Dua peserta Malaysia menguasai acara terjun indah wanita 3 meter papan anjal dengan peserta Singapura, Fong Kay Yian memenangi pingat gangsa 'mengejut' bagi Team Singapore apabila acara itu bermula di Pusat Akuatik OCBC sebentar tadi (6 Jun).
Dalam acara yang secara tradisi dikuasai peserta Malaysia, dua pesertanya, Cheong Jun Hoong dan Ng Yan Yee, merangkul pingat emas dan perak manakala Fong merangkul gangsa dengan mengumpulkan 258.90 mata daripada lima pusingan.
"Memang saya agak terperanjat dengan pingat gangsa ini. Sebelum acara ini, saya tidak menjangkakan akan menang," ujar Fong semasa ditemui wartawan di akhir acaranya itu tadi.
Seorang lagi peserta Singapura , Myra Lee, pula hanya menduduki tangga kelima daripada tujuh peserta yang mengambil bahagian dengan pungutan 211.00 mata.
Acara kedua terjun indah - final 10 meter berirama - sedang berjalan sekarang tetapi Singapura tidak menampil sebarang peserta bagi acara ini.