LEGENDA bola sepak Singapura, Fandi Ahmad, telah dilantik sebagai penasihat teknikal kelab Liga Super Malaysia (MSL), Sri Pahang, umum kelab berkenaan pada Khamis (21 Julai).
Pelantikannya itu diumumkan tiga minggu selepas ikon bola sepak itu meninggalkan tugasnya di Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) selepas tujuh tahun. Kontraknya sebagai ketua belia elit tamat pada 30 Jun lalu.
FAS berkata kededua pihak bersetuju dengan perjanjian itu selepas Fandi, 60 tahun, melahirkan hasratnya meluangkan lebih banyak masa bersama keluarganya.
Di platform media sosialnya, Sri Pahang berkata:
"Kami berharap kepakaran dan pengalaman Fandi Ahmad akan memberi manfaat buat pasukan Sri Pahang."
Kelab itu juga mengumumkan bahawa pengurus pasukan, Dollah Salleh, juga akan mengambil-alih tugas warga Perancis, Christophe Gamel, sebagai ketua jurulatih interim.
Pahang berada dalam kedudukan kedua dari bawah dalam kalangan 12 pasukan yang bertanding di MSL, dengan separuh musim yang dipertandingkan, selepas memenangi hanya dua daripada 12 perlawanan sejauh ini.
Fandi pula bukan asing bagi pasukan Pahang. Beliau pernah menyarung jersi pasukan Pahang pada 1991 dan 1992, malah menjulang Piala Malaysia pada musim keduanya di Kuantan, bersama-sama Dollah.
Sejak menggantung butnya pada 1999 dan beralih pada tugas jurulatih, Fandi telah memenangi Liga-S dua kali bersama pasukan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan membantu Pelita Jaya memenangi promosi di Liga Super Indonesia serta membimbing pasukan LionsXII ke mercu tanda cemerlang Piala FA.
Fandi juga pernah bersama Pasukan Singa Muda dan merupakan jurulatih nasional interim pada 2018 sebelum beliau memimpin pasukan Singapura Bawah 22 untuk memenangi Piala Merlion pada 2019.