City terus cemerlang dengan kemenangan 2-0 ke atas Gladbach, Berita Sukan - BeritaHarian.sg
Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Sukan0

LIGA JUARA-JUARA

City terus cemerlang dengan kemenangan 2-0 ke atas Gladbach

Real Madrid hambar dalam kejayaan tundukkan Atalanta yang tinggal 10 pemain
Feb 26, 2021 | 05:30 AM

ENGLAND: Pengurus Manchester City Pep Guardiola mengatakan pasukannya "harus bersikap lebih klinikal di depan gawang", meskipun memaparkan persembahan dominan menewaskan Borussia Monchengladbach 2-0 untuk meraih kemenangan ke-19 berturut-turut mereka.

Pasukan Guardiola - pilihan bagi menjuarai trofi Liga Juara-Juara pertama mereka musim ini - terlalu kuat untuk lawan lemah mereka dalam perlawanan pusingan pertama peringkat 16 pasukan terakhir di Budapest.

Gol Bernardo Silva dan Gabriel Jesus meletak City di kedudukan selesa melangkah ke pusingan kedua, meskipun mereka sepatutnya mencatat keputusan lebih besar.

"Secara umum, kami mengawal perlawanan. Malangnya, kami tidak cukup klinikal di depan gawang," kata Guardiola kepada BT Sport.

"Ini adalah sesuatu yang kami perlu perbaiki dalam pertandingan ini. Di bahagian depan, kami harus menjadi lebih klinikal. Dalam pertandingan ini, anda harus menjadi sempurna untuk memastikan anda mara."

Discover Malay Home Based Businesses

Tandukan Silva menerusi hantaran mantap Joao Cancelo membuka tirai jaringan, sebelum dua pemain itu bergabung menghasilkan gol kedua City yang diledakkan oleh Jesus.

Gladbach, muncul buat kali pertama dalam peringkat ini kejuaraan itu dalam 43 tahun, gagal membalas dan akan memerlukan keajaiban sukan untuk mengubah nasibnya apabila dua pasukan itu bertemu di Manchester pada 16 Mac.

City, yang jauh mendahului tangga Liga Perdana England (EPL), sedang bermain bola sepak dengan gaya tenang, bermutu dan terkawal dan prestasi ini diteruskan di tahap Eropah, sedang mereka mencatat 12 kemenangan berturut-turut di padang lawan - satu rekod buat kelab tahap tinggi England.

Kevin de Bruyne ditinggalkan di bangku simpanan sepanjang perlawanan dan penjaring gol rekod Sergio Aguero diperkenalkan sebagai pemain gantian pada saat akhir, setelah terlepas 14 perlawanan untuk memberi City satu lagi perangsang.

Sementara itu, Ferland Mendy meledakkan jaringan saat akhir untuk membantu Real Madrid, yang hambar, meraih kemenangan 1-0 menentang pasukan 10 pemain Atalanta dalam satu lagi perlawanan pusingan pertama peringkat 16 pasukan kelmarin.

Tugas Real tampak lebih mudah setelah pemain Atalanta Remo Freuler dibuang padang pada minit ke-17 kerana menghalang Mendy daripada peluang menjaringkan gol.

Namun, menentang 10 pemain, pasukan Zinedine Zidane, yang kehilangan beberapa bintang akibat kecederaan, gagal mengancam pasukan tuan rumah, dan Real hanya mempunyai satu percubaan tepat ke sasaran dalam baki separuh pertama.

Atalanta terus berusaha mempertahankan bentengnya selepas waktu rehat, tetapi rembatan kencang Mendy pada minit ke-86 memberi Real sedikit kelebihan melangkah ke pusingan kedua. - Agensi berita

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map