Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

FORMULA SATU

Bakat Ferrari diramal juara dunia baru?

Apr 25, 2022 | 05:30 AM



LONDON: Charles Leclerc dilihat berpotensi jadi juara dunia dan ada tanda-tanda ia akan menjadi realiti pada musim ini, selepas pemandu Ferrari itu menakluki Grand Prix Australia baru-baru ini.



Sebelum Grand Prix Italy di Imola pagi tadi, warga Monaco berusia 24 tahun itu telah memenangi dua daripada tiga perlumbaan dan memperluas jurang dengan juara bertahan, Max Verstappen dari Red Bull, kepada 46 mata.



Musim masih panjang - ada lagi 19 perlumbaan selepas hujung minggu lalu - tetapi keyakinan diri Leclerc kini terserlah.



Bakat beliau telah lama diiktiraf, tetapi kini, Ferrari telah berjaya membangun kereta lumba dan kru yang boleh mendukung bakat Leclerc.



Pada masa yang sama, Verstappen kini juga mula sedar beliau sedang bersaing dengan seteru yang mempunyai kelebihan dari segi momentum, keyakinan diri dan keupayaan kereta.



Bercanggah dengan prestasi Ferrari di awal musim ini, Verstappen, terpaksa 'menyerah kalah' awal daripada dua perlumbaan di awal musim - kededuanya kerana masalah sistem bahan api kereta - yang kini mengancam untuk menghancurkan musimnya.



"Buat masa ini, kami telah jauh ketinggalan... begitu jauh sekali," kata Verstappen.



"Saya tidak mahu berfikir tentang kejuaraan atau persaingan dengan sesiapa pada masa ini. Bagi saya, adalah lebih penting bagi saya menamatkan perlumbaan."



Satu lagi pasukan yang boleh mencabar Ferarri musim ini ialah Mercedes, walaupun peluang mereka berbuat demikian adalah tipis.



Di luar dugaan, Mercedes kini menduduki tangga kedua dalam ranking pemandu dan juga di ranking penghasil kereta walaupun ia telah memulakan musim dengan cara yang mengecewakan.



Namun Lewis Hamilton dan George Russell dianggap tidak boleh mencabar Leclerc dan Ferrari musim ini.



Di litar Albert Park pada awal bulan ini, Leclerc melayakkan diri bagi perlumbaan dengan masa yang terpantas dan dengan jurang yang begitu lebar berbanding pemandu lain.



Ferrari yang dipandunya lebih pantas melengkapkan satu pusingan, lebih seimbang, lebih pantas mengemudi selekoh dan menggunakan tayar secara lebih berkesan.



Buat masa ini, Leclerc berada 34 mata di atas pesaing terdekat, iaitu Russel, dan mempunyai kelebihan dua kemenangan ke atas Verstappen.



Ditanya mengenai peluangnya untuk menang kejuaraan F1 musim ini, Leclerc berkata:



"Masih terlalu awal untuk mengulas tentang perkara itu, kerana musim baru sahaja bermula.



"Tapi kereta kami amat kuat, dan kami boleh bergantung pada kereta ini. Saya berharap keadaan ini akan berterusan dan kami boleh menebus kekecewaan yang dialami sejak dua musim lalu."



Leclerc juga kelihatan telah mengurangkan kesilapan besar semasa berlumba yang pada satu masa dahulu menjejas peluangnya untuk memenangi perlumbaan.



Beliau tidak pernah menafikan kelemahannya itu, tetapi beberapa pemerhati F1 berkata beliau kerap membuat kesilapan sedemikian kerana terdesak memanfaatkan yang terbaik daripada kereta yang berlumba di bawah keupayaan.



Pandangan itu kini berbukti kerana apabila Ferarri menyediakan kereta yang hebat pada musim ini, kesilapan-kesilapan itu juga lesap.



Bersikap rendah hati, Leclerc berkata:



"Saya pernah berada dalam keadaan sebegini, tetapi hanya diperingkat junior dan tidak pernah dalam F1... terutama dengan pasukan hebat seperti Ferarri. Perasaannya tidak boleh dibandingkan.



"Kali ini, saya tidak perlu memaksa kereta melakukan perkara yang tidak dapat dilakukannya.... sebaliknya, kereta pada musim ini mampu melaksanakan apa yang saya kehendaki."



BOLEHKAH FERRARI KEKALKAN PERMULAAN HEBAT?



Ferrari telah menunjukkan ia mampu bersaing bagi kejuaraan musim ini, tetapi jika sejarah boleh menjadi panduan, ia telah gagal mengekalkan saingan dalam tiga musim ia memulakan musim dengan cemerlang.



Pada 2012, Fernando Alonso memandu dengan cemerlang sepanjang musim, walaupun beliau diberikan kereta yang tidak begitu pantas.



Akhirnya beliau ditewaskan oleh Sebastian Vettel, apabila pasukan Red Bull, berjaya memperkuat kereta menjelang hujung musim.



Pada musim 2017 dan 2018 pula, Ferrari yang kini diwakili Vettel, menghantar kereta yang handal, tetapi seteru utama, Mercedes, mempunyai kereta yang lebih konsisten dan akhirnya Ferrari gagal menjuarai kededua musim itu.



Leclerc berkata beliau tidak banyak berpaling kepada sejarah, tetapi akur akan cabaran yang menanti Ferarri musim ini.



"Menandingi Red Bull adalah sukar... tetapi kami mempunyai pasukan yang sama untuk membangun kereta sendiri," ujar Leclerc.



"Semua anggota pasukan di Maranello telah melaksanakan tugas yang hebat untuk membina kereta yang kuat dan saya enggan memikirkan terlalu banyak tentang kereta pasukan lain. Bagi saya, kami harus memberi tumpuan kepada kereta sendiri."



DERITA RED BULL YANG DISEBABKAN PERBUATAN SENDIRI



Bagi Verstappen, Grand Prix Australia sesuatu yang harus dilupakan kerana kereta kurang seimbang yang dipandunya dalam perlumbaan itu menyebabkan tayar yang digunakan haus lebih cepat dan akhirnya membawa padah.



Verstappen bukan sahaja gagal memenangi perlumbaan, malah kehilangan tempat kedua apabila sistem bahan api yang digunakan oleh Red Bull sekali lagi menimbulkan masalah dan memaksa Verstappen 'keluar padang' dari perlumbaan.



Difahami, tangki bahan api yang digunakan bocor.



"Saya tahu kereta kami mempunyai banyak masalah.... strategi saya sekadar untuk melindungi tayar sehingga garisan penamat dan meraih tempat kedua. Tiada hasrat untuk mencabar Charles di kedudukan pertama.



"Namun kami akhirnya gagal menamatkan perlumbaan akibat masalah teknikal dan ini tidak boleh diterima," ujar Verstappen.



"Perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku jika kami serius ingin bersaing bagi kejuaraan di akhir musim."



Selain masalah sistem bahan api, penasihat sukan Red Bull Helmut Marko berkata kereta pasukannya lebih berat berbanding Ferrari dan ini menyebabkan kenderaan itu sukar dikemudi di sekeliling litar.



Bersependapat, ketua pasukan Christian Horner berkata:



"Saya lebih rela memperbaiki kereta yang laju daripada cuba mengubah kereta yang lebih perlahan tetapi boleh diharap menjadi kereta lebih pantas.



"Lebih pantas kami mengetahui masalah sebenar dan mencari penghuraiannya, lebih pantas kami boleh bergerak ke hadapan."



Menambah, Horner berkata pasukannya telah pun mendapat huraian untuk mempercepatkan kereta.



"Kami menjangka dapat mempercepatkan kereta supaya kami lebih setaraf dengan Ferrari dari segi ini... tapi adalah jelas, kami harus berusaha lebih gigih," ujar beliau.



HARAPAN KIAN PUDAR BAGI MERCEDES



Masalah yang dihadapi Red Bull telah memberikan kelebihan kepada Mercedes dan Ferrari, tetapi beberapa pemerhati berkata anggapan Mercedes masih boleh memenangi kejuaraan musim ini adalah satu khayalan semata-mata.



Walaupun Russell dan Hamilton masing-masing telah berpijak di podium sekali pada musim ini, kereta Mercedes yang dipandu mereka dianggap tidak lagi berdaya saing dengan kereta Ferrari dan Red Bull.



Adalah jelas, musim ini, Mercedes begitu perlahan berbanding Red Bull dan walaupun mereka mungkin boleh memenangi 1-2 perlumbaan jika bernasib baik, kereta yang dipandu Hamilton dan Russell tidak boleh diharap untuk bersaing secara konsisten dengan pasukan utama lain.



Sekurang-kurangnya, kededua pemandu bersikap realistik mengenai keadaan itu.



"Malangnya, tiada apa-apa huraian yang ada dalam masa terdekat," kata Russell.



"Sebarang perubahan tidak akan berlaku secara tiba-tiba dan jika kami mencapai kemajuan pula, pasukan yang lain juga akan mencapai kemajuan yang serupa... menenggelamkan sebarang kemajuan kami."



Hamilton berkata beliau lebih suka bersikap optimistik, tetapi akur jurang dengan pasukan lain seperti Ferrari dan Red Bull terlalu luas.



Hamilton berkata beliau akan menghabiskan masa lapang untuk meneruskan perbincangan dengan pasukannya supaya setiap anggota pasukan tahu apa yang perlu dilaksanakan.



"Kami perlukan perubahan... persembahan yang lebih baik dan kami perlukan peningkatan ini pada masa ini, bukan dalam lagi dua tiga perlumbaan." - Agensi berita.




"Masih terlalu awal untuk mengulas tentang perkara itu (memenangi kejuaraan F1), kerana musim baru sahaja bermula.



Tapi kereta kami amat kuat, dan kami boleh bergantung pada kereta ini. Saya berharap keadaan ini akan berterusan dan kami boleh menebus kekecewaan yang dialami sejak dua musim lalu."



- Charles Leclerc pemandu Ferrari yang menjuarai Grand Prix Australia baru-baru ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >