HARAPAN LionsXII untuk segera menempah tempat ke suku akhir Piala Malaysia nampaknya terpaksa ditangguhkan dahulu apabila kecundang 2-0 kepada Kedah sebentar tadi.
Dua gol jaringan Chidi Edeh di Stadium Darul Aman bukan sahaja menimpakan kekalahan pertama kepada anak didik Fandi Ahmad, malah meletakkan Kedah di tangga teratas Kumpulan A melalui perbezaan gol dan sekali gus menolak LionsXII ke tangga kedua dengan tinggal dua perlawanan lagi.
Sebelum ini, Fandi telah berkata bahawa tiga mata daripada baki tiga perlawanan mereka sudah mencukupi untuk LionsXII melangkah ke separuh akhir. Malangnya mereka akan pulang dari Alor Setar dengan kosong mata dan dua gol yang membolosi gawang mereka.
Peminat yang berkecuali tentu berpendapat bahawa Kedah memang wajar menang, bahkan dua jaringan Chidi dalam separuh masa kedua itu tidak mencerminkan penguasaan sebenar pasukan tuan rumah.
Mereka sekurang-kurangnya boleh menjaringkan dua lagi jika tidak kerana kecemerlangan Izwan Mahbud.
Selepas dikejutkan oleh Johor Darul Takzim (JDT) II 3-2 pada Selasa lalu, para pemain Kedah bermain seperti orang yang 'dirasuk'. Mereka mengejar setiap bola, bertahan bermati-matian dan berlari dengan pantas tanpa penat seperti mempunyai tangki oksigen tambahan.
Kecuali penjaga gawang Mohd Firdaus Muhammad - yang diturunkan kerana kecederaan pada penjaga gawang pertama, Abdul Hadi Hamid, dan lebih kelihatan sebagai pemain ragbi daripada penjaga gawang - kesemua pemain Kedah yang lain menunjukkan prestasi yang jauh lebih baik daripada LionsXII.
Bagi LionsXII, mungkin Izwan dan penyerang Khairul Amri yang boleh dikatakan dapat menyaingi mereka.
Dengan baki dua perlawanan, LionsXII mesti memastikan dapat mengatasi JDT II di Jalan Besar dan berharap mendapat sesuatu apabila berkunjung ke Kuala Terengganu untuk menentang Terengganu.