Hanya empat hari lagi menjelang Piala Dunia 2022, debaran pastinya terasa untuk menyaksikan pasukan terbaik dunia bersaing di Qatar. Bagaimana persembahan mereka dalam edisi sebelumnya? Dan bintang mana yang akan memimpin pasukan menjulang trofi kejuaraan? BERITA HARIAN menyajikan prestasi 32 pasukan yang bakal bertanding dalam kejohanan terbesar sukan bola sepak itu. Ikuti laporannya, bermula dengan Kumpulan A dan B.
TERDAPAT suasana 'persahabatan' menyelubungi Kumpulan B dan tiga pasukan yang dianggap lebih lemah dalam kumpulan berharap keadaan itu akan memberi kelebihan kepada mereka.
Bagi England, ini mungkin lebih rumit daripada jangkaan sesetengah peminat.
Pengurus Gareth Southgate telah memimpin skuad Three Lions ke sekurang-kurangnya suku akhir dalam setiap daripada dua kejohanan besarnya sebagai pengurus - rekod yang hanya Sir Alf Ramsey dapat menandinginya - tetapi persembahan mereka baru-baru ini menimbulkan kritikan hebat dan penyingkiran dari Liga Negara-Negara membuat mereka kelihatan rapuh. Kapten Harry Kane akan sasar memecah rekod ketika beliau bukan hanya ingin menjadi pemain pertama dinobat penjaring gol terbanyak dalam dua kejohanan Piala Dunia yang berbeza, tetapi juga mengatasi rekod jaringan Wayne Rooney untuk pasukan nasional lelaki.
Amerika Syarikat boleh dianggap sebagai ancaman terbesar England. Skuad muda mereka padat dengan potensi, walaupun pasukan Gregg Berhalter boleh dikatakan mencapai bawah jangkaan dalam kelayakan kerana mereka hanya meraih tempat ketiga.
Kekurangan pengalaman Wales di tahap ini - Qatar 2022 akan hanya menjadi Piala Dunia kedua mereka - boleh bermakna mereka akan berdepan lawan tanpa rasa takut seperti yang berlaku pada Euro 2016. England berada dalam kumpulan mereka ketika itu - kumpulan yang diungguli Wales - sebelum mereka berjaya layak ke separuh akhir. Pasukan Rob Page layak ke Piala Dunia selepas menewaskan Ukraine 1-0 dalam perlawanan penentuan atau play-off Eropah.
Adil atau tidak, hanya segelintir orang yang menjangkakan Iran akan mara daripada kumpulan itu. Lagipun, mereka tidak pernah melangkah ke pusingan kalah mati dalam lima percubaan sebelumnya, dengan hanya Scotland (lapan kali sebelum 2022) beraksi di lebih banyak Piala Dunia tanpa melepasi pusingan pertama.
SEKILAS KUMPULAN B
ENGLAND
Persembahan lalu: Keempat
Persembahan terbaik: Juara (1966)
Ranking dunia: 5
Jurulatih: Gareth Southgate
Pemain bintang: Harry Kane
IRAN
Persembahan lalu: Pusingan kumpulan
Persembahan terbaik: Pusingan kumpulan (1978, 1998, 2006, 2014, 2018)
Ranking dunia: 22
Jurulatih: Carlos Queiroz
Pemain bintang: Sardar Azmoun
AMERIKA SYARIKAT
Persembahan lalu: Tidak layak
Persembahan terbaik: Ketiga (1930)
Ranking dunia: 16
Jurulatih: Gregg Berhalter
Pemain bintang: Christian Pulisic
WALES
Persembahan lalu: Tidak layak
Persembahan terbaik: Suku akhir (1958)
Ranking dunia: 19
Jurulatih: Rob Page
Pemain bintang: Gareth Bale