Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

MENJELANG SUKAN SEA FILIPINA 2019

Gadis pemalu berubah jadi 'anak singa' atas air

Nur Alysha peserta termuda Team Singapore dalam acara papan lungsur air kabel Sukan SEA Filipina Disember ini
Oct 14, 2019 | 05:30 AM



Buat julung-julung kalinya, sukan papan lungsur air kabel (cable wakeboard) disertakan sebagai antara sukan yang bakal dipertandingkan di Sukan Sea yang berlangsung di Filipina pada 30 November hingga 11 Disember tahun ini. ZULAIQAH ABDUL RAHIM (zulabr@sph.com.sg) sempat menyingkap persiapan pemain papan lungsur air negara dan alit termuda Team Singapore, Nur Alysha Mohd Rizwan, 13 tahun, menjelang acara sukan dwitahunan itu.



DI LUAR zon selesa, remaja bertubuh kecil ini seorang yang pemalu dan pendiam.



Meskipun kelihatan malu-malu kucing, apabila Nur Alysha Mohd Rizwan, 13 tahun, mencecahkan kaki ke permukaan air tasik dengan hanya ditemani papan lungsur, beliau bagai berubah menjadi 'anak singa' yang tidak gentar mengaum melontarkan diri dan memusing-musingkan tubuhnya di atas permukaan air.



Melihat Nur Alysha melakukan aksi ekstrem di udara, tidak dinafikan atlit muda papan lungsur air itu memang layak terpilih mewakili negara dalam Sukan SEA di Filipina pada penghujung tahun ini.



"Apabila saya beritahu guru dan rakan-rakan di sekolah saya bermain sukan ekstrem ini, mereka seakan tidak percaya sebab saya pendiam orangnya.



"Ini sehinggalah saya tunjukkan video aksi saya kepada mereka," ujar pelajar menengah satu di Sekolah Gan Eng Seng ini.



Nur Alysha juga merupakan atlit termuda Team Singapore untuk bersaing dalam acara sukan dwitahunan yang dijadual berlangsung dari 30 November hingga 11 Disember ini.



"Mewakili negara dalam Sukan SEA adalah satu tanggungjawab yang besar.



"Saya akan berusaha keras memastikan saya dapat membanggakan Singapura dan keluarga saya," kata Nur Alysha, yang akan bertanding dalam acara papan lungsur air kabel wanita.



Walaupun gementar bersaing dengan atlit lain yang jauh lebih dewasa dan handal daripadanya, Nur Alysha kekal positif beliau dapat memberikan saingan sengit kepada atlit tuan rumah Filipina dan Thailand yang katanya "berada di tahap lebih tinggi dari Singapura".



Namun Nur Alysha bukan calang-calang atlit.



Beliau juara acara flowboarding kategori junior dalam pertandingan Flow Jam 2016, yang diadakan di Wavehouse Sentosa.



Flowboarding atau flowriding adalah sejenis sukan air menggunakan papan untuk menggelungsur ombak buatan.



Dalam Kejohanan Flowboarding Asia 2016 dan 2017, beliau memenangi tempat pertama dalam kategori wanita profesional.



Nur Alysha telah pun menceburkan diri dalam sukan itu sejak berusia lapan tahun.



Ini sebelum beliau beralih minat kepada sukan papan lungsur air sekitar setahun lalu apabila sepupunya memperkenalkan sukan itu kepadanya.



Pada Mei lalu, Nur Alysha merangkul takhta Kejohanan WakeFest 2019 dalam kategori papan lungsur air kabel wanita.



Pencapaian tersebut memberikan keyakinan kepada atlit muda itu untuk terus mendalami sukan papan lungsur air, yang menurutnya mempunyai "prospek yang lebih luas untuk mengembangkan sayapnya".



"Jika difikirkan, perkembangan saya dalam sukan ini sangat pantas tetapi saya bersyukur atas setiap peluang yang diberikan," katanya Nur Alysha, yang menjadikan bekas pemain papan lungsur air nasional, Sasha Christian, sebagai inspirasinya.



Semasa Sukan Sea Disember ini, akan genap setahun beliau berkecimpung dalam sukan papan lungsur air.



Bagi mempersiapkan dirinya, Nur Alysha giat menjalani latihan empat kali seminggu di Singapore Wake Park di East Coast dan membuat kajian menonton video aksi pemain papan lungsur air profesional di YouTube.



Nur Alysha kini berlatih tanpa seorang jurulatih tetap.



Antara cabaran lain yang harus dilaluinya termasuk mendisiplinkan diri mengimbangi waktu antara pelajaran dan minatnya.



Biarpun masih setahun jagung dalam 'cinta' barunya, Nur Alysha meletakkan harapan tinggi untuk beliau berjaya dalam sukan papan lungsur air.



"Saya mahu membawa pulang sebutir pingat untuk Singapura dalam Sukan SEA," tambah beliau, yang turut bercita-cita bertanding dalam Sukan Olimpik suatu hari nanti.




TIGA PERKARA TENTANG NUR ALYSHA...



1. Apakah rutin sebelum bertanding anda ?



Nur Alysha (NA): Saya akan tonton video wakeboard di media sosial dan Youtube untuk mendapatkan inspirasi dan semangat untuk bertanding dan sambil juga mendengar lagu K-pop untuk menyenangkan diri saya.



2. Apakah makanan atau minumum yang anda harus ada selepas mengakhiri satu kejohanan?



NA: Bubble tea!



3. Jika anda bukan seorang atlit, anda seorang...



NA: Saya akan menjadi seorang penari. Itulah kegiatan kokurikulum (CCA) saya di sekolah.




BIODATA



Nama: Nur Alysha Mohamad Rizwan



Usia: 13 tahun



Sekolah: Menengah Satu Sekolah Menengah Gan Eng Seng



Pencapaian:



- Mulai sertai flowriding sejak berusia lapan tahun sebelum beralih tumpuan kepada wakeboarding lewat tahun lalu



- Muncul juara kategori wanita profesional Kejohanan Flowboarding Asia pada 2016 dan 2017



- Juara acara flowboarding kategori junior dalam pertandingan Flow Jam 2016 di Wavehouse Sentosa.



- Juara Kejohanan WakeFest 2019 dalam kategori papan lungsur air kabel wanita pada Mei lalu




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >