Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Antara Liverpool dengan Chelsea

Feb 27, 2022 | 05:30 AM



Sejarah



JIKA menang, Liverpool juga akan mencatat rekod sebagai pasukan paling berjaya dalam pertandingan ini.



Ia telah memenangi trofi itu lapan kali dalam sejarah, dan kali terakhir pada 2012, apabila ia menewaskan Cardiff melalui tendangan penalti.



Ini juga adalah kali ke-13 Liverpool mara ke final dalam pertandingan ini, empat kali lebih banyak berbanding kelab lain.



Secara perbandingan, Chelsea bakal beraksi dalam final Piala Liga yang kesembilan dan telah memenanginya lima kali.



Hanya Liverpool dan Manchester City - masing-masing menjulang trofi lapan kali - telah memenangi pertandingan ini lebih banyak berbanding Chelsea.



Namun sejarah tidak menyebelahi Liverpool dalam pertemuan final dengan Chelsea.



Kededua-dua kelab itu telah bertemu dalam tiga final utama dengan Chelsea memenangi dua pertemuan terakhir.



Ini merujuk kepada final Piala Liga 2005 yang dimenangi Chelsea 3-2, sementara kelab dari London itu juga menewaskan Liverpool 2-1 dalam final Piala FA 2012.



Liverpool juga telah pulang dengan tangan kosong dalam lima perlawanan terakhir di Wembley, dengan rekod dua kalah dan tiga seri.



Malah, Liverpool tewas menerusi penalti dalam ketiga-tiga perlawanan yang berakhir seri itu.



Ia tewas menerusi tendangan penalti di final Piala Liga 2016 dan Perisai Masyarakat 2019 dan 2020.




Pengurus



FINAL di Wembley malam nanti juga istimewa kerana ia menghimpunkan dua pengurus dari negara yang sama buat kali pertama sejak 2012, dalam final Piala Liga.



Klopp, 54 tahun, dan Tuchel, 48 tahun, berasal dari Jerman dan kededuanya dianggap sebagai antara juru strategi dan pengurus pemain terbaik generasi ini.



Mereka juga adalah pengurus bukan dari Britain yang pertama bertemu di final.



Kali terakhir dua pengurus dari negara yang sama berentap di final adalah pada 2012, apabila Kenny Dalglish (Liverpool) dan Malky Mackay (Cardiff) bertemu dalam Piala Liga.



Kededua Klopp dan Tuchel amat menghormati antara satu dengan lain. Tuchel adalah pengurus yang mengambil alih tugas Klopp di Mainz dan menyusuli itu di Borussia Dortmund, sebelum beliau berpindah ke Paris.



Klopp pernah berkata Tuchel ialah seorang pengurus yang bijak menyesuaikan cara permainan pasukannya berdasarkan keadaan dan ini boleh dilihat dengan cara Tuchel memimpin Paris Saint-Germain.



"Adalah sukar untuk menilai seorang jurulatih atau pengurus jika kita tidak pernah bekerjasama dengan beliau di padang. Namun berdasarkan apa yang saya lihat, Tuchel mempunyai idea yang kukuh tentang cara permainan pasukannya dan ini adalah falsafah yang konsisten," kata Klopp dalam satu wawancara.



"Namun, beliau juga tidak keras kepala untuk 'melekat' kepada satu cara permainan dan rela membuat perubahan bagi keadaan berbeza... dan pasukannya mampu melaksanakan perubahan itu."



Tuchel juga tidak segan memuji Klopp yang dianggapnya sebagai antara jurulatih terbaik di Eropah.



"Saya tidak berapa gemar dibandingkan dengannya kerana walaupun beliau disegani dan perbandingan ini menunjukkan saya telah mencapai tahap yang tertentu dalam pengurusan bola sepak, membandingkan saya dengan Klopp bukanlah satu perbandingan yang adil," kata Tuchel.



"Saya suka padanya... saya amat menghormati Klopp dan kami mempunyai hubungan baik apabila bertemu dalam mesyuarat jurulatih... tapi kami tidak serapat yang disangka orang lain.



"Apabila saya berada di Mainz dan Dortmund, beliau telah meninggalkan kelab-kelab itu dan dari segi itu, saya tidak berapa berpeluang belajar dari Klopp kerana beliau tiada di kelab-kelab itu semasa saya di sana," ujar Tuchel lagi.




'Form'



MENJELANG perlawanan ini, Liverpool mempunyai 'form' yang lebih baik dalam pertandingan domestik.



Ia telah memenangi lima perlawanan liga perdana terakhir, sementara Chelsea menang dua kali, seri dua kali dan tewas sekali.



Barisan penyerang Liverpool juga telah diperkukuh dengan kehadiran Luis Diaz yang dalam perlawanan dengan Norwich minggu lalu menjaringkan gol pertama sejak berpindah ke Liverpool.



Satu lagi pemain 'baru' Diogo Jota masih cedera dan penyertaannya dalam final ini masih menjadi tanda tanya.



Namun barisan depan yang dianggotai Mohamad Salah, Sadio Mane, Diaz dan Roberto Firmino - jika beliau pulih dari kecederaan - tidak boleh diberikan ruang oleh pertahanan Chelsea.



'Midfield' Liverpool juga lebih kukuh, dengan pemain mapan seperti Fabinho, Thiago Alcantara dan Jordan Henderson disokong dengan bertenaga oleh pemain muda seperti Harvey Elliot yang kembali beraksi selepas mengalami kecederaan jangka panjang.



Di barisan belakang, Liverpool boleh bergantung pada gandingan Virgil van Dijk dan Joel Matip di tengah-tengah pertahanan, sementara Trent Alexander-Arnold dan Andy Robertson di posisi bek kanan dan kiri, memberikan peluang tambahan apabila Liverpool menyerang.



Chelsea juga mempunyai barisan depan yang disegani.



Romelu Lukaku, Timo Werner dan Hakim Ziyech boleh memporak-perandakan sebarang barisan pertahanan jika mereka beraksi memenuhi potensi, dan barisan sokongan di 'midfield' seperti Mason Mount, Kai Havertz dan N'Golo Kanté boleh disifatkan sebagai pilihan pemain 'midfield' utama di sebarang kelab. Pemain Amerika Syarikat Christian Pulisic juga seorang pemain 'perlawanan besar' dan beliau boleh diharap untuk memecah kebuntuan jika perlawanan masih terikat dalam separuh masa kedua.



Di barisan pertahanan pula, Antonio Rudiger telah menyerlah kebelakangan ini sebagai pemain pertahanan yang lasak dan yang mampu menjaringkan gol, sementara pemain veteran Thiago Silva, pada usia lewat 30-an tahun masih mampu mengatur barisan belakang dengan cekap dan mematahkan serangan dengan 'membaca' corak lawan dengan tetap.



Tentu sekali, persaingan sengit antara dua kumpulan pemain bertaraf bintang ini hanya akan menjadi realiti jika mereka diturunkan di final.



Chelsea dan Liverpool masing-masing telah menggunakan pemain-pemain 'skuad' atau pemain yang bukan pilihan pertama untuk membentuk kesebelasan utama dalam perandingan ini.



Namun dalam perlawanan pertaruhan tinggi di Wembley ini, Klopp dan Tuchel tidak mampu menanggung risiko memainkan pemain 'skuad'.



Justeru, jangkakan final yang disaing sengit antara dua pasukan padat bintang yang ghairah memenangi trofi domestik pertama musim ini. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >