LONDON: Jaringan pemain Korea Selatan Son Heung-Min pada minit ke-89 memastikan kemenangan 2-1 Tottenham Hotspur ke atas Watford, sekali gus meletak Tottenham Hotspurs ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL), pada Isnin (28 Dis).
Tottenham mendahului pada minit ke-17 apabila Erik Lamela menyumbangkan gol berikutan kekeliruan pertahanan Watford.
Namun, Odion Ighalo menjaringkan gol bagi menyamakan kedudukan empat minit sebelum rehat.
Watford kehilangan Nathan Ake yang dilayangkan kad merah kerana mengasari Lamela pada minit ke-63.
Son bertindak pada masa kecederaan, memanfaatkan hantaran Kieran Trippier dan menewaskan penjaga gawang Watford, Heurelho Gomes.
Crystal Palace kekal di tempat kelima EPL, empat mata di belakang kelayakan bagi Liga Juara-Juara, selepas seri tanpa jaringan dengan Swansea City.
West Ham naik ke tangga ketujuh selepas bangkit setelah ketinggalan untuk mengalahkan Southampton 2-1 di Upton Park.
Southampton mendahului apabila Dusan Tadic mengenakan tekanan ke atas pemain pertahanan West Ham, Carl Jenkinson, hingga menghasilkan gol sendiri pada minit ke-13.
Bagaimanapun, pemain sayap West Ham, Michail Antonio, menyamakan kedudukan pada minit ke-69 apabila percubaan Southampton menjauhkan bola terkena kepalanya lalu melewati penjaga gol Maarten Stekelenburg.
Andy Carroll memberi kemenangan kepada West Ham pada minit ke-79 apabila beliau menjaringkan gol selepas bola terpantul selepas tandukan Antonio terkena palang. - Reuters, AFP