Selain daripada papan iklan besar di sepanjang beberapa jalan raya yang memaparkan mesej bagi memberi semangat kepada atlet Thailand, tidak banyak tanda lain yang menunjukkan Thailand merupakan tuan rumah bagi temasya sukan atlet terbaik serantau selama dua minggu ini.
Dua, tiga hari sebelum upacara pembukaan pada 9 Disember, tiada maskot berhampiran lokasi sukan utama, tiada kedai menjual cenderamata Sukan SEA atau papan tanda, ‘Selamat Datang’, bagi menyambut atlet dan penyokong serantau.
Bagaimanapun, keadaan menjadi lebih meriah semakin hampir acara pembukaan temasya sukan dwitahunan yang berlangsung dari 9 hingga 20 Disember 2025.
Malah, beberapa penduduk tempatan memberitahu Berita Harian (BH) mereka sendiri tidak tahu Thailand sedang menganjurkan Sukan SEA.
Mungkin, banjir teruk yang melanda selatan Thailand pada lewat November serta konflik di sempadan Thailand-Kemboja telah mengalihkan tumpuan mereka.
Sejumlah 10 sukan terpaksa dipindahkan dari Songkhla, yang dilanda banjir buruk, ke Bangkok dan Chonburi pada saat-saat terakhir.
Rakyat Thailand juga masih berkabung selepas Ratu Sirikit mangkat pada 24 Oktober pada usia 93 tahun.
Raja Thailand Maha Vajiralongkorn, telah menetapkan tempoh berkabung selama setahun bagi Ahli Keluarga Diraja dan pegawai Istana Diraja bermula dari tarikh pemergian Ratu Sirikit.
Poster besar hitam putih dengan gambar Ratu Sirikit dipaparkan dengan penuh hormat di sekitar bandar.
Seorang sukarelawan yang bertugas di pusat pengumpulan barang hilang di Stadium Rajamangala, You, 45 tahun, berkata:
“Di sini tidak ada banyak promosi mengenai Sukan SEA kerana Ratu Thailand baru sahaja meninggal.”
“Kita tidak boleh mengadakan promosi berlebihan, kita semua dalam tempoh berkabung.”
Rulan, 21 tahun, pula berkata walaupun Thailand sedang melalui krisis dengan Kemboja – yang mengakibatkan negara jiran itu menarik diri daripada lapan sukan – ia tidak menghambat persiapan Sukan SEA di Bangkok.
Menurutnya, penduduk di Bangkok sudah melakukan segala persiapan untuk menyambut atlet serantau.
“Menjadi tuan rumah bagi Sukan SEA ini seperti kemenangan untuk Thailand di arena sukan,” katanya.
Sentimen positif itu diulangi oleh beberapa warga Thailand lain yang berkata adalah terlalu awal untuk menilai kejayaan temasya tersebut.
Thailand ujar mereka, harus diberi sepenuh peluang untuk membuktikan keupayaannya dalam penganjuran acara besar-besaran.
Lebih 1,000 sukarelawan telah dikerah untuk menjayakan Sukan SEA di Pusat Penyiaran Antarabangsa dan Pusat Media Utama (MPC); untuk menyokong tugas lebih 600 wartawan dan wakil media dari segenap pelosok negara Asia Tenggara.
Relawan di MPC, Sorawit Sangkharat, 47 tahun, melahirkan harapan Thailand agar atlet negara tuan rumah dapat mempamerkan persembahan yang boleh dibanggakan sepanjang temasya sukan itu.
Beliau, yang juga pensyarah di Universiti Dewan Perniagaan Thai, menjangkakan kehangatan Sukan SEA akan meningkat selepas acara pembukaan.
Tiket bagi acara pembukaan di Stadium Rajamangala, yang pada awalnya dibuka kepada 20,000 orang, telah ditebus kesemuanya.
Difahami, pihak penganjur telah menambah lagi 10,000 tempat duduk.
Kehadiran selebriti termasuk GOT7 dan Bambam menjadi antara daya penarik.
Bagaimanapun, Sorawit berkata ramai yang hadir mahu meraikan temasya sukan yang berjaya di Thailand.
“Kami akan cuba sedaya upaya untuk menjadi tuan rumah yang baik bagi temasya ini.
“Terdapat beberapa perubahan saat akhir, tetapi kami hanya boleh cuba sedaya upaya untuk menyesuaikan diri dan terus mencari penyelesaian.”
Bersependapat, pelajar berusia 19 tahun yang hanya ingin dikenali sebagai Jaree, berkata beliau bangga dengan peluang yang dimiliki Thailand untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA dan tidak sabar menyaksikan aksi sukan sepanjang dua minggu ini.
Jaree, mahasiswi jurusan Sains Sukan, di Universiti Srinakharinwirot, Bangkok, berkata beliau turut menantikan peluang menyambut media serantau dan berinteraksi dengan mereka.
“Ini ialah pengalaman baru bagi saya di Sukan SEA. Saya berharap dapat bertemu dengan media dari negara-negara Asean dan meluaskan lagi rangkaian kenalan saya.
“Saya bangga Thailand dapat menjadi tuan rumah bagi acara gemilang ini,” ujar beliau yang ditugaskan untuk menyambut media di Stadium Rajamangala, Bangkok, bagi acara bola sepak.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg