luar petak penalti semasa Liverpool menewaskan City 3-1 pada 2019.

Dan mereka berharap pisang akan berbuah dua kali dan Fabinho sekali lagi akan menjaringkan gol. - Foto REUTERS


Sayap kiri lebih mengancam

GABRIEL JESUS, 24 tahun
Manchester City, 'midfield'

LANGKAH Pep Guardiola memindahkan Jesus dari sayap kanan ke sayap kiri telah meraih manfaat yang lumayan bagi Manchester City.

Beliau bukan sahaja kelihatan begitu selesa, malah `posisi itu membolehkan beliau menyelinap masuk ke kawasan bahaya dan membuat percubaan gol, seperti yang dilakukannya dalam perlawanan dengan Chelsea pada hujung minggu lalu.

City mungkin mempunyai ramai pemain bertaraf bintang yang lain seperti Raheem Sterling, Jack Grealish dan Kevin de Bruyne.

Namun sejak beberapa musim lalu, Jesus telah menunjukkan beliau pemain yang boleh diharap dan bermain secara konsisten dari satu perlawanan ke perlawanan yang lain.

Penyokong City dan Guardiola berharap Jesus akan beraksi memenuhi potensi di Anfield malam ini. - Foto EPA-EFE

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map