Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

EURO 2020

England antara pilihan, tapi Belgium dijangka julang trofi

Jun 12, 2021 | 05:30 AM



LONDON: Tirai Kejohanan bola sepak Eropah (Euro) 2020 dibuka hari ini dengan dua perlawanan - Turkey lawan Italy pagi tadi dan Wales menentang Switzerland malam ini.



Kejohanan kali ini unik berbanding tahun-tahun lalu kerana kesan koronavirus Covid-19.



Bukan namanya saja - Euro 2020 - dikekalkan meskipun pertandingan tergendala setahun malah buat julung-julung kali, kejuaraan selama sebulan ini diadakan merentas 11 negara dari hari ini hingga 11 Julai.



Selain London, kota lain, seperti Glasgow, Amsterdam, Baku, Bucharest, Budapest, Copenhagen, Munich, Rome dan Seville, akan menjadi hos perlawanan.



PILIHAN UTAMA



England dianggap sebagai antara pilihan utama untuk memenangi kejuaraan kali ini.



Skuad muda Gareth Southgate bukan melangkah ke separuh akhir Piala Dunia 2018 sahaja, malah perlu bertandang ke luar negara bagi satu perlawanan sahaja dalam perjalanan ke final jika ia mengatasi pasukan lain dalam kumpulannya.



Ini kerana Wembley dijadual sebagai hos perlawanan peringkat kumpulan, pusingan kalah mati pertama dan separuh akhir serta final.



Namun, pilihan utama untuk menjulang trofi di final bulan depan ialah Belgium, yang menurut firma analisis data Gracenote, mendahului England dengan hampir satu peratusan mata.



Kejohanan ini mungkin peluang terakhir bagi Generasi Emas pemain Belgium ini memenangi sesuatu, dan hakikat itu mungkin menjadi motivasi kuat bagi mereka.



Ini bercanggah dengan ramalan The Analyst, yang, dengan menggunakan data Opta, membayangkan England sekadar pilihan kesembilan untuk memenangi kejohanan ini.



Sebaliknya, Perancis menjadi pilihan utama ramai pemerhati bola sepak.



Juara dunia dan finalis Euro 2016 itu mempunyai kesebelasan utama handal dan pasukan itu disokong skuad berbakat di bangku simpanan.



Malah, peluang mereka untuk menang dirangsang oleh kehadiran semula penyerang Real Madrid Karim Benzema, yang kembali ke pangkuan Les Blues selepas sekian lama dipinggirkan.



Namun, kemaraan Perancis dalam Euro 2020 tetap tidak begitu pasti kerana ia terjerumus dalam kumpulan 'maut' yang turut dianggotai juara bertahan Portugal dan juara Piala Dunia 2014 Jerman, walaupun ketiga-tiga pasukan boleh melayakkan diri ke pusingan selanjutnya jika pasukan ketiga dalam kumpulan ini meraih mata yang mencukupi.



Sepanyol, juara 2008 dan 2012, melangkah ke pertandingan kali ini dengan prestasi baik - hanya satu kekalahan dalam 24 perlawanan.



Namun, Covid-19 yang melanda pasukan ini membuat penyertaan sebahagian besar anggota pasukan utama menjadi tanda-tanya.



ADA PENONTON?



Kesemua 51 perlawanan dijadual dimainkan di depan penonton.



Disebabkan jangkitan Covid-19 melonjak di Ireland, perlawanan yang dijadualkan di Dublin dipindahkan ke St Petersburg dan London, sementara perlawanan di Bilbao dipindahkan ke Seville.



Jumlah penonton terbesar boleh dijangka di Arena Puskas di Budapest, Hungary, yang sedang membuat persiapan bagi menerima 68,000 penonton - jumlah maksimum yang boleh ditampung stadium itu.



Stadium Wembley dan Hampden Park masing-masing memperuntuk 22,500 dan 12,000 penonton, atau suku kapasiti masing-masing, bagi setiap perlawanan, meskipun ada cadangan di media Britain bahawa Wembley bercadang menggandakan jumlah penonton.



Wembley boleh dibenarkan menampung 90,000 penonton maksimum jika sekatan Covid-19 di Britain dilonggarkan selepas Isnin ini.



Di stadium lain, seperti di St Petersburg dan Baku, penonton dijangka memenuhi separuh stadium, sementara stadium di Amsterdam, Bucharest, Copenhagen, Munich, Rome dan Seville dijangka penuh antara 22 dengan 45 peratus.



Keputusan muktamad bagi jumlah penonton yang dibenarkan berada di stadium diputuskan oleh negara individu dan bukan oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepa Eropah (Uefa).



Namun, penonton perlu mematuhi peraturan Covid-19 yang dikenakan di negara-negara terlibat.



Kebanyakan tempat, seperti London, Bucharest, Budapest, Copenhagen dan Rome, menuntut seupaya penonton di stadium menunjukkan bukti vaksinasi atau hasil ujian negatif.



Glasgow, Munich dan Baku belum membuat keputusan tentang ujian bagi penyokong yang ingin memasuki stadium.



PERUBAHAN LAIN



Setiap pasukan dibenar memilih 26 pemain - tambahan tiga pemain daripada biasa - untuk mengurangkan beban pemain selepas mengharungi musim bola sepak domestik yang padat jadual.



Ini juga membolehkan pengurus mempunyai lebih banyak pilihan jika Covid-19 melanda skuad.



Atas sebab sama, setiap pasukan juga dibenarkan menukar hingga lima pemain dalam setiap perlawanan.



Tiada vaksinasi mandatori bagi pemain, tetapi setiap skuad tidak boleh keluar dari gelembung sosial masing-masing dan harus menjalani ujian sebelum setiap perlawanan. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >