Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Dunia Sukan: Dari Januari ke Disember, banyak memori yang ditimba

Dec 23, 2018 | 05:30 AM



Tahun 2018 menyajikan banyak kenangan dalam arena sukan setempat. Daripada pelantikan jurulatih sementara Fandi Ahmad untuk skuad Singa hingga tujuh emas yang dirangkul pesilat negara pada kejohanan dunia, BERITA HARIAN menyingkap 18 detik yang tidak dapat dilupakan dari Januari hingga Disember tahun ini.



JANUARI



1. Dua pemain muda Singapura, Adam Swandi dan Shahul Rayyan, mencatat sejarah baru selepas menjadi pemain tempatan pertama menyarung jersi kelab Jepun, Albirex Niigata.



Penyertaan mereka dibuat menyusuli perubahan yang diumumkan FAS bagi musim Liga-S 2018 yang mengutamakan "falsafah belia" dan menyuntik "kesegaran" kepada liga tersebut.



2. Buat julung kalinya, acara berbasikal beramai-ramai terbesar Singapura, OCBC Cycle 2018, bekerjasama dengan syarikat perkongsian basikal, Mobike, dengan menawarkan penggunaan 2,000 basikal secara percuma.



Ini juga menandakan kali pertama syarikat perkongsian basikal terlibat sebagai rakan kongsi rasmi dalam pertandingan berbasikal di Singapura.



FEBRUARI



3. Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dan Hab Sukan Singapura memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) untuk menjadikan hab sukan negara itu sebagai 'rumah' baru skuad nasional bola sepak negara.



Sebagai sebahagian daripada MOU itu, antara tujuh dengan 10 perlawanan bola sepak - melibatkan skuad nasional Singa ataupun kelab setempat - diadakan di Stadium Negara yang boleh menampung 55,000 penyokong.



MAC



4. Selepas 22 musim yang menampilkan 25 pasukan dan tujuh juara berbeza, liga bola sepak profesional Singapura, Liga-S, membuka lembaran baru tahun ini dan dikenali dengan nama baru, Liga Perdana Singapura (SPL), mulai musim baru yang bermula penghujung bulan itu.



5. Jaguh Olimpik renang negara, Joseph Schooling, mengumumkan beliau akan memulakan lembaran baru dalam kerjayanya dengan menjadi atlit renang profesional. Pada temasya Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, Schooling mencatatkan masa 50.39 saat dalam acara 100 meter kuak kupu-kupu.



APRIL



6. Selepas dua tahun mengendalikan skuad bola sepak negara dengan prestasi kurang memuaskan, FAS akhirnya mengumumkan ia telah mencapai persetujuan bersama dengan V. Sundram Moorthy agar melepaskan jawatannya. Sejak dilantik pada 2016, Sundram gagal mengecap kemenangan bersama skuad Singa dalam 23 perlawanan.



7. Petinju profesional Singapura, Muhamad Ridhwan Ahmad, berjaya menjinakkan pencabarnya dari Filipina, Jeson Umbal, bagi menjuarai kelas 'feather' Antara Benua Pertubuhan Tinju Antarabangsa (IBO).



Kemenangan itu membuka laluan baginya merebut gelaran juara tinju dunia kelas 'super bantam', berentap dengan petinju Namibia, Paulus Ambunda.



MEI



8. Bekas kapten pasukan kebangsaan, Fandi Ahmad, diumumkan sebagai jurulatih skuad Singa sehingga akhir tahun ini oleh Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS). Fandi, 56 tahun, diberi tugas mengendalikan pasukan negara bagi kejohanan Piala Suzuki Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) yang berakhir baru-baru ini.



JUN



9. Buat julung kalinya, Singapura menjadi tuan rumah kejohanan bola tampar dunia yang diadakan di Sentosa. Pertandingan Jelajah Dunia Bola Tampar Pantai Persekutuan Bola Tampar Antarabangsa (FIVB), menampilkan 24 pasukan, masing-masing dalam kategori lelaki dan wanita.



JULAI



10. Pemain bola sepak remaja negara, Ben Davis, menandatangani kontrak profesional bersama kelab Liga Perdana England (EPL), Fulham. Namun, ia menjadi isu utama setelah menimbulkan tengkarah sama ada beliau perlu diberikan peluang menunda Perkhidmatan Negara (NS) ataupun tidak selepas permohonannya ditolak.



OGOS



11. Home United mencatatkan kemenangan besar apabila menewaskan pasukan Filipina, Ceres Negros, dengan agregat 3-1 dalam perlawanan akhir Piala AFC Zon Asean, sehari sebelum Singapura menyambut ulang tahun ke-53.



SEPTEMBER



12. Bintang terbesar Formula Satu (F1), Lewis Hamilton, mempamerkan persembahan mengagumkan di Litar Jalan Raya Marina Bay bagi menjuarai Grand Prix Singapura Singapore Airlines 2018, sekali gus membantunya merangkul kejuaraan F1 kelima dalam kerjayanya.



OKTOBER



13. Dari padang golf amatur ke padang profesional - pemain golf muda berbakat Singapura, Abdul Hadi Uda Thith, sedar apa yang perlu dilakukan dalam usaha mengorak langkah besar dalam kerjaya profesional yang lebih sengit dan mencabar.



Hadi yang pernah mewakili negara dalam pelbagai kejohanan termasuk menjadi sebahagian daripada skuad nasional yang memenangi pingat perak pada Sukan SEA 2015 memutuskan menjadi pemain golf profesional.



14. Final WTA BNP Paribas Singapura yang disampaikan SC Gobal melabuhkan tirainya di Singapura dengan menyaksikan pemain tenis Ukraine, Elina Svitolina, menewaskan lawannya dari Amerika Syarikat, Sloane Stephens, di gelanggang Stadium Tertutup Singapura.



Kejohanan tenis berprestij itu akan berpindah ke Shenzhen, China, bagi 10 tahun mendatang.



15. Team Singapore berjaya membawa pulang 10 pingat - tiga emas, dua perak dan lima gangsa - daripada temasya Sukan Para Asia Ketiga yang berlangsung di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini.



Ini merupakan rekod terbaik Singapura bagi temasya sukan itu. Sebelum ini, Team Singapore hanya mampu merangkul satu emas, satu perak dan empat gangsa pada sukan APG di Incheon, Korea Selatan, pada 2014.



NOVEMBER



16. Mengharungi musim sulung perlumbaan kereta Formula 4 (F4) China, pemandu muda sukan sukan motor dari Singapura, Daim Hishammudin, membuktikan bakatnya dengan menduduki tempat keseluruhan ketiga pada penghujung musim yang berakhir di Litar Antarabangsa Ningbo, China.



17. Pasukan acara selam negara akhirnya berjaya merangkul dua emas pada hari terakhir kejohanan renang Piala Dunia Fina selepas lima tahun mencuba.



Ia dimenangi oleh gandingan adik-beradik, Timothy dan Mark Lee, dan Jonathan Chan.



DISEMBER



18. Pesilat negara mempamerkan kecemerlangan di gelanggang Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-18 yang diadakan di Singapura baru-baru ini dengan membolot tujuh emas, enam perak dan tujuh gangsa dan menjadi juara keseluruhan kejohanan itu buat julung kalinya.



Kejohanan tersebut turut menyaksikan pesilat negara, Sheik Farhan Sheik Alau'ddin, dinobat juara dunia sebanyak tiga kali berturut-turut.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >