SINGAPURA sudah pun menjamin pingat emas dan perak pertamanya di Sukan SEA Ke-28 ini.
Ini menyusuli kejayaan dua pasangan beregu tenis meja - Feng Tianwei/Yu Mengyu serta Zhou Yihan/Lin Ye melayakkan diri ke final acara beregu yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura sebentar tadi (2 Jun).
Mereka akan berentap di final mulai 7 malam ini.
Di pusingan separuh akhir yang diadakan awal tadi, Feng dan Yu tidak menghadapi masalah semasa menewaskan pasangan Malaysia, Ho Ying dan Lee Rou You 11-9, 11-7, 11-8, 11-4.
Zhou dan Lin bagaimanapun terpaksa berjuang hebat sebelum mengatasi gandingan Nanthana Komwong dan Suthasini Sawettabut dari Thailand 7-11, 9-11, 11-3, 11-5, 10-12, 11-6, 11-8.
Dalam beregu lelaki, gandingan Gao Ning dan Li Hu menghidupkan peluang negara memenangi emas kedua acara itu selepas mengatasi pasangan Vietnam, Tran Tuan Quynh dan Nguyen Anh Tu, 11-1, 11-7, 11-6, 11-2.
Peluang melihat dua beregu lelaki Singapura dalam final bagaimanapun tidak menjadi apabila pasangan kedua negara, Clarence Chew and Chen Feng, terkandas dalam perlawanan separuh akhirnya yang berakhir tadi.
Chew dan Chen tewas kepada Padasak Tanviriyavechakul and Chanakarn Udomsilp dari Thailand 7-11, 8-11, 11-5, 11-3, 11-7, 11-9, 11-4.
Dengan tiada perlawanan bagi menentukan tempat ketiga/keempat, Chew dan Chen berserta pasangan Vietnam sudah pun terjamin memenangi pingat gangsa bagi negara masing-masing.