SEJAK usia enam tahun, kolong blok menjadi “taman permainan” Khairin Nadim menggelecek bola secara suka-suka bersama teman-teman.
Sedekad kemudian, nama remaja itu menjadi sebutan digelar sebagai antara bakat muda yang semakin meningkat naik dalam bola sepak Singapura.
Musim lalu, penyerang Young Lions itu menjadi pemain termuda membuat penampilan sulungnya di pentas yang lebih besar, Liga Perdana Singapura (SPL), pada usia 15 tahun dan 298 hari.
Baru-baru ini, bekas pelajar Sekolah Sukan Singapura itu mencapai satu lagi detik kejayaan dalam kerjaya bola sepak profesionalnya apabila beliau diumumkan sebagai Pemain Muda Terbaik dalam Anugerah Bulanan SPL untuk Mac.
Anugerah bulanan itu, yang diadakan buat julung kalinya musim ini, bertujuan mengiktiraf persembahan cemerlang pemain dan jurulatih dalam empat kategori.
Pemenang anugerah, yang akan menerima trofi dan wang tunai, dipilih oleh sebuah panel merangkumi wakil daripada Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Singapore Pools dan media tempatan.
Khairin, yang akan mencecah usia 17 tahun pada 4 Mei, menerima hadiah hari jadi awal bernilai $250 atas penganugerahan itu.
“Saya rasa sangat gembira. Kerja keras saya selama ini berbaloi,” kata Khairin kepada Berita Harian.
Khairin meledakkan gol penting dalam dua perlawanan bulan lalu untuk membantu Young Lions bangkit dari belakang mencatat keputusan seri 3-3 dengan Balestier Khalsa dan 1-1 dengan Geylang International.
“Saya beritahu jurulatih supaya beri saya peluang untuk menyumbang kepada pasukan, untuk bantu pasukan jaringkan gol. Ia bukan untuk diri saya, tetapi saya hanya mahu bantu pasukan,” katanya lagi.
Termasuk tiga gol yang dijaringkan musim lalu, beliau menjadi pemain termuda mencapai lima gol SPL pada usia 16 tahun dan 316 hari.
Ditanya sekiranya beliau berasa tertekan bermain dalam liga profesional pada usia muda, Khairin, yang hanya mula bermain bola sepak secara kompetitif di Akademi Home United pada usia 12 tahun, berkata:
“Saya ada rasa tertekan. Tetapi, tekanan ini memberi saya lebih keyakinan untuk lakukan yang lebih baik dan yang terbaik.”
Bulan lalu, Khairin merupakan antara dua pemain muda – termasuk pemain sayap Hougang United Idraki Adnan – yang diundang menyertai latihan pasukan nasional di bawah bimbingan jurulatih Tatsuma Yoshida.
Pasukan Singa sedang membuat persiapan bagi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022 mereka yang dijangka berlangsung semula pada Jun ini, selepas tertangguh akibat pandemik Covid-19 Mac tahun lalu.
Diberitahu sehari sebelum bermulanya latihan pasukan nasional, Khairin terkejut ketika mendapat berita baik itu.
Pengalaman latihan selama seminggu itu, meskipun singkat, memberi peluang kepada Khairin menimba banyak ilmu daripada pemain berpengalaman, kongsinya.
“Saya belajar banyak daripada pemain senior. Mereka, termasuk Faris Ramli, beri saya dorongan dan keyakinan untuk buat lebih baik. Dia (Faris) beritahu saya supaya jangan takut dan hanya buat yang terbaik,” tambah anak kedua dalam tiga beradik itu.
Khairin kini sasar menjaringkan lebih banyak gol dalam liga musim ini, dengan harapan persembahannya di depan gawang dapat membawa beliau mewakili negara di Hanoi untuk Sukan SEA ke-31 pada lewat November ini.
Pemenang lain dalam Anugerah Bulanan SPL untuk Mac ialah: Pemain Terbaik dimenangi penyerang Hougang United Tomoyuki Doi ($500); Jurulatih Terbaik dimenangi Clement Teo dari Hougang United ($300); dan Gol Terbaik dimenangi pemain midfield Lion City Sailors Song Ui-young bagi gol ‘volley’-nya menentang Tanjong Pagar United ($200).